Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #605 : HAID SELEPAS KEMALANGAN: TIDAK MAMPU MANDI, BOLEHKAH BERWUDUK SAHAJA?

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Ketika saya kemalangan pada tahun 2014, ketika itu saya bekerja di Jepun. Tiada orang Islam yang menjaga saya. Maka, sangatlah susah untuk saya menjaga aurat memandangkan pergerakan saya tidak terbatas. Saya berada di dalam hospital selama 4 bulan dan saya tidak dibenarkan mandi memandangkan bahagian tangan saya dan perut saya telah dibalut. Jadi, apabila datang haid, saya tidak dapat mandi wajib, tapi setelah habis haid, saya terus mengambil wudhuk mengikut rukhsah yang ada menunaikan solat dalam keadaan baring atau duduk. Soalan saya, saya menunaikan solat menghormati waktu, wujud kah solat menghormati waktu? Jika tidak wujud, apakah jenis solat yang sepatutnya saya lakukan? Bagaimanakah hukum solat saya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنْفِقُوا خَيْرًا لِأَنْفُسِكُمْ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.

(Surah al-Taghabun, 64:16)

Berkata Syeikh Abdurrahman al-Sa`di dalam Taisir al-Karim berkenaan tafsir ayat ini:

 “Ayat ini menunjukkan bahawa semua kewajipan syarak yang tidak mampu ditanggung oleh hamba, maka akan gugur jika dia tidak mampu. Dia mampu untuk melaksanakan sebahagian daripada kewajipan itu, tetapi tidak mampu pada sebahagian yang lain, maka dia melaksanakan pada apa yang dia mampu sahaja, dan gugur pada perkara yang dia tidak mampu, seperti mana sabda Nabi SAW: Jika kalian diperintahkan dengan suatu perintah maka laksanakannya berdasarkan kemampuan kalian.”

Kami jawab soalan puan berdasarkan poin-poin berikut:

  1. Seorang wanita yang telah suci daripada haid adalah wajib baginya untuk mandi wajib untuk mengangkat hadas besar. Jika dia memiliki luka di bahagian badan yang tidak boleh dilalukan air kerana akan mendatangkan kesakitan, atau takut mendatangkan kesakitan, atau bertambah sakit, atau melambatkan kesembuhan, maka dia boleh meratakan air pada bahagian yang sihat dan menyapu air atas balutan yang sakit itu. Jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka bolehlah dia bertayammum sahaja. Ini berdasarkan hadis Jabir dalam Sunan Abu Dawud (336) bahawa Rasulullah SAW memarahi para sahabat yang memberi fatwa wajib mandi kepada seorang lelaki yang kecederaan kepalanya, lalu mati kerana mandi tersebut. Rujuk al-Mu`tamad oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (1/102).
  2. Berkenaan dengan aurat, seseorang yang sudah seupaya mungkin mencari penutup aurat untuk solat tetapi tidak mendapatkannya, wajib menutup auratnya dengan apa yang ada dan bersolat tanpa perlu mengulangi solatnya.
  3. Solat hormat waktu adalah istilah yang banyak digunakan dalam fiqh Mazhab Syafie. Situasi ini berlaku apabila seseorang itu bersolat tanpa berwuduk dengan air atau bertayammum dengan tanah apabila ketiadan air. Pada situasi ini seseorang wajib juga bersolat kerana sebab untuk solat itu sudah wujud yakni mukallaf dan masuk waktu. Ini berdasarkan hadis Aisyah R.Anha:

 

هَلَكَتْ قِلاَدَةٌ لِأَسْمَاءَ، فَبَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي طَلَبِهَا رِجَالًا، فَحَضَرَتِ الصَّلاَةُ، وَلَيْسُوا عَلَى وُضُوءٍ، وَلَمْ يَجِدُوا مَاءً، فَصَلَّوْا وَهُمْ عَلَى غَيْرِ وُضُوءٍ فَأَنْزَلَ اللَّهُ يَعْنِي آيَةَ التَّيَمُّمِ

Maksudnya: “Kalung milik Asma’ telah hilang (dalam satu perjalanan). Lalu Nabi SAW meminta beberapa orang sahabat (Anas bin Malik dan Asid bin Hidir – R.Anhum ) untuk mencari kalung tersebut. Lalu masuk waktu solat sedangkan mereka tiada wuduk. Mereka juga tidak menjumpai air. Lalu mereka bersolat tanpa berwuduk maka Allah Taala menurunkan ayat, yakni ayat tentang tayammum. “

Riwayat Bukhari  (6/46)

 

Hadis ini menunjukkan sekalipun ketiadaan air, para sahabat tetap melakukan solat walaupun tanpa bersuci.

 

Orang yang berada dalam keadaan ini wajib I’adah (mengulang kembali) solat apabila mendapat air dan tanah, atau sudah sembuh daripada luka. Ulama menyatakan bahawa jika seseorang itu solat hormat waktu kemudian mati sebelum sempat mengulang solat itu, maka dia sudah terlepas daripada hisab berkenaan solat di Hari Akhirat lantaran dia sudah seupaya mungkin melaksanakannya.

Justeru berdasarkan fakta kes puan, puan hendaklah menggantikan solat yang dilakukan sewaktu sakit kerana mengikut mazhab Syafie solat-solat berkenaan dikira solat hormat waktu yang wajib dan berpahala, tetapi perlu diulang semula apabila mendapat peluang. Puan boleh sedaya upaya mengulang kembali solat tersebut.

Semoga Allah permudahkan amalan kita.

 Wallahua’lam,