Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LI AL-HAJ #SIRI 13: ASET TETAP MELEBIHI KEPERLUAN BERBANDING ALIRAN WANG TUNAI

 

SOALAN

Adakah diwajibkan haji ke atas seseorang yang mempunyai rumah lebih daripada keperluannya, namun tidak mempunyai wang tunai untuk membiayai perbelanjaan menunaikan ibadah haji?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Merujuk kepada persoalan di atas, telah dinyatakan bahawa orang yang sedemikian wajib ke atasnya mengerjakan haji. Dia wajib menjual rumah yang lebih dari hajatnya untuk perbelanjaan menunaikan fardhu hajinya.

Ini kerana haji adalah wajib bagi mereka yang berkemampuan dan telah cukup syarat yang telah ditetapkan.

Firman Allah SWT:

 

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya:Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.” (Surah ali-Imran: 97)

 

Bagi mereka yang menunaikan ibadah haji akan memperolehi beberapa kelebihan berbanding mereka yang tidak menunaikannya. Antaranya ialah:

 

  1. Ganjaran pahala bagi mereka yang solat di Masjid al-Haram adalah seratus ribu kali ganda berbanding di tempat lain manakala solat di Masjid Nabawi diberi ganjaran seribu kali ganda.

 

Sabda Nabi SAW:

 

 صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”. Riwayat Ahmad (15271)

  1. Orang yang mengerjakan haji di Tanah Suci merupakan tetamu agung kepada Allah SWT dan mendapat kemuliaan daripada-Nya.

 

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW:

الْحُجَّاجُ وَالْعُمَّارُ، وَفْدُ اللَّهِ إِنْ دَعَوْهُ أَجَابَهُمْ، وَإِنِ اسْتَغْفَرُوهُ غَفَرَ لَهُمْ

Maksudnya: “Orang-orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu agung kepada Allah SWT, sekiranya mereka berdoa kepada-Nya nescaya Allah SWT perkenankan doa mereka, sekiranya mereka memohon keampunan-Nya, nescaya Allah SWT ampunkan mereka.” Riwayat Ibn Majah (2892)

 

  1. Mendapat ganjaran haji yang mabrur. Orang yang menunaikan ibadah haji dan umrah dengan penuh ketakwaan dan kesempurnaan akan mendapat haji yang mabrur.

 

Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Nabi SAW:

 

العُمْرَةُ إِلَى العُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالحَجُّ المَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الجَنَّةُ

Maksudnya: “Diantara satu umrah kepada satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya, dan Haji Mabrur tidak ada ganjarannya melainkan syurga.” Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1349)

 

KESIMPULAN

Kami berpandangan bahawa setiap umat Islam haruslah mempunyai keinginan dan keazaman yang berkobar-kobar untuk melangkahkan kaki menjadi duyuf al-rahman. Ini kerana, terdapat banyak kelebihan yang telah dinyatakan oleh Nabi SAW kepada sesiapa yang sampai ke sana.

Justeru, tekad, semangat serta usaha dalam mempersiapkan diri dari aspek mental seperti ilmu dan kefahaman berkaitan dengan haji dan umrah serta persiapan fizikal seperti kewangan dan kesihatan tubuh badan haruslah diperkemaskan bermula sekarang.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam