Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-60: GURU MITHALI: INILAH YANG KITA DAMBAKAN

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.

 

Mukadimah

Di Malaysia, tanggal 16 Mei diingati sebagai ‘Sambutan Hari Guru’ dan bagi tahun 2016 ini ditemakan dengan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

Jelas terbayang hasrat untuk memperkasakan guru agar anak bangsa yang dididik menjadi generasi yang hebat, unik dan terkehadapan dalam membina negara kita kearah yang lebih cemerlang. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini mengangkat tajuk ‘Guru Mithali: Inilah Yang Kita Dambakan’.

 

Hari Guru & Objektifnya

Setiap perlakuan yang kita laksanakan akan adanya objektif serta sasaran yang ingin dicapai. Begitulah juga dengan sambutan hari guru, antaranya ialah:

  • Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  • Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
  • Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  • Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Tema Hari Guru ini dicadangkan untuk menunjukkan bahawa dalam menjayakan agenda pendidikan negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015, guru ialah agen penting dalam memperteguh peradaban bangsa melalui pendidikan.

Peradapan bangsa di Malaysia akan terus utuh dan mantap hanya apabila bidang pendidikan dapat memastikan generasi yang dilahirkan adalah generasi holistik cemerlang yang mampu memenuhi keperluan kepesatan pembangunan negara dan keperluan global. Pendidikan yang baik dan bersepadu memandu manusia untuk berfikir, merancang dan bertindak secara benar dan sempurna. Dalam konteks Malaysia, peradaban bangsa mestilah bertunjangkan kepada hasrat melahirkan warga glokal iaitu warga yang berakar nasional dan berakal internasional.

Dalam konteks ini, guru berperanan sebagai pembentuk masyarakat berilmu, pemupuk perpaduan, berupaya melahirkan masyarakat berkeyakinan tinggi, mempunyai nilai etika yang kukuh dan mampu bersaing di peringkat global. Menerusi transformasi pendidikan, peradaban bangsa boleh diperkukuh apabila guru melaksanakan peranan mereka untuk menghasilkan modal insan yang memiliki kemahiran memimpin, hidup dalam masyarakat demokratik, adil, altruisme, terbuka, bertolak ansur dan penyayang.

Guru juga harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam penerapan nilai agama, sains, teknologi dan ICT, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi serta berupaya berkomunikasi secara berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara. Justeru itu, guru perlu sentiasa sedia untuk berubah, melaksnakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristic dan berfikiran aras tinggi serta world class thinking.

Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotic, berpegang teguh dengan kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, terbuka, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Nilai-nilai peradaban ini perlu disemai bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.

 

Guru Mithali

Seperti yang dimaklumi, antara keistimewaan makhluk yang bernama manusia tidak kepada yang lainnya ialah dapat belajar dan mengajar. Selain itu, manusia juga boleh melakukan proses pemindahan ilmu, makrifat dan memberikan kefahaman  daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Benarlah firman Allah SWT:

ٱلرَّحۡمَٰنُ ١  عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ ٢  خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ ٣  عَلَّمَهُ ٱلۡبَيَانَ

Maksudnya: (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.  Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran. Dia lah yang telah menciptakan manusia;  Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.

(Al-Rahman: 1-4)

 

Al-Imam Ibn Jarir al-Tabari (wafat 310H) Rahimahullah ketika mentafsirkan عَلَّمَهُ الْبَيَانَ   di dalam tafsirnya menyebutkan: “Dan yang paling tepat, diterima pakai (maksudnya) ialah, Allah SWT mengajarkan manusia apa yang dihajatkan olehnya daripada urusan agama dan dunia (dalam hal halal dan haram), kehidupan, mantik dan juga mengajar selainnya mengikut apa yang dihajati oleh manusia…”.  [Lihat Tafsir Al-Tabari. Muassasah al-Risalah, 22/8]

Ibn ‘Asyour Rahimahullah di dalam tafsirnya pula menukilkan bahawa di antara nikmat-nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada hambanya yang wajib disyukuri selepas Allah SWT mewujudkan manusia itu adalah nikmat di mana Allah SWT mengajarkan manusia tentang diri mereka agar manusia yang lainnya dapat mengambil faedah daripadanya dan juga faedah buat diri mereka sendiri. [Lihat Al-Tahrir wa Al-Tanwir. Al-Dar al-Tunisiyyah li al-Nasyr, 27/233]

Guru mithali adalah idaman pelajar dan masyarakat. Dengannya akan lahirlah generasi pelajar asuhannya yang berkualiti dan cemerlang. Mereka bukan sahaja sebagai tokoh biasa tetapi luar biasa. Lihatlah sejarah kerana ia sebaik-baik bukti yang menjadikan hal ini.

Tiadalah mana-mana pemimpin yang hebat, ulama’ yang terbilang, pemidato yang handal kecuali mereka memiliki guru mithali yang terkesan pada jiwanya. Melihat akhlak, adab, ilmu, cara pemikiran, mengolah pendapat dan mengemukakannya di samping kedalaman ilmu yang wujud pada sang guru mithali menjadikan murid-muridnya akan terpengaruh dengannya. Elemen-elemen yang disebutkan sebelum ini dan akhlak serta adab yang baik sudah barang tentu mewatakkan muridnya dengan syakhsiah Islamiyyah yang unggul.

 

Sifat-Sifat Guru Mithali

Dapat kami ringkaskan di sini beberapa ciri sifat guru mithali yang seharusnya terdapat di dalam diri seorang pendidik agar dengannya dapat menghasilkan pelajar-pelajar yang berkualiti tinggi. Antaranya:

  • Keikhlasan yang tinggi
  • Amanah yang hebat
  • Akhlak yang unggul
  • Perwatakan yang menarik
  • Keberanian yang luar biasa
  • Hikmah yang mendalam
  • Rahmah yang menyantuni
  • Ilmu dan makrifah yang mantap

Selain daripada itu, sifat mereka sebagai guru yang unggul, mempunyai wawasan yang jelas, kepimpinan yang hebat dan juga cukup tinggi nilai interaksi sesama rakan dan murid dan semua pihak yang lainnya juga menjadi antara ciri-ciri guru mithali yang perlu diberikan perhatian.

Guru-guru yang dapat mengaplikasikan fiqh ta’amul dengan sebaiknya ditambah lagi dengan sifat-sifat yang disebutkan di atas mampu menatijahkan kefahaman yang baik sehinggakan para pelajar dapat mengikuti segala sifat mahmudah yang ada pada guru tersebut dan akhirnya mereka berbangga dan akan mengingati gurunya.

Begitulah adab dan akhlak seseorang guru boleh mempengaruhi anak muridnya. Ulama’ Islam di zaman silam amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Kata al-Imam Abdullah bin al-Mubarak (wafat 181H) Rahimahullah: “Aku mempelajari adab selama 30 tahun dan kemudian mempelajari ilmu selama 20 tahun. Adalah mereka yang terdahalu mempelajari adab sebelum ilmu”.

Guru yang beradab akan menghasilkan anak didik yang beradab demikianlah juga sebaliknya. Jika bukan melalui guru, maka dari manakah lagi para murid akan mempelajari adab? Disebabkan oleh itu, al-Imam Malik (wafat 179H) Rahimahullah pernah berkata: “Ibuku pernah menyuruhku pergi kepada Rabi’ah (salah seorang guru kepada al-Imam Malik) dan mempelajari darinya adab dan kemudian barulah ilmunya”. [Lihat  Abu al-Fadhl al-Qadhi ‘Iyadh. Tartib al-Madarik wa al-Taqrib al-Masalik, 1/130]

 

Kejayaan Anak Didik Adalah Kejayaan Gurunya Juga

Biasanya mereka (anak didik) akan menyebut tatkala berada di puncak persada kejayaan dengan kalimah “semoga Allah merahmati guru-guru kami”. Inilah mahalnya kejayaan guru dalam mentarbiah dan mendidik anak muridnya.

Kami yakin dan percaya semua ramuan yang dinyatakan sebelum ini, jika dapat didatangkan dengan sebaik mungkin, dengan penuh istiqamah dan dedikasi, maka guru yang sedia ada mampu mempengaruhi guru-guru lain kearah yang terbaik dalam membna bi’ah solehah atau suasana yang baik lagi kondusif.

 

Penutup

Al-Imam al-Ghazali (wafat 505H) di dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din ada menukilkan kisah adab dan akhlak Al-Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H) Rahimahullah terhadap gurunya al-Imam al-Syafi’e (wafat 204H). Diriwayatkan bahawa al-Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah mengatakan: “Tidaklah aku solat semenjak 40 tahun melainkan di dalam solatku, aku mendoakan untuk al-Imam al-Syafi’e semoga Allah SWT merahmatinya”.

Akhir kalam, kami di sini ingin mengambil peluang untuk mengucapkan “Selamat Hari Guru” bersempena dengan sambutan Hari Guru dan kami akhiri dengan doa buat guru-guru kami yang telah meninggal dunia semoga dirahmati Allah SWT dan buat yang masih ada, semoga diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dinaungi dengan taufiq dan rahmat dari Allah SWT.

 

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

16 Mei 2016 bersamaan 9 Sya’ban 1437H