Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-57: POST MORTEM MAYAT: HUKUM ISLAM & PENDAPAT ULAMA

Mukaddimah

Pada hari ini 4 April 2016, kami ditaklifkan iuntuk membentangkan dua kertas kerja berkenaan post mortem mayat dan juga mengambil cebisan organ manusia ketika post mortem untuk siasatan dan penyelididkan.

Ia dibentangkan di dewan Produktiviti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Kepala Batas Pulau Pinang dalam konvensyen Fiqh Perubatan dan Perubatan Forensik anjuran Kementerian Kesihatan dan Unit Hal Ehwal Islam Hospital Pulau Pinang. Oleh kerana terlalu banyak poersoalan maka kami merasakan amat penting untuk dijawab dengan lebih lengkap dalam Bayan Linnas pada kali ini.

 

Definisi Pembedahan Post mortem

Bedah siasat atau dalam istilah Bahasa Inggeris disebut post mortem bermaksud suatu pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan ke atas mayat. Ianya melibatkan pemeriksaan luaran dan dalaman untuk mengenalpasti punca kematian dan ciri atau setakat mana perubahan dihasilkan oleh sesuatu penyakit, kimia, radiasi, kemalangan, kecederaan dan lain-lain.

Dalam hal ini, sebahagian besar ahli perubtan memberi takrifan dengan setiap pembedahan yang dilakukan untuk menghasilkan maklumat dan dapatan berkaitan penyakit yang tidak mungkin terhasil dnegan cara yang lain. (Lihat Mausu’ah Tibbiyyah Hadithah, 5/983).

 

Jenis-jenis Post mortem

Bedah siasat mayat terbahagi kepada 2 iaitu:

Pertama: Kes Kematian Medico-legal/Post mortem Kes Polis (Bedah siasat yang diarahkan oleh pihak polis), contohnya :

  • Semua kematian yang mendadak luar biasa, disyaki bukan kes-kes biasa, akibat perlakuan ganas seperti bunuh, dera atau seksa.
  • Kematian mendadak biasa tetapi tidak diketahui sebab kematian dari segi perubatan.
  • Kematian akibat kemalangan menggunakan kenderaan atau jentera.
  • Kematian di tempat kerja; kemalangan penyakit dan keracunan ditempat kerja.
  • Kematian akibat keracunan (e.g alcohol intoxication, coal gas, insecticides, barbiturates etc).
  • Kematian akibat bunuh diri.
  • Kematian akibat penggunaan gas-gas perubatan semasa pembedahan, prosedur penyiasatan perubatan, peralatan dan teknologi yang digunakan oleh hospital/klinik dan sebagainya.
  • Kematian akibat kemalangan di rumah, hospital/institusi/tempat umum.
  • Kematian yang dipercayai disebabkan oleh kecuaian pegawai perubatan atau kakitangan hospital/klinik seperti kecuaian menggunakan prosedur perubatan, peralatan, ubat, rawatan dan sebagainya.
  • Kematian semasa tahanan polis, tahanan reman, banduan atau mana yang dibenarkan oleh Negara di kem-kem tahanan.
  • Kematian di Institusi Mental, rumah sakit jiwa dan lain-lain.
  • Kematian bayi baru lahir yang dijumpai.
  • Kematian kanak-kanak akibat kelemasan (suffocation)
  • Kematian berkaitan anak-anak angkat.
  • Sebarang kematian akibat kebakaran dan letupan.
  • Mati lemas.
  • Sebarang kematian di luar kawasan kediaman seperti di tepi jalan, dalam sungai, perairan dan sebagainya, di mana kediaman si mati tidak diketahui.
  • Kematian akibat dari bahan-bahan kimia dan radiasi perindustrian seperti toksid, asid, radioaktif dan sebagainya.

 

Kedua: Kes Kematian Klinikal/Post mortem clinical (Kes di mana doktor yang merawat perlu mendapatkan kebenaran waris yang terdekat dan waris berhak untuk tidak membenarkan bedah siasat mayat dilakukan atau membenarkan bedah siasat dilakukan pada bahagian tertentu sahaja), contohnya :

  • Kematian akibat penyakit berjangkit seperti Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS), AIDS, Antharaks, Japanese Encephalitis (JE) dan seumpamanya.
  • Kematian di wad yang diketahui sebabnya tetapi memerlukan maklumat lebih lanjut mengenai sebab kematian iaitu sejauh mana sesuatu organ itu rosak/dijangkiti.
  • Kematian ibu semasa mengandung (maternal death).

 

Sebenarnya isu post mortem ini termasuk dalam fiqh al-Nawazil. Di mana Dr. Bakar Abu Zaid Rahimahullah menyatakan ia sebahagian dariapda permasalah moden dan baru.

Guru kami Fadhilah Syeikh Dr. Muhammad Muhammad Mukhtar al-Syanqiti Rahimahullah berkata: “Aku tidak mendapati dan menemui sebarang nas di kalangan ulama fuqaha yang terdahulu berbicara berkenaan dengan keharusan post mortem sama dan untuk belajar atau lainnya. Iaitu ketidak harusan. (Lihat Ahkam al-Jarahah al-Tibbiyyah, hlm. 112)

 

Hukum Post mortem

Seperti yang diketahui Post mortem mutakhir ini menjadi sesuatu perkara yang penting. Ia dibahaskan oleh para ulama dan badan badan fatwa dunia.

Kami dapati terdapat dua pandangan:

Pertama: Hukumnya harus. Inilah pendapat banyak badan berautoriti dan juga para ulama. Antaranya:

  • Haiah Kibar Ulama Saudi 1396H bersamaan 1976M.
  • Majma’ Fiqh Islami di Makkah al-Mukarrah 1408H.
  • Lajnah Ifta’ Jordan 1397H.
  • Lajnah Ifta’ al-Azhar Mesir 1971.

Antara tokoh ulama pula yang mengfatwakan harus post mortem adalah:

  • Syeikh al-Azhar, Syeikh Yusuf al-Dajawi.
  • Syeikh Hasanain Makhluf, Mufti Mesir.
  • Syeikh Ibrahim al-Ya’qubi.
  • Syeikh Said Ramadhan al-Buti.
  • Syeikh Dr Mahmud Nazim al-Nasimi.
  • Syeikh Dr Mahmud Ali Sartawi. Lihat Majallah al-Azhar (6/472) 1354H

 

Dalil-dalil Keharusan

Antara dalil mereka ialah:

Pertama: Qias[1].

Mereka menggunakan tiga wajah Qias:

  • Mereka qiaskan post mortem mayat untuk belajar sama seperti membedah perut wanita hamil yang mati untuk mengeluarkan janinnya yang diharap dapat hidup.
  • Mereka Qiaskan post mortem mayat untuk belajar sama seperti memotong janin yang sudah meninggal untuk menyelamatkan ibu jika ghalib pada zhan ibu atau mati atau binasa dengan sebab janin tersebut.
  • Mereka Qiaskan post mortem mayat untuk belajar sama seperti harus membelah perut seseorang yang mati untuk mengeluarkan harta yang dirampas yang telah ditelannya.

 

Kedua: Beberapa kaedah syariah atau qawaid fiqhiyyah, Antaranya:

  • Kaedah: إذا تَعَارَضَتْ مَصْلَحَتَانِ قَدَمَ أَقْوَاهُمَا ، وَإِذَا تَعَارَضَتْ مَفْسَدَتَانِ ارْتَكَبَ أَخَفَّهُمَا تفاديا لأشدهما

Maksudnya: Apabila bertembung dua maslahah maka didahulukan yang paling kuat dan jika bertembung dua kerosakan hendaklah dipilihn yang paling ringan untuk menolak yang lebih besar.”

Kaedah ini menunjukkan bertembung dua maslahah iaitu maslahah kepada si mati untuk dikebumikan dan disegerakan urusan jenazahnya dan maslahah pembelajaran dan pencarian maklumat. Maka ditarjihkan pencarian maklumat dalam post mortem sifatnya lebih besar dan umum maslahahnya.

 

  • Kaedah: مَالاَ يَتِمّ الوَاجِب إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِب

Maksudnya: “Apa yang tidak sempurna sesuatu yang wajib kecuali dengannya maka perkara tersebut menjadi wajib.”

Kaedah ini menunjukkan keperluan mengkaji dan mempelajari ilmu perubatan berkaitan post mortem bagi mendapatkan sebuah kepastian maklumat. Justeru, pelakuan post mortem adalah dibenarkan dalam Islam.

 

Kedua: Hukumnya Haram dan tidak harus post mortem mayat kerana tujuan pembelajaran. Ini pendapat ramai tokoh ulama, Antaranya:

  • Syeikh al-Azhar, Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’i.
  • Syeikh al-Arabi Bu Iyad al-Tabkhi.
  • Syeikh Muhammad Burhanuddin al-Sambuhli.
  • Syeikh Muhammad Abdul Wahab al-Buhairi.

 

Dalil Ketidak Harusan

Mereka berdalilkan kepada beberapa Nas:

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

(Surah al-Isra’: 70)

Al-Maraghi berkata: “Ayat ini merupakan tuntutan supaya manusia bersyukur dan tidak syirik dengan Tuhan dengan sesuatu pun kerana Allah telah menundukkan bagi manusia segala yang ada di darat mahupun di laut.

Kemuliaan di sini juga memberi makna keistimewaan yang khusus berbanding dengan makhluk yang lain.

Ayat di atas menunjukkan kepada kemuliaan ke atas anak adam secara umum merangkumi kehidupan dan kematiannya.

Adapun post mortem yang dilakukan ke atas manusia ialah merupakan suatu penghinaan kepadanya, iaitu seperti memotong bahagian-bahagian mayat, dan selainnya yang merupakan penghinaan ke atas mayat. Ini berlawanan dengan maksud kemuliaan ke atas anak adam dan kelebihan anak adam. Maka hukumnya tidak harus.

 

Dalil Sunnah, antaranya:

Pertama: Nasihat Baginda SAW kepada panglima tentera sebelum dihantar berperang supaya bertaqwa kepada Allah. Sabda Nabi SAW:

اغْزُوا بِسْمِ الله وفِي سَبيلِ الله قَاتلُوا مَنْ كَفَرَ بالله، اغْزُوا وَلا تَغُلّوا ولاَ تَغْدِرُوا ولاَ تَمثلُوا

Maksudnya: “Berperanglah dengan nama Allah, pada jalan Allah, dan perangilah orang yang kafir dengan Allah, janganlah menipu, janganlah khianat (dalam ghanimah) dan janganlah kamu menyiat-nyiat (anggota tubuh).”

Riwayat Muslim (3/130)

Post mortem badan mayat secara zahir dan jelas termasuk di dalam tegahan umum hadis di atas dan juga terdapat hadis lain dalam isu tegahan Nabi melarang memotong badan mayat.

 

Kedua: Hadis Aisyah R.Anha, daripada Nabi SAW bersabda:

إِنَّ كَسْرَ عَظْمِ الْمُؤْمِنِ مَيْتًا مِثْلَ كَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang hidup.”

Riwayat Ahmad (6/364) dan Abu Daud (544), al-Baihaqi (4/58), dan disahihkan oleh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil (3/212) dan (214)

Hadis di atas menunjukkan akan pengharaman merosakkan tulang mayat orang orang yang beriman dan ketidak harusan post mortem termasuk di dalam hadis tersebut. Maka hukumnya tidak harus.

 

Dalil Qias, antaranya:

Pertama: Bahawa terdapat hadis yang melarang duduk di atas kubur, kerana mayat di dalam kubur tersebut terhina dengan perbuatan tersebut. Sedangkan perbuatan tersebut tidakpun menyentuh mayat di dalam kubur. Oleh kerana itu, tidak harus memotong bahagian mayat atau menyelongkar di dalamnya, maka dalam lebib aula adalah post mortem lebih kuat larangan dan tegahannya.

Kedua: Terdapat dalam kalangan ulama yang mengharamkan membedah tubuh mayat perempuan yang hamil untuk menyelamatkan janin yang diharap masih hidup, sedangkan ianya merupakan maslahah daruri. Maka oleh kerana itu ketidakharusan post mortem adalah lebih aula dan ahra.

 

Dalil dari kaedah al-Syar’iyyah

Mereka berdalilkan beberapa dalil, antaranya:

 

Pertama: Kaedah الضَّرَرُ لَا يُزَالُ بِالضَّرَرِ

Maksudnya: “Kemudaratan tidak dihilangkan dengan kemudaratan.”

Kaedah ini menunjukkan bahawa mafsadah tidak boleh dihilangkan dengan mafsadah. Dan post mortem adalah cara menghilang mafsadah dengan mafsadah seumpamanya.

Maka proses pembelajaran dengan dengan cara menghilangkan darar atau mafsadah seperti penyakit yang dikategorikan sebagai cara perubatan akan menatijahkan hasil mafsadah dan darar ke atas mayat yang di post mortemkan. Dan perkara ini termasuk dalam menghilangkan dara atau mafsadah dengan seumpamanya. Maka berdasarkan kaedah ini ianya tidak harus.

 

Kedua: Kaedah لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Sebenarnaya kaedah ini berdasarkan kepada hadis Abu Sa’id al-Khudri.

Sabda Nabi SAW:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak memudaratkan.”

Riwayatkan  oleh  Ibn  Majah (2341) dan al-Daruqutni  (4/228) serta  selainnya  dengan sanad  yang  bersambung,  juga  diriwayatkan  oleh  Imam  Malik  (2/746) dalam  Muwattho’ secara  mursal  dari  Amr  bin  Yahya  dari  bapanya  dari  Rasulullah  SAW, beliau  tidak menyebutkan  Abu  Sa’id.  Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan

 

Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa Al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”. Ini adalah pendapat yang benar.

Sebagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan kamu membahayakan iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksud saling merugikan iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan tidak untuk membela kebenaran.”

Kaedah di atas menunjukkan keharaman kemudaratan ke atas selainnya. Maka post mortem padanya terdapat kemudaratan ke atas mayat. Maka hukumnya tidak harus.

 

Tarjih

Ditarjihkan di sini bahawa harus post mortem mayat orang kafir dan tidak harus pada mayat orang Islam kecuali kerana kes jenayah dan mengenal pasti penyakit.

Ini kerana beberapa alasan:

Pertama: Pada asalnya tidak harus melakukan apa-apa proses pemotongan ke atas mayat orang Islam kecuali dalam hudud, kerana hudud merupakan perkara yang diizinkan syara’ adapun post mortem bukan daripada hudud. Maka wajib dikekalkan pada sifat asalnya iaitu dilarang memotong badan orang Islam.

Kedua: Keberhajatan kepada post mortem mungkin dibolehkan pada orang kafir, akan tetapi tidak boleh kepada orang Islam. Ini kerana penghormatan dan kemuliaan jasad Muslim di sisi Allah ketika hidup mahupun mati.

Ketiga: Dalil yang menunjukkan akan halangan adalah ditakhsiskan kepada muslim bukan orang kafir. Maka tidak mengapa dalam penghinaan kepada kafir. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَنْ يُهِنِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ مُكْرِمٍ

Maksudnya: sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya.

(Surah al-Haj: 18)

 

Al-Khazin berkata dalam Tafsirnya: “Iaitu sesiapa yang dihinakan Allah maka tidak ada sesiapa yang dapat memuliakannya.”

Maka tidak syak lagi bahawa orang-orang kafir mereka semua ialah manusia yang dihina di sisi Allah.

Adapun hadis yang menegah dari memotong mayat. Perkara Ini telah thabit seperti di dalam kisah al-‘Uraniyyin dan al-Muharibin. Maka harus memotong untuk maslahah umum, seperti menghalang golongan yang zalim dari menyakiti orang ramai.  Dan demikian juga harus memotong mayat orang kafir untuk tujuan maslahah umum seperti dalam urusan perubatan seperti proses post mortem. Akan tetapi sebahagian ulama berpendapat bahawa tegahan yang tanzih (iaitu makruh tanzih).

Adapun hadis yang melarang daripada duduk di atas kubur, hadis tersebut menunjukkan kepada penghinaan mayat yang muslim, inilah yang disepakati oleh ulama seperti yang telah diterangkan iaitu ditakhsiskan pengharaman ke atas Muslim. Adapun mayat orang kafir maka penghinaan ke atas mereka adalah disebut oleh Syara. Maka tidak mengapa untuk dilakukan.

Keempat: Adapun pendalilan yang mengharuskan post mortem secara mutlak dengan mengqiaskan dalil mengeluarkan mayat dari kubur untuk mengambil kain kafan yang dirampas adalah tertolak. Istidlal dengan cara qias ini adalah qias ma’al fariq (qias yang amat jauh).

Kelima: Adapun post mortem mayat muslim dengan mengubah melebihi daripada kewajipan yang berkaitan dengan mayat selepas wafat, seperti memandikan, mengkafankan, melakukan solat jenazah dan mengkebumikannya.

Semua di atas adalah bercanggah dengan hadis yang thabit iaitu suruhan menyegerakan jenazah dalam perkara pemandian, kafan, solat jenazah dan pengkebumian.

Ini kerana terdapat hadis sahih daripada Abi Hurairah RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda:

أَسْرِعُوْا بِالْجَنَازَةِ

Maksudnya: “Hendaklah dipercepatkan (urusan) ke atas pengkebumian jenazah….”

Riwayat al-Bukhari (1/228) dan Muslim (2/373)

 

Kami menutup tarjih ini dengan keputusan muzakarah fatwa kebangsaan:

Keputusan fatwa]Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan;

“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan; “Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan."

 

Berikut adalah garis panduan yang saya ringkaskan dari laman web e-fatwa untuk melakukan bedah siasat menurut Islam:

  • Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia.
  • Menyegerakan urusan bedah siasat mayat.
  • Kebenaran Waris
  • Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar).
  • Melakukan bedah siasat mayat setakat yang diperlukan sahaja.
  • Menjaga aurat mayat.
  • Tidak menghina, mencemuh dan memaki mayat.
  • Mengambil langkah-langkah keselamatan.
  • Menguruskan mayat dan sampel kajian (organ atau tisu) selepas bedah siasat dengan sebaik-baiknya.
  • Tidak mengambil tisu atau organ mayat.
  • Orang yang dibenarkan hadir semasa bedah siasat mayat.

Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita sentiasa mendapat kefahaman Islam yang sebenarnya dan beroleh taufiq dan hidayat serta mardhatillah. Amin.

 

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

7 April 2016 bersamaan 29 Jamadilakhir 1437H

 

 

[1] Qias menurut bahasa Arab bererti menyamakan, membandingkan atau mengukur, seperti menyamakan si A dengan si B, kerana kedua orang itu mempunyai tinggi yang sama, bentuk tubuh yang sama, wajah yang sama dan sebagainya. Qias juga berarti mengukur, seperti mengukur tanah dengan meter atau alat pengukur yang lain. Demikian pula membandingkan sesuatu dengan yang lain dengan mencari persamaan-persamaannya. Menurut para ulama usul fiqh, ialah menetapkan hukum suatu kejadian atau peristiwa yang tidak ada dasar nasnya dengan cara membandingkannya kepada suatu kejadian atau peristiwa yang lain yang telah ditetapkan hukumnya berdasarkan nas kerana ada persamaan 'illat antara kedua kejadian atau peristiwa itu.