Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-312: HENTIKAN NORMALISASI MAKSIAT

MAKSIAT.jpg

 

Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menyokong penuh kenyataan Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), pada 03 Julai 2025, dalam seruannya agar masyarakat menghentikan perbuatan menormalisasikan maksiat dengan menjadikan kebebasan peribadi sebagai alasan dan hujah. Hal ini berkait dengan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa terdapat sebanyak 1,091 kes HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT dari 2020 hingga 2024, dengan 222 kes melibatkan remaja seawal usia 18 tahun pada tahun lalu.[1] Punca kepada perkara ini ialah gejala sosial dan keruntuhan moral dalam kalangan para remaja dan anak muda pada hari ini. Sememangnya situasi yang dihadapi ini sangat membimbangkan. Oleh yang demikian, atas rasa tanggungjawab dan kewajipan, pihak JMWP akan mengulas isu ini dari perspektif syarak.

Ancaman Terhadap Golongan Yang Menormalisasikan Maksiat

Dalam isu ini, terdapat golongan yang sengaja ingin menormalisasikan maksiat secara terang-terangan. Sesungguhnya Allah SWT melarang umat-Nya untuk melakukan maksiat sama ada secara sembunyi ataupun terang-terangan. Namun begitu, seseorang yang melakukan dosa kemudian berbangga dan menyebutnya secara terang-terangan adalah lebih besar dosanya. Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT tidak mengampunkan golongan yang menzahirkan maksiat secara terang-terangan seperti itu. Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ.

Maksudnya: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya antara perbuatan mendedahkan dosa itu ialah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: “Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini.” Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Hadis di atas menerangkan tentang golongan al-mujahirin iaitu seorang fasiq yang menzahirkan kefasiqannya dengan melakukan perkara keji kemudian menyebarkannya kepada masyarakat awam dengan cara melulu dan menggunakan kekerasan.[2] Hal ini termasuk golongan yang menjadikan maksiat sebagai suatu perkara biasa dengan menganggapnya tidak mengapa di atas hujah dan alasan yang difikiran dengan akal semata-mata.

Kebebasan Manusia Bukan Mutlak

Kebebasan manusia dibatasi oleh syariat dan perjanjian terdahulu yang diikat dengan Tuhan iaitu Allah SWT semenjak di alam roh lagi. Perjanjian tersebut merupakan pengakuan dan kesedaran bahawa manusia merupakan hamba kepada Allah SWT dan mereka diberi pilihan sama ada ingin beriman atau kufur yang mana mereka sendiri yang bertanggungjawab atas segala perbuatan dan perlakuan selepas dilahirkan ke dunia. Firman Allah SWT:

‏ وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا ۛ أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ ‎﴿١٧٢﴾

Maksudnya: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.”

(Surah al-A’raf:126)

Abu Tahir al-Qazwini menjelaskan ayat di atas bahawa apabila manusia sampai kepada masa taklif (masa diberi tanggungjawab syarak di dunia), maka nyatalah apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT dalam ilmu-Nya yang terdahulu iaitu ada antara mereka yang menepati perjanjian itu (beriman) dan ada pula yang melanggarnya (kufur).[3]

Begitu juga di dunia, sudah tentu manusia tidak mempunyai kebebasan yang mutlak kerana segala perbuatan juga terikat dengan peraturan undang-undang dalam perlembagaan sesebuah negara. Hal ini demi menjaga kemaslahatan semua pihak agar tidak ada golongan yang menzalimi dan mengambil hak orang lain dengan cara yang batil. Selain itu, terdapat perkara yang tidak dapat diputuskan hanya berdasarkan peribadi seseorang semata-mata. Hal ini kerana maslahah umum lebih didahulukan berbanding maslahah khusus (individu). Ini berdasarkan kaedah yang menyebutkan bahawa:

اعتبارُ المصلحَةِ العامَّةِ مُقدَّمٌ على اعتبارِ المصلحَةِ الخاصَّةِ

Maksudnya: Mengambil kira maslahah yang bersifat umum lebih didahulukan daripada meraikan maslahah yang khusus.[4]

Konsep al-Tahsin wa al-Taqbih di sisi Ahli Sunnah

Dalam hal ini, ulama Ahli Sunah Waljamaah menyatakan bahawa perihal baik dan buruk adalah berdasarkan syarak terlebih dahulu sebelum akal. Hal ini berbeza dengan golongan Muktazilah yang melihat penentuan baik dan buruk berdasarkan akal. Imam al-Bajuri menyebutkan perkara ini bahawa:

وعندنا: الحسن ما حسّنه الشرع، والقبيح ما قبّحه الشرع. واستدلت المعتزلة على مذهبهم بأن إرادة الشر شر، وإرادة القبيح قبيحة، والله تعالى منزه عن الشرور والقبائح. ورد بأنه لا يقبح من الله شيء ، غاية الأمر أنه يخفى علينا وجه حسنه.

Maksudnya: Di sisi kami (Ahli Sunnah), baik (al-hasan) ialah apa yang baik di sisi syarak dan buruk (al-qabih) ialah apa yang buruk di sisi syarak. Golongan Muktazilah berhujahkan bagi mazhab mereka (baik dan buruk berdasarkan akal) bahawa kehendak untuk melakukan kejahatan adalah jahat dan kehendak untuk melakukan keburukan adalah buruk, sedangkan Allah SWT Maha Suci daripada segala kejahatan dan keburukan. Namun dijawab hujah tersebut bahawa tiada yang buruk daripada Allah SWT, hanya kita sahaja yang terlindung daripada sudut kebaikan sesuatu perkara.[5]

Oleh yang demikian, dalam hal ini seorang muslim hendaklah tunduk kepada setiap suruhan dan larangan syarak. Hal ini kerana baik dan buruk itu ditentukan oleh syarak walaupun tidak bersesuaian dengan pemikiran rasional akal mereka. Selain itu, akal manusia kadangkala lemah dan tidak mampu untuk memikirkan semua perkara, apatah lagi dalam perkara ghaibiyyat atau metafizik yang tidak mampu difikirkan oleh mereka. Hal ini seperti dalam firman Allah SWT:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ‎﴿٢١٦﴾

Maksudnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

(Surah al-Baqarah: 216)

Walau bagaimanapun ini tidaklah bermaksud bahawa Islam menolak penggunaan akal secara mutlak. Bahkan Islam menggalakkan umat untuk berfikir dan menggunakan akal tetapi mestilah dalam kerangka yang tidak melebihi batasan syarak dan melibatkan perkara kebaikan. Ini dapat dilihat dalam banyak ayat al-Quran yang menyuruh manusia untuk berfikir, merenung dan melakukan tadabbur.

Keperluan Kepada Pembentukan Rohani Yang Kuat

Oleh yang demikian, dalam menghadapi cabaran gejala sosial dan budaya yang tidak sihat ini, para remaja dan anak muda perlulah mempunyai benteng dan pelindung yang kukuh. Pertama, sekiranya seseorang telah terlibat dengan perkara yang tidak baik tersebut, maka hendaklah dia segera untuk bertaubat dengan taubat yang nasuha dan kembali kepada Allah SWT. Ini dengan cara mengucapkan istighfar kepada Allah SWT, menyesal atas perbuatan yang dilakukannya dan berazam untuk tidak mengulanginya pada masa hadapan.

Seterusnya, dia juga hendaklah sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyakkan ibadah dengan dimulai dengan solat-solat fardu dan ibadah wajib yang lain, kemudian ditambah dengan amalan-amalan sunat sedikit demi sedikit sehingga mendapat cinta daripada Allah SWT. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis qudsi:

وما تَقَرَّبَ إلَيَّ عَبْدِي بشَيءٍ أحَبَّ إلَيَّ ممَّا افْتَرَضْتُ عليه، وما يَزالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إلَيَّ بالنَّوافِلِ حتَّى أُحِبَّهُ

Maksudnya: Tidak ada suatu amalan yang lebih Aku cintai daripada ibadah yang Aku fardukan baginya. Seseorang hambaKu sentiasa mengerjakan amalan-amalan sunat sehinggalah Aku mencintainya.

(Riwayat al-Bukhari)

Di samping itu, seseorang perlu mendapatkan nasihat dan panduan daripada para asatizah dan ulama yang dihormati dan dipercayai untuk memberikan bimbingan secara berterusan dalam usaha menjadi seorang yang lebih baik. Selain itu juga, seseorang perlu mencari lingkungan sosial (social circle) yang baik dan meninggalkan lingkungan yang tidak baik. Hal ini seperti disebutkan dalam hadis yang masyhur berkaitan pembunuh seratus orang manusia yang disuruh oleh alim untuk berpindah daripada tempatnya yang penuh maksiat kepada tempat yang didiami oleh orang soleh. Imam al-Fayumi mensyarahkan hadis tersebut dengan berkata:

في هذا استحباب مفارقة التائب البلدة التي أصاب فيها الذنوب والأخلاء المساعدين له على ذلك ومقاطعتهم ما داموا على حالهم وأن يستبدل بهم صحبة أهل الخير والصلاح والعلماء والمتعبدين الورعين ومن يقتدي به وينتفع بصحبته وتتأكد بذلك توبته والله أعلم.

Maksudnya: Dalam hadis ini menujukkan bahawa seseorang yang bertaubat disunatkan untuk meninggalkan negeri yang ditimpa dengan kemaksiatan dan meninggalkan teman-teman yang membantunya untuk melakukannya serta menjauhi mereka selagimana mereka masih lagi dalam keadaan tersebut. Di samping itu, dia hendaklah menggantikan mereka dengan berdampingan dengan orang yang baik dan soleh, para ulama dan ahli ibadah yang warak serta orang yang menjadi contoh teladan yang baik supaya dia mendapat daripada pergaulan mereka tersebut. Justeru itu taubat yang dilakukan oleh mereka lebih kukuh dan kuat.[6]

Oleh yang demikian, ini menunjukkan sahabat dan masyarakat sekeliling juga memainkan peranan besar dalam pembentukan peribadi seseorang. Justeru jika baik lingkungan sosialnya maka baiklah peribadi seseorang, begitu juga sebaliknya.

Kesimpulan

Kesimpulannya, tindakan menormalisasikan maksiat dengan hujah kebebasan peribadi adalah tidak dapat diterima sama ada dengan akal mahupun syarak. Hukum perbuatan tersebut adalah berdosa besar dan diancam dengan azab yang sangat berat oleh Allah SWT di akhirat kelak. Selain daripada itu, penentuan sesuatu sama ada baik ataupun buruk adalah berdasarkan syarak. Seseorang tidak boleh menjadikan alasan bahawa sesuatu perbuatan maksiat itu baik bagi dirinya sedangkan ia diharamkan oleh Allah SWT. Ini kerana baik dan buruk adalah apa yang baik dan buru di sisi syarak dan bukan hanya pada pertimbangan akal.

Oleh yang demikian, hendaklah kita mempersiapkan diri kita dengan benteng yang kukuh dengan bertaubat, memperbanyak amalan kebaikan, berdamping dengan orang yang soleh dan para ulama serta duduk dalam lingkungan sosial yang baik. Mudah-mudahan Allah SWT menjaga semua umat Islam daripada terjebak daripada segala dosa dan maksiat.

WaAllahu a’lam.

Rujukan

[1] Rujuk pautan: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pelajar-ipt-hidap-hiv-henti-normalisasi-maksiat-mohd-naim-527794?fbclid=IwY2xjawLUJD9leHRuA2FlbQIxMQBicmlkETF6ZGl5TW00S3ByVXV0ZW5oAR5cdfBSn2o2aT13S7NbNMei6-GUTYxxlBeqz8SCsFdm7vjzZCakrW2VfdnTcw_aem_y75OenkbBonhdSJvZGaDYg

[2] Al-Kashmiri, Muhammad Anwar Shah, Faydh al-Bari ‘ala Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 2005), jld. 6, hlmn. 143.

قوله: (‌إلا ‌المجاهرين) هو الفاسق المعلن، أتى بفاحشة، ثم أشاعها بين الناس، تهورًا ووقاحة.

[3] Sadiq Hasan Khan, Fath al-Bayan fi Maqasid al-Quran, (Beirut: Al-Maktabah al-Isriyah, 1412H) Jld 5, Hlm. 73.

فقالوا بلى فلما انتهوا إلى زمان التكليف وظهر ما قضى الله في سابق علمه لكل أحد منهم من وافق ومنهم من خالف قاله أبو طاهر القزويني.

[4] Abdullah al-Jadi’, Taysir Ilm Usul al-Fiqh, (Beirut: Muassasah al-Rayyan, 1997), hlmn. 339.

[5] Al-Baijuri, Burhanuddin Ibrahmin, Hasyiah al-Baijuri ‘ala Jawharat al-Tauhid, (Kaherah: Dar al-Salam, 2012), hlmn. 185.

[6] Al-Fayumi, Abu Muhammad, Fath al-Qarib al-Mujib ‘ala al-Targhib wa al-Tarhib, (Riyadh: Maktabah Dar al-Salam, 2018), jld. 12, hlmn. 458.