Mukadimah
Dalam zaman moden, istilah seperti autisme, neurodivergent dan seumpamanya sering digunakan untuk memahami perbezaan cara berfikir dan berperasaan manusia. Walaupun niat sesetengah pihak ialah untuk menghormati kepelbagaian manusia, namun apabila perbandingan ini menyentuh peribadi Rasulullah SAW ia perlu diteliti dengan penuh adab, ilmu dan kehati-hatian agar selari dengan maqasid tadayyun seseorang muslim.
Rasulullah SAW bukan sekadar seorang manusia biasa, tetapi makhluk paling sempurna akalnya, akhlaknya dan jiwanya, sebagaimana disepakati oleh para ulama Ahli Sunnah Waljamaah. Baru-baru ini, tular di media sosial satu dakwaan yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan seorang individu yang menghidapi autisme. Sebelum kita membincangkan isu ini dengan lebih mendalam, adalah penting untuk memahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan autisme.
Maksud Autisme
Gangguan Spektrum Autisme (ASD) merupakan satu keadaan neuro perkembangan yang menjejaskan keupayaan individu dalam berkomunikasi, berinteraksi sosial serta mengawal tingkah laku dan lazimnya dikesan sejak usia kanak-kanak lagi.[1]
Menisbahkan Nabi SAW sebagai Individu Autisme Menurut Syarak
Dari sudut hukum syarak, perbuatan menyandarkan sesuatu kekurangan fizikal, mental atau gangguan fungsi terhadap Rasulullah SAW adalah perbuatan yang tidak dibenarkan, bahkan boleh jatuh kepada perbuatan tidak beradab dengan Nabi SAW jika disampaikan tanpa ilmu dan adab.
Al-Qadi ‘Iyad menegaskan dalam al-Syifa bi Taʻrif Huquq al-Mustafa bahawa jika seseorang itu tidak berniat untuk menghina, menimbulkan kekurangan atau mencela Nabi SAW, namun dia menyebut sebahagian sifat atau keadaan Baginda SAW yang harus berlaku ke atasnya sebagai manusia. Semua itu disebutkan bukan dengan tujuan meneladani atau memuliakan, tetapi untuk mengangkat dirinya atau orang lain, atau sekadar membuat perbandingan, maka hal ini juga termasuk perbuatan yang tidak beradab terhadap Nabi SAW. Lebih-lebih lagi apabila ia disertai dengan unsur gurauan, sindiran atau kekurangan rasa hormat terhadap Baginda SAW.[2]
Ulama sangat berhati-hati apabila menyebutkan tentang keperibadian Rasulullah SAW. Hal ini kerana, baginda SAW adalah makhluk yang paling mulia di sisi Allah SWT, justeru al-Qadi ‘Iyad menyebutkan bahawa:
لاخفاء عَلَى مَنْ مَارَسَ شَيْئًا مِنَ الْعِلْمِ، أوْ خُصَّ بِأَدْنَى لَمْحَةٍ مِنَ الْفَهْمِ: بِتَعْظِيمِ اللَّهِ قَدْرَ نَبِيِّنَا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وخُصُوصِهِ إيَّاهُ بِفَضَائِلَ وَمَحَاسِنَ وَمَنَاقِبَ لَا تَنْضَبِطُ لِزِمَامٍ: وَتَنويِهِهِ مِنْ عَظِيمِ قَدْرِهِ بِمَا تَكِلُّ عَنْهُ الْأَلْسِنَةُ وَالْأَقْلَامُ
Maksudnya: Tidaklah tersembunyi bagi sesiapa yang pernah mendalami ilmu atau dikurniakan walau sekelumit kefahaman, bahawa Allah SWT telah mengagungkan kedudukan Nabi kita Muhammad SAW dan mengkhususkan Baginda SAW dengan pelbagai kelebihan, keindahan akhlak serta kemuliaan yang tidak mampu dihitung (dengan ukuran manusia). Allah SWT telah meninggikan darjatnya dengan kemuliaan yang begitu besar sehingga lidah dan pena tidak mampu menghuraikannya.[3]
Menyandarkan sesuatu perkataan atau sifat kekurangan kepada Baginda SAW adalah suatu perkara yang bersalahan dengan syarak. Disebabkan itu, ulama begitu menjaga perkara ini sehinggakan terdapat pihak yang mendakwa Nabi SAW kalah dalam peperangan Uhud pun dianggap tidak beradab. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah kalah dan melarikan diri dalam medan peperangan bahkan para ulama telah bersepakat bahawa tidak selayaknya untuk menyatakan bahawa Nabi SAW kalah dalam peperangan.[4]
Oleh itu, jika maksud seseorang hanyalah menunjukkan kehebatan tumpuan atau fokus Baginda SAW, maka niat itu baik. Tetapi menggunakan istilah klinikal moden seperti autisme untuk menggambarkan Rasulullah SAW adalah suatu kesalahan serta tidak tepat dan boleh menimbulkan fitnah kepada Islam. Bahkan, dalam konteks perubatan moden sekarang autisme ialah satu penyakit yang menjejaskan keupayaan individu dalam berkomunikasi, berinteraksi sosial dan seumpamanya.
Kesimpulan
Menisbahkan sifat autisme kepada Rasulullah SAW adalah dilarang dalam Islam. Hal ini kerana Allah SWT telah memuliakan Nabi SAW dan mengangkat kedudukannya sebagai contoh tauladan yang terbaik bagi seluruh umat manusia. Selain itu, perbuatan ini juga boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat, seolah-olah ia menggambarkan kekurangan atau kelemahan pada diri Rasulullah SAW, sedangkan Baginda SAW adalah insan yang paling sempurna ciptaannya.
Wallahuaʻlam.
Rujukan:
[1] Clinical Practice Guideline, Management of Autism Spectrum Disorder in Children and Adolescent (Putrajaya: Malaysian Health Technology Assessment Section (MaHTAS), hlm. 1.
[2] Al-Qadi ‘Iyad, al-Syifa bi Taʻrif Huquq al-Mustafa (t.tp.: Dar al-Fikr, 1988), jdl. 2: hlm. 238.
فصل الْوَجْه الخامس أن لَا يَقْصِد نَقْصًا وَلَا يَذْكُر عَيْبًا وَلَا سَبًّا لكنه يَنْزَع بِذِكْر بَعْض أوْصَافِه أَو يَسْتَشْهِد بِبَعْض أَحْوَالِه صَلَّى اللَّه عَلَيْه وَسَلَّم الْجَائزَة عَلَيْه فِي الدُّنْيَا عَلَى طَرِيق ضَرْب المثل والحجة لنفسه أو لغيره أو عَلَى التشبه بِه أَو عِنْد هضيمة نالته أو غضاضة لحقته لَيْس عَلَى طريق التأسي وطريق التحقيق بَل عَلَى مَقْصِد التَّرْفِيع لِنَفْسِه أَو لِغَيْرِه أَو عَلَى سَبِيل التّمْثِيل وعدم التّوْقِير لِنَبِيّه صَلَّى اللَّه عَلَيْه وَسَلَّم أَو قَصْد الْهَزْل وَالتّنْذِير بِقَوْلِه كقول القائِل إن قِيل فِي السُّوء فَقَد قِيل فِي النَّبِيّ أَو إن كُذّبْت فَقَد كُذّب الْأَنْبِيَاء أَو إن أذْنَبْت فَقَد أذْنَبُوا أَو أَنَا أسْلَم من ألْسِنَة النَّاس وَلَم يَسْلَم مِنْهُم أنبِيَاء اللَّه ورسله أَو قَد صَبَرْت كَمَا صَبَر أُولُو العَزْم أَو كَصَبْر أَيُّوب أَو قَد صَبَر نَبيّ اللَّه عَن عِدَاة وَحَلُم عَلَى أكْثَر مِمَّا صَبَرْت
[3] Ibid., jld. 1: hlm. 11.
[4] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Myslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy, 1392) Jdl. 12 Hlm. 58.
وَقَدْ نَقَلُوا إِجْمَاعَ الْمُسْلِمِينَ عَلَى أَنَّهُ لَا يَجُوزُ أَنْ يُقَالَ انْهَزَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَرْوِ أَحَدٌ قَطُّ أَنَّهُ انْهَزَمَ بِنَفْسِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَوْطِنٍ مِنَ الْمَوَاطِنِ