Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-105: SEBAB WURUD HADITH “CELAKALAH TUMIT-TUMIT DENGAN AZAB API NERAKA”

 

Soalan:

Apakah sebab wurud hadith “Celakah tumit-tumit dengan azab api neraka” ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Matan Hadith

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Celakah tumit-tumit dengan azab api neraka”.  [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 58, 94, 158 dan 160. Muslim, no. Hadith 353, 354, 355, 356 dan 358. Abu Daud, no. Hadith 89. Al-Tirmizi, no. Hadith 39. Al-Nasa’ie, no. Hadith 110 dan Ibn Majah, no. Hadith 444, 446 dan 448]

 

Sebab Wurud Hadith

Direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Umar RA, beliau berkata:

Nabi SAW telah terlambat daripada kami di dalam salah satu permusafiran. Baginda SAW mendapati kami ketika solat Subuh sudah hampir habis dan ketika itu juga kami sedang berwudhuk. Kami hanya mengusap-usap atau menyapu sahaja di atas kaki kami, lalu Beginda SAW bersabda dengan suara yang tinggi: “celakah tumit-tumit dengan azab api neraka”, sebanyak dua atau tiga kali.

Direkodkan oleh Imam Ahmad, daripada Jabir bin Abdillah RA, beliau berkata yang bermaksud:

Rasulullah SAW melihat kepada satu kaum yang berwudhuk dengan tidak menyapu (dengan air) tumit-tumit mereka, maka Baginda SAW bersabda: “celakah tumit-tumit dengan azab api neraka”. [Lihat: al-Luma’ fi Abab Wurud al-Hadith, 66]

 

Makna Hadith

Di dalam hadith menunjukkan akan kewajipan membasuh kedua kaki ketika berwudhuk dan wudhuk tidak sah dengan sekadar menyapu tanpa membasuh. Ini dapat difahami daripada perkataan Nabi SAW apabila Baginda SAW menegur para sahabat RA yang menyapu sahaja kaki mereka tanpa membasuhnya dengan rata menggunakan air. Imam al-Tirmizi menyatakan antara fiqh hadith ini adalah tidak dibolehkan menyapu kedua kaki melainkan dengan adanya khuf (sarung kaki yang diperbuat daripada kulit) atau sarung kaki (stoking). [Lihat: Sunan al-Tirmizi, 1/96]

Selain itu juga, kita memahami bahawa kewajipan membasuh kaki bukannya sekadar menyapu adalah berdasarkan bab-bab yang diletakkan oleh para imam. Antaranya Imam al-Bukhari meletakkan bab pada hadith ini adalah “bab membasuh kedua kaki dan bukan menyapu keduanya”.

Tambahan pula, difahami daripada hadith ini adalah kewajipan meratakan anggota-anggota wudhuk dengan membasuhnya menggunakan air. Dengan itu, kita hendaklah menyampaikan air keseluruh anggota wudhuk tanpa mengabaikan mana-mana tempat daripadanya. Disebabkan itu, Rasulullah SAW mengkhususkan dengan tumit kerana tumit terletak di akhir atau penghujung kaki. Imam al-Nawawi RA ketika meletakkan bab di dalam Sahih Muslim, beliau meletakkan hadith ini di dalam “bab kewajipan membasuh kedua kaki dengan sempurna”.

 

Penutup

Kesimpulannya, tidak semua hadith mempunyai asbab wurud sesebuah hadith. Ini kerana, sebahagian hadith diungkapkan atau diucapkan disebabkan soalan yang ditanya atau peristiwa dan situasi yang sedang berlaku. Akhirnya, semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita dalam agama ini. Amin.

Wallahua’lam