Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-68: Ringkasan Mengenai Pembentangan Kertas Kerja Seminar “Home of Hadith” (Pengamalan Hadith Dhoif)

 

Pengenalan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Ini adalah sedikit ulasan atau ringkasan yang diambil daripada kertas kerja keempat yang bertajuk “Hadith Dhaif dalam Fadhail, Targhib, Tarhib dan Akhlak” oleh al-Fadhil Maulana Ust Nasaie Hanaffi bin Hasin. Isu hadith Dha’if sentiasa menjadi perbualan dan berlegar di dalam masyarakat kita. Kebanyakan masyarakat dan juga sebahagian pihak mengambil mudah dalam isu ini dengan mengatakan bahawa hadith Dha’if boleh diamalkan di dalam Fadhail dan juga pada Targhib (galakan) dan Tarhib (ancaman) secara mutlak. Untuk itu, kertas kerja ini ditulis bagi menjelaskan “Hadith Dhaif dari sudut amalan di dalam Fadhail, Targhib dan Tarhib”.

 

Peranan al-Sunnah

  • Menguatkan hukum yang ada di dalam al-Quran.
  • Mengkhususkan umum al-Quran.
  • Mentafsil (menjelaskan) ayat-ayat mujmal di dalam al-Quran.
  • Mentaqyidkan (menghadkan atau mengikat) ayat-ayat mutlak di dalam al-Quran.
  • Mengeluarkan hukum baru yang tidak disebut di dalam al-Quran.

 

Fungsi ilmu hadith

Antara fungsi ilmu hadith ialah untuk mengetahui status sesebuah hadith samada ia boleh diterima atau tidak.

 

Pembahagian hadith

Secara umumnya hadith dibahagikan kepada dua, iaitu:

  • Pembahagian hadith yang maqbul (yang diterima)
  • Sahih
  • Hasan
  • Hasan li Zatihi
  • Hasan li Ghairihi

 

  • Pembahagian hadith yang mardud (yang ditolak)
  • Maudhu’
  • Dhaif

 

Definisi hadith Sahih

Hadith Sahih (الصحيح) ialah hadith yang sanadnya bersambung serta diriwayatkan oleh seseorang yang bersifat adil dan kuat ingatan daripada orang yang bersifat sama sepertinya, hingga kepada sumber yang pertama berita tersebut tanpa sebarang kejanggalan (الشذوذ) dan kecacatan (العلة).

 

Syarat-syarat hadith Sahih:

  • Sanad yang bersambung.
  • Adil dan bermaruah.
  • Mempunyai dhabit yang sempurna.
  • Tidak syaz.
  • Tidak ada ‘illah.

 

Definisi hadith Hasan

Hadith Hasan ialah syaratnya seperti hadith Sahih namun terdapat sedikit kekurangan daripada sudut hafalannya berbanding hadith Sahih, ini dinamakan hadith Hasan li Zatihi. Adapun hadith Hasan li Ghairihi ialah pada asalnya hadith tersebut bersifat Dhaif namun ia dikuatkan dengan hadith yang lain sehingga dinaiktaraf kepada hadith Hasan li Ghairihi.

 

Definisi hadith Dha’if

Dari sudut bahasa : dha’if adalah sifat musyabbahah dan lawan bagi kuat. Manakala, dha’if pada istilah ialah :

 

  • Kata Ibn Salah: “Hadith Dhaif ialah hadith yang tidak mencukupi sifat hadith Sahih ataupun hadith Hasan”.

 

  • Kata Ibn Hajar: “Hadith Dhaif ialah hadith yang sifat-sifat penerimaan (syarat-syarat hadith Sahih dan Hasan) tidak ada padanya”.

 

Peringkat hadith Dhaif

Hadith Dhaif mempunyai beberapa peringkat:

 

  • Dhaif berat

Antara ciri hadith Dhaif berat:

  • Hadith yang direka-reka.
  • Hadith yang datang daripada jalur perawi yang berdusta.
  • Hadith daripada perawi yang fasiq.
  • Hadith daripada perawi ahli bid’ah mukaffirah (yang membawa kepada kekufuran)

 

  • Dhaif ringan

Antara ciri hadith Dhaif ringan:

  • Perawi yang meriwayatkan hadith itu majhul (tidak dikenali)
  • Perawi di dalam sanad hadith tersebut bersifat dhaif (lemah) yang ringan tetapi dengan syarat bahawa dhaif tersebut adalah bersifat muhtamil (berkemungkinan)

 

  • Mudha’’af
  • Hadith Mudha’’af adalah hadith yang paling tinggi kedudukannya. Ini kerana, statusnya menjadi perselisihan antara para ulama’ samada ia dhaif atau hasan tetapi ia perlulah melihat kepada dhawabit (panduan) dalam berinteraksi dengan situasi seperti ini.

 

Hukum beramal atau berhujah dengan hadith dha’if

Para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan adakah hadith dha’if menjadi hujah di dalam hukum dan boleh diamalkan di dalam fadhail al-‘Amal (kelebihan amalan-amalan):

 

Pertama : Hadith dha’if tidak boleh diamalkan secara mutlak dan tidak boleh dijadikan hujah di dalam hukum dan juga fadhail al-‘Amal.

 

Kedua    : Hadith dha’if  hanya boleh diamalkan di dalam fadhail al-‘Amal dan tidak menjadi hujah di dalam hukum. Ini merupakan pendapat jumhur ulama’ tetapi para ulama’ telah meletakkan beberapa syarat untuk beramal dengan hadith dha’if. Antaranya ialah :

 

  • Tidak terlalu dha’if.
  • Terdapat asal bagi amalan tersebut.
  • Tidak beri’tiqad ketika beramal dengannya bahawa Nabi SAW melakukannya.
  • Beramal dalam perkara-perkara yang melibatkan fadhail al-A’mal sahaja.

 

Tarjih : Selepas meneliti pendapat-pendapat para ulama’ dalam menjadikan hadith dha’if sebagai hujah dan boleh diamalkan di dalam fadhail al-A’mal, kami cenderung terhadap keharusan beramal dengan hadith dha’if tetapi dalam masa yang sama perlu diikat dengan syarat-syarat atau dhawabit (panduan-panduan) seperti yang dinyatakan oleh jumhur ulama’ sebagaimana yang dinyatakan dalam pendapat yang kedua. Ini juga merupakan pendapat imam al-Nawawi RA dan Mulla ‘Ali al-Qari.

 

Penutup

Kesimpulannya, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam beramal dengan hadith Nabi SAW. Ini kerana, jika sesuatu amalan itu tidak dilakukan oleh Nabi SAW tetapi kita mengatakan bahawa ia dilakukan oleh Rasulullah SAW maka ini termasuk dalam pendustaan ke atas Rasulullah SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam melaksanakan setiap amalan agar setiap amalan yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.