Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-64: Ringkasan Mengenai Pembentangan Kertas Kerja Seminar “Home of Hadith”

 

Pengenalan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Ini adalah sedikit ulasan atau ringkasan yang diambil daripada kertas kerja pertama yang bertajuk “Mengenali Ilmu Hadith dan kepentingannya” oleh al-Fadhil Dr Fadlan bin Mohd Othman. Sebagaimana yang kita ketahui, ilmu hadith sangat penting kerana ia merupakan sumber kedua dalam Islam selepas al-Quran. Selain itu juga, tidak ramai orang yang menceburi bidang ini berbanding dengan bidang al-Quran. Ini kerana, al-Quran adalah mutawatir manakala hadith sumbernya berbeza dan berbagai. Ini akan menyukarkan para pengkaji dalam bidang hadith kerana mereka perlu meneliti akan kesahihan sesuatu hadith daripada sumber-sumber yang berbagai.

 

Ilmu hadith terbahagi kepada dua :

  • Al-Riwayah
  • Al-Dirayah

 

Bahagian Pertama

  • Al-Riwayah: Ilmu al-Riwayah pula yang berkaitan dengan sanad sesuatu hadith dari sudut keadaan perawi-perawinya dan juga penerimaan (قبول) hadith tersebut.

 

Jenis-jenis kitab al-Hadith:

  • Muwatta’ ialah himpunan hadith-hadith berdasarkan bab-bab feqah merangkumi hadith marfu’, mawquf dan maqtu’, seperti al-Muwatta’ imam Malik RA.
  • Musnad ialah himpunan hadith-hadith berdasarkan riwayat para sahabat, seperti Musnad Imam Ahmad.
  • Al-Mushannaf ialah karya yang menghimpunkan hadith-hadith Nabi SAW dan apa yang disebut dan dibuat oleh para sahabat dan Tabi’in seperti Mushannaf ‘Abd al-Razzaq dan Mushannaf Ibn Abi Syaibah.
  • Jami’ ialah himpunan hadith-hadith berdasarkan lapan tajuk utama iaitu al-Aqidah, al-Ahkam, al-Siyar, al-Adab, al-Tafsir, al-Fitan, al-Ashrat al-Sa’ah dan al-Manaqib. Contohnya Jami’ al-Tirmizi.
  • Sahih ialah himpunan hadith-hadith sahih berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh penulis, seperti Sahih al-Bukhari.
  • Sunan himpunan hadith-hadith berdasarkan bab-bab feqah, seperti Sunan Abu Daud.
  • Al-Mustadrak pula ialah setiap kitab yang menghimpunkan akan hadith-hadith daripada kitab yang lain, yang tidak disebut oleh penulisnya walaupun hadith tersebut menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh penulis seperti Mustadrak ‘ala Sahihayn yang dikarang oleh Abu ‘Abdullah Muhammad bin ‘Abdullah al-Hakim al-Naisaburiy.
  • Majma’ ialah himpunan hadith-hadith berdasarkan sumber-sumber yang berbeza seperti kitab Majma’ al-Zawaid wa Manba’ al-Fawaid oleh Nuruddin al-Haithami.

 

Bahagian Kedua

  • Al-Dirayah: Ilmu al-Dirayah ialah ilmu yang berkaitan dengan kandungan atau makna yang terdapat di dalam hadith Nabi SAW secara ringkasnya ia disebut sebagai fiqh al-Hadith.

 

Antara ilmu yang terdapat di bawah bahagian ini adalah:

  • Gharib al-Hadith

Kitab-kitab yang menghuraikan lafaz-lafaz yang sukar di dalam teks hadith. Contohnya kitab al-Nihayah fi Gharib al-Hadith oleh Ibn Athir.

 

  • Ikhtalaf al-Hadith

Kitab-kitab yang menghuraikan hadith-hadith yang dilihat bercanggah dari sudut zahirnya. Contohnya kitab Ikhtilaf al-Hadith oleh Imam al-Syafie.

 

  • Ilmu Rijal

Kitab-kitab yang menghuraikan berkaitan perawi-perawi hadith.Contohnya kitab Tahzib al-Tahzib oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani.

 

  • Ilmu Mustholah al-Hadith

Kitab-kitab yang menjelaskan keadaan perawi dan hadith samada ia boleh diterima atau tidak. Contonya kitab Ma’rifah Anwa’ ‘Ulum al-Hadith oleh Imam Ibn Solah.

 

  • Ilmu Takhrij al-Hadith

Kitab-kitab yang membahaskan metode atau prinsip dalam mengenalpasti sumber asli hadith. Contohnya kitab Al-Wadhih fi Fanni al-Takhrij wa Dirasat al-Asanid yang ditulis oleh sekumpulan pensyarah-pensyarah hadith dari Jordan.

 

Kepentingan ilmu Takhrij al-Hadith

Takhrij al-Hadith ialah meletakkan sesuatu hadith kepada sumbernya. Antara kepentingan ilmu ini ialah:

  • Mengenalpasti kesahihan hadith serta sumbernya.
  • Mengetahui penambahan dan pengurangan di dalam teks atau matan hadith.
  • Mencari jalur-jalur yang lain bagi hadith tersebut.
  • Mengenalpasti kecacatan yang terdapat di dalam hadith tersebut.

 

Cara-cara untuk mentakhrij al-Hadith:

  • Takhrij berdasarkan nama sahabat atau dengan cara melalui al-Rawi al-A’la.
  • Takhrij berdasarkan lafaz awal di dalam teks atau matan hadith.
  • Takhrij berdasarkan perkataan ganjil yang terdapat di dalam teks atau matan hadith.
  • Takhrij berdasarkan tajuk hadith tersebut.
  • Takhrij berdasarkan keadaan hadith tersebut samada dari sudut teks atau sanad.

 

Berikut adalah lima cara yang digunakan oleh para ulama’ dalam mengtakhrijkan hadith Nabi SAW dan terdapat satu cara yang baru atau moden iaitu dengan menggunakan perisian komputer.

 

Peringkat-peringkat ahli Hadith:

  • Al-Musnid ialah orang yang merawikan hadith dengan sanadnya.
  • Al-Muhaddith pula bermaksud orang yang mengetahui dengan jalan hadith dan nama-nama perawi serta matan. Kedudukannya lebih tinggi daripada Musnid.
  • Al-Hafiz pula ialah siapa yang banyak hafazan hadithnya di samping mahir dengan segala jenis dan pengenalan hadith sama ada dari sudut riwayah atau dirayah. Selain itu juga, mengetahui segala kecacatannya dan menghafal sekurang-kurangnya seratus ribu hadith.
  • Al-Hujjah ialah sesiapa yang menguasai lebih daripada tiga ratus ribu hadith serta kedudukannya lebih tinggi daripada al-Hafiz dan juga al-Muhaddith.
  • Al-Hakim pula ialah yang menghafaz dan menguasai keseluruhan hadith-hadith yang diriwayatkan sama ada dari segi matan dan sanad, jarh dan ta’dil begitu juga dengan tarikhnya.
  • Amir al-Mukminin dalam hadith adalah gelaran yang paling tinggi dalam peringkat-peringkat ahli hadith. Mereka ini merupakan sumber rujukan utama dan ilmu mereka amatlah mendalam meliputi semua bab yang berkaitan dengan ulum hadith, riwayat dan dirayah. Antara mereka yang layak digelar dengan gelaran ini ialah Syu’bah, Sufiyan al-Thauri, Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn Hajar al-Asqalani dan yang seumpama dengan mereka.

 

Penutup

Kesimpulannya, ilmu hadith amat penting terutamanya kepada orang-orang yang ingin menceburkan diri dalam bidang agama. Tambahan pula, hadith adalah daripada Rasulullah SAW maka ia perlulah dijaga agar tidak berlaku pendustaan ke atas Baginda SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufiq dan hidayah-Nya dalam setiap amalan yang kita lakukan. Amin.