Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-51: Kelebihan dan Fadhilat Memotong Kuku

 

 

Soalan

Apakah terdapat kelebihan dan fadhilat memotong kuku di dalam hadith-hadith Nabi SAW?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, memotong kuku adalah termasuk di dalam fitrah manusia merujuk kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdu Hurairah RA , bahawa Nabi SAW bersabda:

 

الفطرةُ خمسٌ - أو خمسٌ منَ الفطرةِ- الختانُ، والاستحدادُ، ونَتفُ الإبطِ، وتقليمُ الأظفارِ، وقصُّ الشَّاربِ

Maksudnya: “Fitrah itu ada lima, iaitu berkhitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menipiskan misai”. [Riwayat al-Bukhari, no. hadith 5439]

 

Hadith ini menerangkan kepada kita bahawa terdapat lima perkara yang melibatkan fitrah manusia samada yang beragama Islam atau sebaliknya. Salah satu daripadanya adalah memotong kuku. Persoalan di sini ialah apakah terdapat kelebihan atau fadhilat tertentu bagi sesiapa yang memotong kuku. 

 

Galakan Menjaga Kebersihan Diri

Sebelum kami menjawab persoalan ini, suka kami nyatakan seperti berikut daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji:

 

  • Gesaan supaya mandi pada keadaan tertentu. Firman Allah SWT:

 

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib”.

[al-Maidah: 6]

Ini dinyatakan lagi di dalam hadith, Rasulullah SAW bersabda:

 

حَقٌّ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ أَنْ يَغْتَسِلَ فِى كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ يَغْسِلُ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ

Maksudnya: “Tanggungjawab setiap muslim kepada Allah ialah mandi sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu dengan membasuh kepala dan badannya”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 856 dan Muslim, no. Hadith 849]

 

  • Perintah supaya memotong kuku, membersihkan gigi dan pakaian. Rasulullah SAW bersabda:

 

خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: “Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5550 dan Muslim, no. Hadith 257]

 

Sabda Rasulullah SAW lagi:

 

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِى  لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ

Maksudnya: “Sekiranya tidak membebankan umatku, aku akan memerintahkan mereka supaya bersugi setiap kali bersolat”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 847 dan Muslim, no. Hadith 252]

 

Menurut riwayat lain daripada Imam Ahmad [6:325] pada akhir hadith tersebut: “Ketika setiap kali berwudhu’”.

 

Firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan”. [al-Muddathir: 4]

 

 

 

Sabda Rasulullah SAW kepada para sahabatnya:

 

إِنَّكُمْ قَادِمُونَ عَلَى إِخْوَانِكُمْ فَأَصْلِحُوا رِحَالَكُمْ وَأَصْلِحُوا لِبَاسَكُمْ حَتَّى تَكُونُوا كَأَنَّكُمْ شَامَةٌ فِى النَّاسِ فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْفُحْشَ وَلاَ التَّفَحُّشَ

Maksudnya: “Kamu akan berjumpa dengan sahabat-sahabat kamu, maka perkemaskanlah peralatan dan pakaianmu hingga kamu dikenali di kalangan orang ramai. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada perkataan dan perbuatan yang keji dan keterlaluan”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 4089)]

 

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. [al-Baqarah:222]

 

Islam menganggap bersuci itu sebagai sebahagian daripada iman. Ini diterangkan dalam sebuah hadith: Rasulullah SAW bersabda:

 

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 223] 

 

Matan Hadith

Di sini kami datangkan  beberapa matan hadith yang berkaitan dengan kelebihan dan fadhilat memotong kuku:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

من قلَّم أظفارَه يومَ السَّبتِ خرج منه الدَّاءُ ، ودخل فيه الشِّفاءُ ، ومن قلَّم أظفارَه يومَ الأحدِ خرجت منه الفاقةُ ودخل فيه الغنَى ، ومن قلَّم أظفارَه يوم الإثنين خرجت منه العِلَّةُ ودخلت فيه الصِّحةُ ، ومن قلَّم أظفارَه يومَ الثُّلاثاءِ ، خرج منه البرَصُ ، ودخل فيه العافيةُ ، ومن قلَّم أظفارَه يومَ الأربعاءِ خرج منه الوسواسُ ، والخوفُ ودخل فيه الأمنُ والصِّحةُ ، ومن قلَّم أظفارَه يومَ الخميسِ خرج منه الجُذامُ ودخل فيه العافيةُ ، ومن قلَّم أظفارَه يومَ الجمعةِ دخل فيه الرَّحمةُ ، وخرج منه الذُّنوبُ

Maksudnya: “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Sabtu maka akan keluar daripadanya penyakit dan masuk ke dalamnya penawar. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Ahad maka akan keluar daripadanya kemiskinan dan masuk ke dalamnya kekayaan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Isnin maka akan keluar daripadanya kecacatan dan masuk ke dalamnya kesihatan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Selasa maka kan keluar daripadanya penyakit sopak dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Rabu akan keluar daripadanya penyakit waswas dan ketakutan dan akan masuk ke dalamnya keamanan dan kesihatan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Khamis akan keluar daripadanya penyakit kusta dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat maka akan masuk ke dalamnya rahmat dan keluar daripadanya dosa-dosa.”.

 

Hukum Hadith

Hadith ini dinilai palsu oleh Imam Ibn Jauzi [Lihat: al-Maudhu'at, 3:53], Imam al-Syaukani [Lihat: al-Fawaid al-Majmu'ah, 197], al-Albani [Lihat: Sisilah al-Dhaifah, no. Hadith 1816] dan ramai lagi dalam kalangan ahli Hadith. Selain itu, terdapat beberapa jalur lain yang menceritakan akan kelebihan dan fadhilat memotong kuku ini. Antaranya ialah daripada Aisyah RA, Ibn Abbas RA dan Abdullah bin Mas’ud RA tetapi kesemua jalur ini dihukum dhaif oleh para ahli Hadith.

 

Penutup

Kesimpulannya, kami nukilkan pendapat Imam al-Sakhawi berkaitan kelebihan atau fadhilat memotong kuku.

 

“Hadith memotong kuku tidak thabit (sahih) pada kaifiyyatnya (cara) dan juga tidak pada menentukan hari-hari yang tertentu untuk melakukankannya (memotong kuku) daripada Nabi SAW”. [al-Maqasid al-Hasanah, 489]

 

 Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan keikhlasan dalam beramal serta menerima setiap amalan dan perbuatan kita . Amin.