Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-38 : Ibn Salah dan karyanya

Soalan :

Siapakah Imam Ibn Salah dan karyanya “al-Muqaddimah” ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca dan mempelajari sirah kehidupan seseorang ulama’ itu, sedikit sebanyak akan meninggalkan kesan kepada diri kita apabila melihat bagaimana mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mencari, menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu. Justeru itu, elok benar kita mengenali seorang tokoh yang masyhur dalam ulum hadith, tokoh tersebut ialah:

 

Biodata al-Imam Ibn Salah

Nama beliau ialah Taqiyuddin Abi Amr Uthman bin al-Mufti Abdulrahman Salahuddin bin Uthman bin Musa al-Kurdiy al-Syahrzuriy al-Syafiey. Selain itu, beliau merupakan salah seorang daripada imam-imam yang besar di dalam dunia Islam. Beliau telah lahir pada tahun 557 di Syarkhan utara Iraq dan Ibn Salah adalah nisbah beliau kepada bapanya iaitu Salahuddin.

Imam Ibn Salah hidup dalam sebuah keluarga yang sangat menitikberatkan akan ilmu. Ini kerana, bapanya dikenali dan diktiraf akan tahap keilmuannya serta kebijaksanaan. Di samping itu, bapanya merupakan seorang ulama’ yang besar di dalam mazhab al-Syafie dan juga seorang mufti.

Tambahan pula, para pembesar dan kerajaan pada ketika itu sangat menggalakkan dan menitikberatkan berkaitan pelajaran dan ilmu pengetahuan. Antara buktinya ialah, wujudnya sekolah-sekolah serta perpustakaan-perpustakaan bagi memudahkan untuk para penuntut ilmu dan juga para ulama’ untuk menyampaikan ilmu.

Ibn Salah juga mendapat galakan, tunjuk ajar dan sokongan yang kuat daripada bapanya sendiri dan bapanya adalah guru kepadanya. Selain itu, Ibn Salah telah mempelajari kitab al-Muhazzab sebanyak dua kali dengan bapanya sebelum beliau diminta oleh bapanya keluar mencari ilmu sebanyak mungkin seperti ilmu Feqah, Hadith, Tasir dan juga Usul.

Rentetetan daripada itu, Ibn Salah mula keluar mencari ilmu dan telah bertemu dan berguru dengan ramai para alim ulama’ daripada pelbagai jenis cabang ilmu. Antaranya ialah di Baghdad, Hamazan, Naisabur, Halab, Harran, Damsyik dan kemudian beliau kembali ke Syam bersama dengan keluarganya semula. Setelah itu, Ibn Salah mula mengajar dan menyebarkan ilmu di sekolah-sekolah dan juga di beberapa dar al-Hadith.

 

Guru-guru beliau

Antara guru beliau ialah:

  • Salahuddin Abdulrahman bin Uthman (bapanya)
  • Imaduddin Abu Hamid Ibn Yunus
  • Muhammad bin Ali al-Mushili
  • Ubaidullah al-Samin
  • Nasrullah bin Salamah
  • Abdul Muhsin bin al-Thusi
  • Abu Ahmad Abdul Wahab bin Abdullah al-Baghdadi
  • Abu al-Muzaffar Abdul Rahim bin Abdul Karim al-Sam’ani
  • Abu Muhammad Abdullah bin Ahmad bin Muhammad bin Qudamah

 

Murid-murid beliau

Antara murid beliau ialah:

  • Fakhruddin Umar al-Kurkhi
  • Syeikh Tajuddin Abdulrahman
  • Zainuddin Abu Muhammad Abdullah bin Marwan al-Fariqi
  • Al-Qadhi Syihabuddin al-Juri
  • Al-Khatib Syarafuddin al-Farawi
  • Al-Syihab Muhammad bin Syarafuddin
  • Muhammad bin Hasan al-Armawi

 

Pujian ulama’ terhadap Ibn Salah

Antara pujian yang diberikan kepada Ibn Salah ialah:

  • Imam al-Zahabi telah berkata: “Al-Imam, Al-Mufti, Syeikhul Islam Taqiyuddin Abu Amr”.
  • Ibn Khilkan berkata: “Beliau ialah salah seorang ulama’ yang mahir di zamannya dalam tafsir, hadith, feqah, nama-nama perawi yang berkaitan dengan hadith..”.
  • Imam Abu Hafs Ibn al-Hajib pula berkata: “Beliau seorang imam yang wara’, yang cerdik dan mempunyai manhaj yang baik, mahir dalam usul dan furu’..”.
  • Imam al-Sakhawi berkata: “Beliau ialah Imam, mahir, hujjah serta pakar di dalam hal-hal agama, mahir di dalam mazhab (syafi’e), wara’ serta taqwa..”.

 

Karya Beliau

Antara karya beliau adalah:

  • Al-Ahadith al-Kuliyyah
  • Adab al-Mufti wa al-Mustafti
  • Al-Amali
  • Hilyah al-Imam asy-Syafi’i
  • Shilah al-Nasik fi Sifat al-Munasik
  • Thabaqat Fuqaha’ al-Syafi’iyyah
  • Ma’rifah Anwa’ Ulum al-Hadith
  • Al-Fatawa
  • Al-Mu’talaf wa al-Mukhtalaf fi Asma’ al-Rijal
  • A-Nukat ala al-Muhazzab

 

Wafat

Beliau wafat pada 25 Rabi’ul akhir tahun 643 di Damsyik dan masyarakat pada itu sangat merasakan satu kehilangan yang besar. Selain itu, beliau telah ditanam di perkuburan al-Sufiyyah.

 

Pengenalan ringkas Karya Ibn Salah iaitu “Ma’rifah Anwa’ Ulum al-Hadith” atau “Muqaddimah Ibn Salah”.

Antara karya Ibn Salah yang utama dan terkenal ditinggalkan oleh beliau ialah “Ma’rifah Anwa’ Ulum al-Hadith”. Karya ini juga terkenal dengan nama “Muqaddimah Ibn Salah” dan juga masyhur dengan panggilan tersebut. Karya ini termasuk di dalam perbahasan ilmu mustholah al-Hadith yang mana di dalamnya dimuatkan sebanyak 65 jenis (bahagian) di dalam ulum hadith.

Para ulama’ terdahulu dan masa kini sangat mengambil berat akan karya ini sehingga lahirlah syarah dan ta’liq terhadap karya ini. Antaranya Imam al-Nawawi telah meringkaskan karya Ibn Salah ini dan menamakannya dengan “al-Irsyad”. Selain itu juga, al-Hafiz Ibn Hajar mengsyarahkan karya ini dan menamakannya dengan “al-Nukat ala Kitab Ibn Salah”.

 

Penutup

Berdasarkan ringkasan pengenalan dan sejarah ringkas salah seorang ulama’ yang agung di dalam Islam iaitu Imam Ibn Salah yang sehingga sekarang karya-karyanya masih digunakan dan dijadikan rujukan oleh penuntut ilmu. Ini menunjukkan akan keikhlasan beliau dalam menulis karya-karyanya. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan orang-orang yang soleh seperti Ibn Salah serta mengampunkan dosa-dosa beliau dan menempatkannya di syurga-Nya. Amin.