Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-39 : Hadith Munqathi’ (المنقطع)

 Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan Hadith Munqathi’?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Munqathi’ adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan sanad sesebuah al-Hadith samada ia bersambung ataupun tidak.

 

Definisi Hadith Munqati’

Para ulama’ hadith telah berselisih pendapat dalam meletakkan definisi bagi hadith munqathi’ ini kepada beberapa bahagian. Antaranya ialah:

 

  • Pendapat pertama: Imam al-Baiquniy telah memberi definisi berkaitan Hadith Munqathi’ di dalam manzhumahnya yang masyhur sebagaimana berikut:

 

وَكُلُّ مَا لَمْ يَتَّصِلْ بِحَالِ * إِسْنَادُهُ مُنْقَطِعُ اْلأَوْصَالِ

 

Maksudnya: “Dan setiap (hadith) yang tidak bersambung keadaan, sanadnya dinamakan Munqathi’”.

 

Berdasarkan definisi ini, kita dapat memahami bahawa Hadith Munqathi’ adalah sebuah hadith yang tidak bersambung (terputus) sanadnya atau dalam makna lain berlaku keguguran di dalam sanadnya yang melibatkan seorang perawi sahaja. Ini kerana, jika keguguran itu melibatkan dua orang perawi atau lebih, ia termasuk di dalam jenis atau pembahagian yang lain dalam ilmu al-Hadith.

 

  • Pendapat kedua: Munqathi’ ialah gugurnya seorang perawi sebelum daripada sahabat iaitu tabi’in. Ini adalah definisi yang diberikan dan dipilih oleh Ibn Solah di dalam kitabnya al-Muqaddimah.

 

  • Pendapat ketiga: Apa yang diriwayatkan oleh Tabi’in dan selepas daripadanya samada berbentuk kata-kata atau perbuatan. Ini pula adalah pendapat al-Bardiji tetapi Ibn Solah mengatakan bahawa definisi ini adalah ganjil dan jauh.

 

Perbezaan antara istilah Munqathi’ dan Maqthu’

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam al-Nuzhah ada menyebut antara perbezaan kedua-dua istilah ini:

  • Pertama: Munqathi ialah terputus pada bahagian sanadnya.
  • Kedua: Maqthu’ pula ialah terputus pada bahagian matannya.

 

Hukum Hadith Munqathi’

Hukumnya adalah dhaif kerana ia tidak menepati syarat pertama dalam Hadith Sahih iaitu bersambung sanadnya dan dalam masa yang sama kita tidak mengetahui akan keadaan perawi yang gugur itu.

 

Contoh Hadith Munqathi

Berikut adalah contoh Hadith Munqathi’: Diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ عَيَّرَ أخَاهُ بِذَنْبٍ ؛ لَمْ يَمُتْ حتى يَعْمَلَهُ . قال أحْمَدُ قالُوا : من ذَنْبٍ قَدْ تابَ مِنْهُ

 

Maksudnya: “Barangsiapa yang memburukkan saudaranya kerana perbuatan dosanya, dia (orang yang memburukkan) tidak akan meninggal sehingga dia melakukannya (dosa yang dilakukan oleh saudaranya tersebut). Telah berkata Ahmad: “Daripada dosa yang dia telah bertaubat”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2429]

 

Imam al-Tirmizi telah menghukum hadith ini sebagai Hasan Gharib dan sanadnya tidak bersambung kerana salah seorang perawi di dalam hadith ini iaitu Khalid bin Ma’dan tidak sempat bersama Muaz bin Jabal.

 

Imam al-Hafiz Ibn Hajar berkata di dalam Bulugh al-Maram bahawa hadith yang dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi ini telah dihasankan oleh beliau dan dalam masa yang sama sanadnya juga terputus.

 

Tarjih

Setelah melihat dan menekuni berkaitan hukum Hadith Munqathi’ ini, maka kami cenderung memilih dan cenderung dengan pendapat ini seperti di atas yang mengatakan bahawa Hadith Munqathi’ adalah dhaif kerana sanadnya terputus dan keadaan perawi yang gugur itu tidak diketahui samada boleh diterima atau tidak.

 

Kesimpulan

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam ilmu Mustholah Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita amal dan sampaikan kepada orang lain.

 

Wallahua`lam. 


Print   Email
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+