Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-125: AIR ZAMZAM (ماء زمزم)

 

Soalan: Apakah status dan makna hadith air zamzam ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Kisah Air Zamzam

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa air zamzam ini mucul pada zaman Nabi Ismail AS ketika baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim AS. Pada waktu itu, Hajar mencari air bagi menghilangkan dahaganya antara bukit Safa dan Marwah. Hal ini merupakan perintah Allah SWT kepada Nabi Ibrahim AS agar baginda meninggalkan zuriatnya ini di wadi (lembah) makkah. Firman Allah SWT:

 

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur”. [Ibrahim: 37]

 

Selain itu juga, kisah ini juga diceritakan di dalam sahih al-Bukhari, daripada Abdullah bin Abbas RA:

 

وَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تُرْضِعُ إِسْمَاعِيلَ وَتَشْرَبُ مِنْ ذَلِكَ المَاءِ، حَتَّى إِذَا نَفِدَ مَا فِي السِّقَاءِ عَطِشَتْ وَعَطِشَ ابْنُهَا، وَجَعَلَتْ تَنْظُرُ إِلَيْهِ يَتَلَوَّى، أَوْ قَالَ يَتَلَبَّطُ، فَانْطَلَقَتْ كَرَاهِيَةَ أَنْ تَنْظُرَ إِلَيْهِ، فَوَجَدَتِ الصَّفَا أَقْرَبَ جَبَلٍ فِي الأَرْضِ يَلِيهَا، فَقَامَتْ عَلَيْهِ، ثُمَّ اسْتَقْبَلَتِ الوَادِيَ تَنْظُرُ هَلْ تَرَى أَحَدًا فَلَمْ تَرَ أَحَدًا، فَهَبَطَتْ مِنَ الصَّفَا حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الوَادِيَ رَفَعَتْ طَرَفَ دِرْعِهَا، ثُمَّ سَعَتْ سَعْيَ الإِنْسَانِ المَجْهُودِ حَتَّى جَاوَزَتِ الوَادِيَ، ثُمَّ أَتَتِ المَرْوَةَ فَقَامَتْ عَلَيْهَا وَنَظَرَتْ هَلْ تَرَى أَحَدًا فَلَمْ تَرَ أَحَدًا فَفَعَلَتْ ذَلِكَ سَبْعَ مَرَّاتٍ، قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَذَلِكَ سَعْيُ النَّاسِ بَيْنَهُمَا» فَلَمَّا أَشْرَفَتْ عَلَى المَرْوَةِ سَمِعَتْ صَوْتًا، فَقَالَتْ صَهٍ - تُرِيدُ نَفْسَهَا -، ثُمَّ تَسَمَّعَتْ، فَسَمِعَتْ أَيْضًا، فَقَالَتْ: قَدْ أَسْمَعْتَ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ غِوَاثٌ، فَإِذَا هِيَ بِالْمَلَكِ عِنْدَ مَوْضِعِ زَمْزَمَ، فَبَحَثَ بِعَقِبِهِ، أَوْ قَالَ بِجَنَاحِهِ، حَتَّى ظَهَرَ المَاءُ

Maksudnya: “Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air). Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis. Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan. Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Shafa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya. Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun. Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Shafa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana? Tetapi, ternyata tiada seseorang juga. Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW: “Itulah sa’ie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu”. Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”. Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata: “Engkau telah menperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”. Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam. Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar”. [Riwayat al-Bukhari, (3364)]

 

Berdasarkan riwayat Ibn Majah yang akan dijelaskan di bawah nanti, suka bagi kami untuk menyatakan beberapa fadhilat dan kelebihan yang berkaitan dengan air zamzam:

 

  • Ia mempunyai nama yang banyak dan nama yang banyak itu menandakan atau menunjukkan akan kemuliaannya. Dalam Taj al-Arus, dinukilkan daripada Ibn Birri, terdapat dua belas nama bagi air zamzam.

 

  • Air zamzam adalah sebaik-baik air di muka bumi dan menjadi penghulu kepada semua air. Ini berdasarkan apa yang disebut oleh al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (2/41).

 

  • Air zamzam dikatakan dari mata air syurga mengikut riwayat ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf. Imam Nawawi berkata: “Pendapat yang asah (lebih sahih) bahawa secara zahirnya, ia adalah dari syurga”.

 

  • Air zamzam adalah kurniaan daripada Allah yang utama kepada kekasih-Nya iaitu Nabi Ismail AS.

 

  • Air zamzam juga sebagai tanda yang nyata akan kemuliaan tanah haram Makkah. Inilah adalah pendapat Imam ibn al-Daiba’ al-Syaibani.

 

  • Allah SWT telah menjadikan air zamzam yang berkat ini sebagai antara penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi tersebut.

 

  • Banyak meminum air zamzam merupakan sebahagian daripada tanda keimanan dan tanda kebebasan daripada sifat munafiq. (Hal ini kerana orang munafiq tidak mempercayai kelebihannya).

 

Melihat kepada firman Allah SWT dan hadith di atas, Allah SWT telah memberi nikmat kepadanya (Hajar) dan juga kepada anaknya (Ismail) dengan terpancutnya air (zamzam) dari tempat yang kering kontang dan tidak mempunyai apa-apa.  Berdasarkan ulasan ringkas di atas, air zamzam adalah air yang mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya dan kami akan jelaskan dengan lebih terperinci di bawah ini dengan mendatang dalil-dalil yang berkaitan dengannya.

 

Hadith-Hadith Berkaitan Air Zamzam

Terdapat beberapa hadith yang menceritakan berkenaan dengan air zamzam ini. Antaranya:

 

Daripada Jabir bin Abdillah RA telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ

Maksudnya: “Air zamzam[1] bergantung pada sesiapa yang meminumnya”. [Riwayat Ibn Majah (3062)]

 

Takhrij al-Hadith

Hadith ini diriwayatkan oleh dua orang sahabat Nabi SAW iaitu Abdullah bin Abbas RA dan juga Jabir bin Abdillah RA. Selain itu juga, dengan maknanya daripada hadith Abdullah bin Amr RA, Abdullah bin Umar RA dan juga Muawiyyah RA.

 

Hadith di atas melalui jalur Jabir RA telah diriwayatakan oleh Ibn Majah di dalam sunannya dan ia tidak diriwayatkan oleh imam-imam kutub sittah yang lain. Selain itu, imam Ahmad meriwayatkan hadith melalui jalur yang sama di dalam musnadnya [Lihat: Musnad imam Ahmad (14849), 140/23] dan juga imam al-Baihaqi di dalam sunanya [Lihat: Sunan al-Kubra (9442), 148/5]. Adapun, hadith ini juga diriwayatkan oleh imam al-Hakim di dalam mustadraknya melalui jalur Abdullah bin Abbas RA [Lihat al-Mustadrak (1739), 646/1].  

 

Hukum Hadith

Antara pendapat para ulama’ dalam menilai hadith ini adalah:

 

  • Imam al-Hakim menilai hadith hadith ini sebagai sahih sanadnya. [Lihat al-Mustadrak (1739), 646/1]
  • Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami’ mengatakan hadith ini sahih. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 262/2]
  • Imam al-Zarkasyi mengatakan hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah sanadnya adalah baik. [Lihat: al-Tazkirah fi al-Ahadith al-Mushtaharah, 151]
  • Imam al-Dhimyathi menilai hadith ini sanadnya adalah hasan atau baik. [Lihat: al-Muttajir al-Rabih, 433]
  • Imam Ibn Hajar mengatakan kedudukan hadith ini di sisi huffaz dengan kesemua jalur-jalur yang ada, dibolehkan berhujah dengannya iaitu dengan hadith tersebut sebagaimana mengikut kaedah-kaedah imam-imam ahli hadith. [Lihat: Juz fi hi al-Jawab an hal al-Hadith al-Masyhur “مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ”, 270]

 

Walaubagaimanapun, terdapat juga sebahagian ulama’ yang mengdhaifkan hadith ini. Antaranya imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ dengan mengatakan bahawa riwayat al-Baihaqi melalui jalur Jabir adalah dhaif kerana Abdullah bin al-Muammal bersendiri dalam meriwayatkan hadith ini dan dia merupakan seorang perawi yang dhaif. [Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 267/8]

 

Setelah meneliti pendapat para ulama’ dalam masalah ini, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah sahih atau hasan dengan semua jalur ada sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di atas. Di samping itu juga, dengan melihat pada amalan-amalan para sahabat dan salaf al-Soleh dalam masalah ini

 

Makna Hadith

Hadith ini boleh difahami dengan ini dengan penambahan yang terdapat di dalam riwayat Ibn Abbas sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Asqalani iaitu:

 

فَإِنْ شَرِبْتَهُ تَسْتَشْفِي بِهِ شَفَاكَ اللَّهُ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ مُسْتَعِيذًا عَاذَكَ اللَّهُ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ لِيَقْطَعَ ظَمَأَكَ قَطَعَهُ

Maksudnya: “Jika kamu meminumnya untuk penyembuhan daripadanya maka Allah akan menyembuhkan mu, jika kamu meminumnya untuk memohon perlindungan maka Allah akan melindungimu dan jika kamu meminumnya untuk menghilangkan kehausan maka Allah akan menghilangkannya”. [Lihat al-Mustadrak (1739), 646/1]

 

Dengan itu, makna “له” atau “منه” di dalam hadith membawa maksud “من أجله (dengan apa yang dihajatkannya)”. [Lihat: Juz fi hi al-Jawab an hal al-Hadith al-Masyhur “مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ”, 275]

 

Telah berkata imam al-Syaukani, hadith ini menunjukkan bahawa memberi manfaat kepada peminumnya dalam apa jua perkara yang menyebabkan dia meminumnya samada berkaitan perkara dunia mahupun akhirat kerana “ ما (apa)” di dalam hadith “لِمَا شُرِبَ له” membawa maksud umum. [Lihat: Nail al-Authar, 105/5]

 

Di dalam kitab al-Idhah karangan imam al-Nawawi disebutkan bahawa sunat meminum air zamzam[2]  dengan sebanyaknya. Ini kerana telah thabit di dalam sahih Muslim daripada Abu Zar RA bahawa Nabi SAW bersabda pada air zam-zam:

 

إِنَّها مُبارَكَةً، وَإِنَّها طَعامُ طُعْمٍ وَشِفاءُ سُقْمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ia adalah berkat[3], dan ia adalah makanan yang mengenyangkan serta penyembuh kepada penyakit”.

 

Kisah-Kisah Ulama’ Meminum Air Zamzam

Amalan meminum air zamzam ini telah diamalkan oleh para sahabat dan juga salaf al-Soleh sejak dahulu lagi. Diriwayatkan oleh imam al-Hakim bahawa Ibn Abbas RA apabila meminum air zamzam, beliau akan berdoa dengan berkata:

 

اَللَّهُمَّ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعَا، وَرِزْقًا وَاسِعًا، وَشِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepadamu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan dari segala penyakit”. [Lihat al-Mustadrak (1739), 646/1]

 

Tambahan pula, imam al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Juz fi hi al-Jawab an hal al-Hadith al-Masyhur “مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ” menceritakan beberapa kisah ulama’ yang meminum air zamzam, antaranya:

 

  • Imam al-Hakim

“Telah meminumnya (air zamzam) al-Hakim Abu Abdillah agar dikurniakan oleh Allah SWT penulisan yang baik dan juga perkara-perkara yang lain. Maka dengan itu, beliau telah menjadi antara ulama’ yang telah menghasilkan penulisan atau karya-karya yang baik pada zamannya”.

 

  • Imam al-Iraqi

“Beliau telah meminumnya untuk sesuatu maka Allah SWT memakbulkan apa yang dihajatinya”.

 

  • Imam al-Hafiz Ibn Hajar (pengarang sendiri)

“Aku telah meminumnya pada satu kali dan aku memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan sebagaimana imam al-Zahabi dalam menghafaz hadith-hadith Nabi SAW ketika permulaanku dalam mempelajari atau mencari hadith. Kemudian aku menunaikan haji lebih kurang 20 tahun selepas daripada itu, aku merasakan di dalam diriku bahawa kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku melebihi apa yang ada pada imam al-Zahabi. Dengan itu, aku memohon kepada Allah SWT agar memberiku martabat atau kedudukan yang lebih tinggi daripada martabat sebelum ini dan aku mengharapkan Allah SWT memakbulkan permintaanku ini”.

  • Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah

“Aku dan selain daripadaku telah mengalami perkara yang ajaib ketika berubat dengan menggunakan air Zamzam. Aku telah sembuh dari beberapa penyakit yang menimpaku dengan izin Allah. Selain itu, aku juga telah menyaksikan seseorang yang telah menjadikan air Zamzam sebagai makanannya selama beberapa hari, sekitar setengah bulan atau lebih dan dia tidak berasa lapar. Dalam masa yang sama, dia melaksanakan tawaf sebagaimana manusia yang lain. Telah memberitahuku bahawa kadang-kadang dia seperti itu selama empat puluh hari dan dia juga mempunyai kekuatan untuk berjima’, berpuasa dan melaksanakan tawaf berkali-kali”. [Lihat: Zad al-Ma’ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad, 361/4]

 

Kelebihan Air Zamzam

Berikut adalah beberapa hadith yang menunjukkan akan kelebihan air zamzam:

 

  • Air zamzam adalah air terbaik di dunia

 

Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ ،

Maksudnya: “Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah Zam-Zam. dan penawar bagi penyakit”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)] [al-Haitahmi mengatakan bahawa perawi-perawinya adalah thiqah (boleh dipercayai dan hadith ini juga disahihkan oleh Ibn Hibban. Lihat: Majma’ al-Zawaid, 286/3]

 

  • Air zamzam boleh mengeyangkan sesiapa yang meminumnya

 

Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

فِيْهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ

Maksudnya: “Padanya (air zamzam) terdapat makanan yang mengenyangkan”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)]

 

 

  • Air zamzam merupakan penawar bagi penyakit

 

Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ

Maksudnya: “Dan penawar bagi penyakit”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)]

 

  • Air zamzam digunakan untuk mencuci hati Nabi SAW

 

Daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

 

فَنَزَلَ جِبْرِيْلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَفَرَّجَ صَدْرِيْ، ثُمَّ غَسَلَهُ بِمَاءٍ زَمْزَمَ

Maksudnya: “Maka Jibril AS turun lalu membelah dadaku, kemudian dia (Jibril) mencucinya dengan air zamzam”. [Riwayat al-Bukhari (1636)]

 

Penutup

Berdasarkan penjelasan yang ringkas berkaitan air Zamzam bahawa Rasulullah SAW telah memberitahu kepada kita akan khasiat dan keutamaan air yang diberkati oleh Allah SWT ini. Kesimpulannya, kita sebagai umat Islam perlulah mengamalkan amalan ini sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat dan ulama’ terdahulu. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan atau merezekikan kita untuk meminum air yang berkat ini dan semoga Allah SWT memakbulkan setiap yang kita doa atau hajati. Amin.

 

Wallahua’lam

 

[1] Prof. Dr. Masaru Emoto telah menjalankan ujian menggunakan kaedah magnetic resonance technology untuk melihat wajah molekul air zam-zam. Sampel zam-zam telah dibekukan selama sehari dan disimpan pada paras 10 darjah celcius. Kemudian air zam-zam yang telah menjadi ketulan ais dilihat dibawah mikroskop khas. Menurut kata Prof. Dr. Zamila Hussin, hasilnya amat menakjubkan apabila imej berbentuk segienam (heksagon) kelihatan. Beliau menyifatkan bentuk heksagon itu sebagai melambangkan rukun iman. Kemudian ia bertukar bertukar perlahan-lahan membentuk wajah Kristal atau berlian yang bercahaya dan indah sekali. Mengikut kajian saintis itu lagi, molekul air zam-zam mempunyai keindahan dan keunikan yang sungguh berbeza daripada air-air yang dikajinya. Keunikan ini mencerminkan keistimewaan yang dimiliki oleh air zam-zam dari segi rasa, struktur molekul dan khasiat yang tidak terdapat pada air-air yang pernah dikajinya.

[2] Zamzam mempunyai lebih daripada lima puluh nama. Antaranya ialah Zamzam, Barakah, Mubarakah, Barrah, Busyra, Tuktam, Maktumah, Haramiyah, Hafirah Abdul Mutallib, Rakdhah Jibrail, al-Rawa’, Sabiq, Salimah, Siqayah al-Haj, Sayyidah, Shabba’ah, Syarab al-Abrar, Syifa’ Suqmin, Sofiyah, Thahirah, Tha’am Thu’min dan lain-lain lagi.

[3] Kekuatan air zamzam terdiri daripada empat unsur bahan yang berkhasiat di dalamnya. Empat bahan galian yang berunsur kimia yang dimaksudkan ialah Kalium, kalsium, magnesium, natrium. Kalium dan magnesium merupakan bahan galian yang amat penting dan diperlukan oleh tubuh manusia untuk mengembalikan kesegaran dan memulihkan tenaga yang terjejas akibat keletihan dan gangguan penyakit. Oleh kerana kandungan kedua-kedua galian ini dalam air zamzam jauh lebih tinggi daripada air-air biasa yang lain, maka bolehlah dirumuskan bahawa air zamzam merupakan satu rahmat Allah SWT dan mempunyai berbagai-bagai manfaat untuk manusia.