Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

IH_468.JPG

Soalan :
Assalamualaikum Datuk. Soalan saya, siapakah sahabat Nabi SAW yang paling akhir meninggal dunia?

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sahabat adalah merupakan generasi terbaik yang pernah ada di dalam sejarah islam. Mereka merupakan generasi yang terawal memeluk islam dan membantu penyebaran Islam ke seluruh alam. Kemuliaan para sahabat disebutkan sendiri oleh Nabi SAW. Nabi SAW bersabda :

خَيْرُ أُمَّتِى الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِىءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ

Maksudnya : “ Sebaik-baik umatku ada yang kurun yang mana mereka menyertai aku kemudian orang yang datang selepas mereka kemudian orang yang datang selepas mereka. Kemudian akan datang satu golongan yang mana mendahulukan penyaksian daripada sumpah dan menjadikan sumpahnya sebagai penyaksian (isyarat kepada banyaknya penyaksian dan sumpah yang palsu).”

Riwayat Muslim (6632)

Bahkan Allah SWT  meredhai mereka dan ianya dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran. Firman Allah :

وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Maksudnya : “Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

(Surah Al-Taubah : 100)

Al-Syaukani menyebut bahawa Allah redha terhadap amalan ketaatan yang ikhlas yang dilakukan oleh mereka. Dan mereka juga redha terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah terhadap yang tidak terlintas di sanubari mereka dan tidak terfikir oleh akal. Redha daripada Allah merupakan darjat yang tertinggi dan merupakan kemuliaan yang teragung. (Rujuk Fath Al-Qadir Al-Jami Baina Fannai Al-Riwayah Wa Al-Dirayah Fi Ilm Al-Tafsir, 2/386).

Oleh kerana itu, tidak boleh sewenang-wenangnya mencela atau mencaci apatahlagi memaki para sahabat. Nabi SAW pernah memberikan peringatan supaya jangan mencela para sahabat Baginda. Nabi SAW bersabda :

لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

Maksudnya : “Jangan kalian mencela para sahabatku. Jika salah seorang dari kalian menginfakkan emas sebanyak bukit uhud, ia tidak akan capai segantang infak yang dilakukan oleh para Sahabat. Bahkan tidak sampai separuh pun.”

Riwayat Al-Bukhari (3673) & Muslim (6651)

Imam Al-Nawawi menukilkan pandangan Al-Qadhi Iyadh bahawa para Sahabat melebihi orang-orang yang datang selepas mereka. Ini disebabkan apa yang mereka infakkan adalah ketika waktu darurat dan ketika kesempitan. Kesemuanya adalah semata-mata untuk membantu, menyokong dan melindungi Nabi SAW. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 8/92).

Nabi SAW pernah memberikan isyarat berkenaan tempoh masa generasi Sahabat. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar. Beliau berkata :

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ صَلَاةَ الْعِشَاءِ فِي آخِرِ حَيَاتِهِ فَلَمَّا سَلَّمَ قَامَ فَقَالَ أَرَأَيْتَكُمْ لَيْلَتَكُمْ هَذِهِ فَإِنَّ عَلَى رَأْسِ مِائَةِ سَنَةٍ مِنْهَا لَا يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ أَحَدٌ قَالَ ابْنُ عُمَرَ فَوَهَلَ النَّاسُ فِي مَقَالَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ فِيمَا يَتَحَدَّثُونَ مِنْ هَذِهِ الْأَحَادِيثِ عَنْ مِائَةِ سَنَةٍ وَإِنَّمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ الْيَوْمَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ أَحَدٌ يُرِيدُ بِذَلِكَ أَنْ يَنْخَرِمَ ذَلِكَ الْقَرْنُ

Maksudnya : “ Nabi SAW mengimamkan solat Isyak pada satu malam ketika akhir hayat Baginda. Apabila Baginda memberi salam, Baginda bangun seraya bersabda : Adakah kalian lihat pada malam ini. Sesungguhnya pada permulaan seratus tahun tidak akan ada seorang yang hidup di atas muka bumi ini.  Kata Ibnu Umar: Orang ramai terkejut dengan apa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tentang seratus tahun. Apa yang dimaksudkan oleh Nabi adalah berakhirnya generasi ini (yakni generasi para sahabat).”

Riwayat Muslim (4650)

Ibnu Umar memahami bahawa tidak akan ada dari kalangan para sahabat yang akan hidup melebihi seratus. Beliau juga memahami daripada sabdaan Nabi bahawa zaman generasi para sahabat akan habis.

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda :

ما من نفس منفوسة اليوم، تأتي عليها مائة سنة، وهي حية يومئذٍ

Maksudnya : “Tidak ada nyawa yang akan hidup  pada seratus tahun.”

Riwayat Muslim (2538)

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi ialah sesiapa yang ada pada malam tersebut iaitu para sahabat, mereka tidak akan hidup lebih seratus tahun. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 16/89)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, sahabat yang paling akhir meninggal dunia ialah ‘Amir Bin Wathilah Al-Laithi. Gelaran kunyah beliau ialah Abu Al-Tufail. Beliau wafat di Mekah pada tahun 110 H. Beliau lahir ketika tahun berlakunya perang Uhud. Beliau sempat bersama dengan Nabi selama 8 tahun. (Rujuk Ma’rifah Al-Sahabat Li Abi Nu’aim Al-Asbahani, 6/3534).

Imam Al-Zahabi menyebut bahawa beliau merupakan penutup bagi generasi yang pernah melihat Nabi SAW. Tidak ada yang berani mengaku pernah menjadi Sahabat Nabi ketika mana beliau masih hidup.Ianya berterusan pada zaman tabi’in dan Tabi’ Tabi’in sehingga selepas 500 tahun barulah muncul orang yang mengaku pernah melihat dan menjadi Sahabat di benua India. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 3/468).

Ibn Abdul Barr menyebut bahawa beliau orang yang terakhir dari kalangan sahabat. Abu Tufail pernah menyebut :

ما بقي على وجه الأرض عين تطوف ممن رأى النبي صلى الله عليه وسلم غيري

Maksudnya : “ Tidak ada lagi di atas muka bumi yang pernah melihat Nabi SAW selain daripada aku.” (Rujuk Al-Isti’ab Fi Ma’rifah Al-Ashab, 4/1967)

BIODATA ABU TUFAIL

Nama sebenar beliau ‘Amir Bin Wathilah Bin Abdullah Amru Al-Laithi Al-Kinani Al-Hijazi. Beliau merupakan antara pendokong dan pengikut Saidina Ali R.A. Oleh kerana itu, Imam Al-Zahabi menggelar beliau sebagai Al-Syi’i iaitu pendokong dan penyokong Saidina Ali. Beliau melihat Nabi ketika Hajjatul Wada’ (Haji Perpisahan iaitu haji terakhir Nabi SAW).

Beliau meriwayatkan hadis daripada beberapa orang para sahabat. Antaranya Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Bin Al-Khattab, Muaz Bin Jabal, Ali dan lain-lain lagi. Bahkan beliau juga menjadi rujukan oleh beberapa orang dari kalangan Tabi’in seperti Habib Bin Abi Thabit, Al-Zuhri, Abu Zubair Al-Makki, Ali Bin Zaid Bin Jad’an dan lain -lain lagi.

Imam Al-Zahabi menyebutkan bahawa beliau adalah seorang yang thiqah (terpercaya), benar percakapan dan tindak tanduknya, alim, seorang penyair yang hebat. Ia diberikan umur yang panjang dan banyak bersama Saidina Ali dalam banyak peperangan. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 5/466-467).

Semoga Allah merahmati Abu Tufail.Wallahu’alam.