Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 572: BENARKAH NABI SAW MELARANG MEMAKAN IKAN YANG TIDAK BERSISIK?

NABI_SAW_MELARANG_MEMAKAN_IKAN_YANG_TIDAK_BERSISIK.jpg

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti, saya terlihat satu video yang tular mengatakan bahawa Nabi SAW melarang memakan ikan yang tidak bersisik. Adakah benar ia daripada sabda Nabi SAW? Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Riwayat yang mendakwa Nabi SAW melarang memakan ikan yang tidak bersisik adalah berasal daripada sumber Syiah dan tidak diterima dalam manhaj Ahli Sunnah Waljamaah. Oleh itu, ia tidak boleh dijadikan hujah dalam hukum hakam Islam. Dalam Islam, kesemua jenis ikan yang hidup di dalam air halal dimakan. Justeru, umat Islam dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan dakwaan seperti ini, khususnya yang disebarkan melalui media sosial menggunakan teknologi seperti AI. Dari sudut Maqasid Syariah, menyebarkan riwayat palsu atau tidak sahih boleh menjejaskan penjagaan agama (hifz al-din) dan membawa kepada kekeliruan dalam memahami syariat. Maka, penting untuk merujuk kepada sumber yang sahih dan diiktiraf dalam tradisi Ahli Sunnah Waljamaah.

Huraian Jawapan

Baru-baru ini telah tular di platform TikTok sebuah video yang dibangunkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mendakwa bahawa Nabi Muhammad SAW melarang umat Islam daripada memakan ikan yang tidak bersisik.

Perkongsian ini telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Malaysia, memandangkan sebahagian besar rakyat di negara ini amat menggemari jenis-jenis ikan seperti ikan keli, sembilang, haruan dan seumpamanya. Secara umumnya semua jenis ikan tersebut tergolong dalam kategori ikan air tawar yang tidak mempunyai sisik.

Kekeliruan ini mengundang persoalan mengenai status halal ikan-ikan tersebut, sekaligus mencetuskan keresahan dalam kalangan pengguna Muslim yang amat mementingkan kepatuhan terhadap syarak dalam soal pemakanan.

Setelah melakukan carian dalam karya hadis yang muktabar maka tidak dijumpai mana-mana ulama hadis yang meriwayatkan hadis berkenaan isu ini. Tetapi sebenarnya riwayat ini merupakan riwayat Syiah di mana dijumpai satu riwayat daripada kitab hadis Syiah iaitu Usul min al-Kafi, riwayat tersebut menceritakan bahawa Abu Jaʻfar Muhammad al-Baqir meriwayatkan daripada kitab Ali AS tentang larangan memakan ikan yang terdedah dengan kotoran. Maka Muhammad bin Muslim pun bertanya kepadanya, lafaznya seperti berikut:

قُلْتُ يَا ابْنَ رَسُولِ اللَّهِ يَرْحَمُكَ اللَّهُ إِنَّا نُؤْتَى بِالسَّمَكِ لَيْسَ لَهُ قِشْرٌ ؟ فَقَالَ : " كُلْ مَا لَهُ قِشْرٌ مِنَ السَّمَكِ ، وَ مَا لَيْسَ لَهُ قِشْرٌ فَلَا تَأْكُلْهُ .

Maksudnya: Aku bertanya: Wahai anak Rasulullah, semoga Allah merahmatimu. Kami didatangkan dengan ikan yang tidak memiliki sisik, bagaimana hukumnya?” Maka beliau menjawab: Makanlah apa yang mempunyai sisik daripada ikan, dan apa yang tidak mempunyai sisik, maka jangan kamu makan.”[1]

Dalam Islamsetiap haiwan yang hidup di dalam air halal dimakan, sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut (air), dan makanannya.”

Surah Al-Maidah (96)

Berkenaan ayat di atas Imam al-Baghawi rahimahullah menyebut dalam tafsirnya bahawa kehidupan air terbahagi kepada dua bahagian:[2]

  1. Kesemua jenis ikan adalah halal untuk dimakan walaupun berbeza dari segi jenis dan rupa bentuk sepertimana sabda Nabi SAW:

أحلت لنا ميتتان ودمان: الميتتان : الحوت وجراد,والدمان: الكبد والطحال

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai ialah ikan dan belalang dan dua jenis darah ialah hati dan limpa.

Riwayat Ibn Majah dan Ahmad

  1. Selain daripada ikan, haiwan air boleh dibahagikan kepada dua kategori utama:
  • Hidup di air dan di darat seperti katak, maka haram memakannya
  • Hidup di air sahaja dan tidak dapat hidup di darat. Berlakunya perbezaan pendapat dalam hal ini mengikut pendapat Imam Hanafi tidak halal haiwan yang hidup di dalam air melainkan ikan sahaja. Dan mengikut pendapat yang lain, bangkai haiwan air halal untuk dimakan, kerana kesemuanya adalah daripada jenis ikan dan hanya berbeza dari segi rupa bentuk seperti Belut serta seluruh kehidupan air dibolehkan untuk memakannya. Perkara ini merupakan Ittifak para ulama dan juga pendapat Imam Malik serta Mazhab al-Syafiʻi.[3]

Kesimpulan

Riwayat yang mendakwa Nabi SAW melarang memakan ikan yang tidak bersisik adalah berasal daripada sumber Syiah dan tidak diterima dalam manhaj Ahli Sunnah Waljamaah. Oleh itu, ia tidak boleh dijadikan hujah dalam hukum hakam Islam. Dalam Islam, kesemua jenis ikan yang hidup di dalam air halal dimakan. Justeru, umat Islam dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan dakwaan seperti ini, khususnya yang disebarkan melalui media sosial menggunakan teknologi seperti AI. Dari sudut Maqasid Syariah, menyebarkan riwayat palsu atau tidak sahih boleh menjejaskan penjagaan agama (hifz al-din) dan membawa kepada kekeliruan dalam memahami syariat. Maka, penting untuk merujuk kepada sumber yang sahih dan diiktiraf dalam tradisi Ahli Sunnah Waljamaah.

Wallahua'lam

 

Rujukan: 

[1] Abu Jaʻfar Muhammad bin Yaʻqub al-Kulayni, Usul min al-Kafi (Beirut: Dar Saʻb, 1401), jld. 6: hlm. 219.

[2] Al-Baghawi, Maʻalim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, ed. Abd al-Razzaq al-Mahdi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1420), jld. 2: hlm. 87.

وَجُمْلَةُ حَيَوَانَاتِ الْمَاءِ عَلَى قِسْمَيْنِ: سَمَكٌ وَغَيْرُهُ، أَمَّا السَّمَكُ فَمَيْتَتُهُ حَلَالٌ مَعَ اخْتِلَافِ أَنْوَاعِهَا.

[3] Ibid.

أَمَّا غَيْرُ السَّمَكِ فَقِسْمَانِ: قِسْمٌ يَعِيشُ فِي الْبَرِّ كَالضُّفْدَعِ وَالسَّرَطَانِ، فَلَا يَحِلُّ أَكْلُهُ، وَقِسْمٌ يَعِيشُ فِي الْمَاءِ وَلَا يَعِيشُ فِي الْبَرِّ إِلَّا عَيْشَ الْمَذْبُوحِ، فَاخْتَلَفَ الْقَوْلُ فِيهِ، فَذَهَبَ قَوْمٌ إِلَى أَنَّهُ لَا يَحِلُّ شَيْءٌ مِنْهَا إِلَّا السَّمَكَ، وَهُوَ قَوْلُ أَبِي حَنِيفَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَذَهَبَ قَوْمٌ إِلَى أَنَّ ميت الماء الكل حَلَالٌ، لِأَنَّ كُلَّهَا سَمَكٌ، وَإِنِ اختلف صُوَرُهَا ، كَالْجَرِيثِ يُقَالُ لَهُ حَيَّةُ الْمَاءِ، وَهُوَ عَلَى شَكْلِ الْحَيَّةِ وَأَكْلُهُ مُبَاحٌ بِالِاتِّفَاقِ،