Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 574: KELEBIHAN MENINGGAL DUNIA HARI JUMAAT TERLEPAS DARIPADA AZAB KUBUR MENURUT PERSPEKTIF SYARAK

KELEBIHAN_MENINGGAL_DUNIA_HARI_JUMAAT_TERLEPAS_DARIPADA_AZAB_KUBUR_MENURUT_PERSPEKTIF_SYARAK.jpg

Soalan

Salam, boleh saya mohon penjelasan berkenaan meninggal pada hari jumaat adakah terlepas daripada azab kubur? Kerana ada yang mengatakan bahawa dalilnya berstatus lemah. TQ.

Ringkasan Jawapan

Berdasarkan kupasan para ulama dan perbincangan terhadap hadis-hadis yang berkaitan, meninggal dunia pada hari Jumaat atau malamnya dilihat mempunyai keistimewaan tertentu serta dikaitkan sebagai salah satu petanda husnul khatimah. Walaupun wujud perbezaan pandangan dalam kalangan ulama berhubung kedudukan sanad sebahagian hadis, tokoh-tokoh seperti al-Hakim al-Tirmizi, al-Munawi, al-Yafi‘i dan Mulla Ali al-Qari telah menghuraikan bahawa kelebihan tersebut berpunca daripada kemuliaan dan keagungan hari Jumaat itu sendiri. Ia juga mencerminkan keluasan rahmat Allah SWT serta perlindungan-Nya daripada fitnah dan azab kubur. Justeru, para ulama secara umumnya menerima bahawa meninggal dunia pada hari Jumaat atau malamnya membawa maksud kebaikan dan menjadi petunjuk kepada pengakhiran yang baik bagi seorang mukmin. Selain itu, ia juga sebagai suatu kurniaan dan rahmat daripada Allah SWT.

Huraian Jawapan

Isu ini pernah dikupas oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pada tahun 2016 di bawah tajuk Irsyad al-Hadith Siri Ke-59: Kelebihan Mati Pada Hari Jumaat.[1] Walaupun begitu artikel berkenaan lebih memfokuskan kepada kajian terhadap status sanad hadis tersebut. Justeru, dalam perbincangan kali ini akan memfokuskan berkenaan pandangan ulama tentang kelebihan meninggal dunia pada hari Jumaat.

Para Ulama telah meriwayatkan bahawa meninggal dunia pada Hari Jumaat merupakan antara tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu mendapat husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Husnul khatimah ialah anugerah taufik daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Ia membolehkan seseorang itu sentiasa beristiqamah melakukan ketaatan, amal soleh dan kebaikan sepanjang hayatnya dengan harapan agar dia meninggal dunia dalam keadaan yang baik. Husnul khatimah juga merupakan bisyarah (berita gembira) daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang sentiasa taat dan patuh pada perintah-Nya.

Asasnya dalam isu ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوْتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إلَّا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan dibebaskan oleh Allah SWT daripada fitnah (azab) kubur.”

Riwayat al-Tirmizi

Berdasarkan hadis ini dan beberapa hadis lain dalam tema ini, maka ulama berpandangan bahawa meninggal dunia pada hari jumaat dan pada malamnya terdapat beberapa kelebihan-kelebihan tertentu. Antara ulama yang membincangkan perkara ini ialah Imam al-Suyuti rhm. Dalam Tuhfah al-Ahwazi, Imam al-Mubarakfuri menukilkan pandangan al-Hakim al-Tirmizi yang menyebut bahawa:

وحكمته أنه انكشف الغطاء عما له عند الله؛ لأن جهنم لا تسجر في هذا اليوم، وتغلق فيه أبوابها، ولا يعمل فيه سلطانها ما يعمل في سائر الأيام، فإذا قبض الله فيه عبدا كان دليلا لسعادته وحسن مآبه، وأنه لم يقبض في هذا اليوم العظيم إلا من كتب له السعادة عنده، فلذلك يقيه فتنة القبر؛ لأن سببها إنما هو تمييز المنافق من المؤمن.

Maksudnya: “Hikmah meninggal pada hari Jumaat ialah kerana pada hari itu tersingkap tabir tentang kedudukan seseorang di sisi Allah, sesungguhnya pada hari tersebut neraka Jahanam tidak dinyalakan apinya, pintu-pintunya ditutup dan kekuasaannya tidak berfungsi sebagaimana pada hari-hari yang lain. Maka sesiapa yang diwafatkan oleh Allah SWT pada hari Jumaat, hal tersebut menjadi petunjuk kepada kebahagiaan dan kesudahan yang baik baginya. Hal ini kerana, Allah SWT tidak mewafatkan seseorang pada hari yang agung itu melainkan mereka yang telah ditetapkan kebahagiaan di sisi-Nya. Oleh itu, Allah melindunginya daripada fitnah kubur, kerana fitnah tersebut hakikatnya bertujuan membezakan antara orang munafik dan orang beriman.”[2]

Hal ini turut disebutkan oleh al-Munawi dalam Faid al-Qadir.[3] Selain itu, Imam al-Suyuti dalam al-Lum’ah fi Khasa’is al-Jum’ah menyebutkan pandangan Imam al-Yafi’i bahawa mereka yang meninggal dunia pada malam Jumaat tidak dikenakan azab sebagai bentuk penghormatan dan kemuliaan terhadap waktu yang mulia itu.[4]

Syeikh Mulla Ali al-Qari menyebutkan bahawa sesiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat memperoleh ganjaran seperti seorang syahid dan hadis-hadis dalam tema ini bersifat halus kerana ia secara jelas menafikan kedua-duanya sekali iaitu fitnah dan azab.[5] Dalam hal ini jelas bahawa sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malamnya akan mendapat kelebihan seperti terhindar daripada fitnah dan azab kubur.

Kesimpulan

Berdasarkan pandangan para ulama dan perbahasan hadis-hadis berkaitan, meninggal dunia pada hari Jumaat atau malamnya dianggap mempunyai kelebihan tertentu serta menjadi salah satu tanda husnul khatimah. Walaupun terdapat perselisihan dalam kalangan ulama mengenai status sanad sebahagian hadis, namun para ulama seperti al-Hakim al-Tirmizi, al-Munawi, al-Yafi‘i dan Mulla Ali al-Qari telah menjelaskan bahawa hikmah di sebalik kelebihan mati pada hari Jumaat ini adalah berkaitan dengan kemuliaan hari Jumaat itu sendiri. Ia juga menunjukkan limpahan rahmat Allah SWT dan merupakan perlindungan daripada fitnah serta azab kubur. Oleh itu, para ulama menerima bahawa kematian pada hari Jumaat atau malamnya membawa makna kebaikan dan petunjuk kepada kesudahan yang baik bagi seorang mukmin, sebagai satu bentuk anugerah dan rahmat daripada Allah SWT.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Rujuk pautan berikut: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1149-irsyad-al-hadith-siri-ke-59-kelebihan-mati-pada-hari-jumaat

[2] Abu al-’Ala’ Muhammad Abd al-Rahman al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, t.t.), jld. 4: hlm. 160.

[3] Al-Munawi, Faid al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, 1356), jld. 5: hlm. 499.

(ما من مسلم يموت يوم الجمعة أو ليلة الجمعة إلا وقاه الله تعالى فتنة القبر) لأن من مات يومها أو ليلتها فقد انكشف له الغطاء لأن يومها لا تسجر فيه جهنم وتغلق أبوابها ولا يعمل سلطان النار ما يعمل في سائر الأيام فإذا قبض فيه عبد كان دليلا لسعادته وحسن مآبه لأن يوم الجمعة هو اليوم الذي تقوم فيه الساعة فيميز الله بين أحبابه وأعدائه ويومهم الذي يدعوهم إلى زيارته في دار عدن وما قبض مؤمن في هذا اليوم الذي أفيض فيه من عظائم الرحمة ما لا يحصى إلا لكتبه له السعادة والسيادة فلذلك يقيه فتنة القبر

[4] Jalal al-Din al-Suyuti, al-Lum’ah fi Khasa’is al-Jum’ah (Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1987), jld. 1: hlm. 62.

بلغنا أن الموتى لم يعذبوا ليلة الجمعة تشريفا لهذا الوقت.

[5] Ali bin Muhammad al-Qari, Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih (Beirut: Dar al-Fikr, 2002), jld. 3: hlm. 1021.

قُلْتُ: وَمِنْ تَتِمَّةِ ذَلِكَ أَنَّ مَنْ مَاتَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ لَهُ أَجْرُ شَهِيد....وَهَذَا الْحَدِيثُ لَطِيفٌ صَرَّحَ فِيهِ بِنَفْيِ الْفِتْنَةِ وَالْعَذَابِ مَعًا