Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-29 : HUKUM MENGGUNAKAN PIN BAJU PADA KAIN IHRAM SEWAKTU MENGERJAKAN UMRAH

IF HAJI 29

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ingin bertanya, bolehkah saya menggunakan pin baju pada kain ihram sewaktu mengerjakan umrah? Saya hanya mahu gunakan ketika menunaikan solat sahaja kerana ia mudah jatuh ketika rukuk dan sujud disebabkan oleh banyak pergerakkan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Seseorang yang berada di dalam keadaan berihram perlulah menjaga larangan-larangan yang telah ditetapkan oleh syara’ dan sekiranya melanggar larangan-larangan tersebut, maka individu tersebut akan dikenakan dam mengikut jenis larangan yang telah dilakukan olehnya. Terdapat sedikit perbezaan antara perkara-perkara yang dilarang terhadap lelaki yang berihram dan perempuan yang berihram.

Antara larangan bagi lelaki yang berihram

Ibnu Munzir telah menyebut bahawa ulama telah ijma’ terhadap larangan memakai baju, serban, seluar, khuf (stoking kulit) dan baranis (jubah yang ada penutup kepala) bagi orang lelaki yang berihram. [Lihat : al-Ijma’, hal. 63] Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma yang mana seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah SAW dan bertanyakan tentang pakaian apa yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram dan jawab Baginda SAW :

لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ

Maksudnya : “Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).” [HR al-Bukhari (1542)]

Para ulama turut menyatakan bahawa termasuk dalam kategori larangan tersebut apa yang menyerupainya (pada maknanya) seperti jubah, baju besi, baju (jenis lain) dan yang seumpamanya. Tidak boleh bagi seorang yang berihram menutupi badannya dengan pakaian yang biasa dipakai (mengikut bentuk badan) dan menutupi anggotanya dengan apa yang biasa dipakai (mengikut bentuk anggota tersebut) seperti baju untuk badan, seluar untuk sebahagian badan, sarung tangan untuk tangan, khuf untuk kaki dan yang seumpamanya. [Lihat : al-Mughni (3/281)] Imam al-Nawawi memberikan penjelasan bahawa diharamkan memakai atau menggunakan pakaian yang mengikut bentuk badan atau anggota disebabkan oleh ia meliputi (menutupi) mengikut badan atau anggota tersebut, sama ada pakaian tersebut (dicantumkan) secara jahitan atau tidak seperti baju, seluar, jubah dan lain-lain. [Lihat : al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 148-149] Di dalam kitab yang lain beliau menyebut bahawa tidak ada beza sama ada ia dijahit dengan jarum atau dilekatkan (dicantumkan) antara satu sama lain kerana ia termasuk dalam makna al-Makhid (pakaian yang berjahit). [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (7/249)]

Adapun, sekiranya tidak ada pada pakaian tersebut makna meliputi (menutupi) sebagaimana yang disebutkan, maka tidak mengapa menggunakannya sekalipun ia berjahit seperti menggunakan baju atau jubah sebagai selimut ketika tidur. [Lihat : al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hal. 150]

Perkara-perkara yang diharamkan semasa ihram menjadi haram sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut :

  1. Haram bagi seseorang yang telah ihram melakukan perkara-perkara yang diharamkan, jika dengan sengaja, diketahui haramnya, dengan ikhtiyarnya (pilihan) sendiri serta telah
  2. Tidak haram jika tidak memenuhi syarat di atas.

[Lihat : Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), (1/307)]

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff menyatakan bahawa tidak wajib membayar fidyah (dam) bagi sesiapa yang memakai pakaian yang berjahit ketika dalam ihram bagi orang yang lupa (tidak sengaja) atau jahil (tidak tahu keharamannya). [Lihat : al-Taqrirat al-Sadidah, hal. 502]

Memakai pin pada kain ihram

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, Syeikh Daud al-Fatani secara jelas telah menyatakan di dalam kitabnya mengenai perkara-perkara yang diharamkan ke atas lelaki semasa berihram iaitu tidak memakai pakaian yang dapat menutupi seluruh tubuh atau bahagian-bahagian anggotanya seperti memakai sarung janggut sama ada yang dijahit, ditenun atau disemat dengan seumpama jarum atau sebagainya. Namun begitu, tidak menjadi kesalahan dengan disangkutkan sesuatu pada badannya seperti tali pedang atau tali mashaf atau tali ikat pinggang dengan diselitkan, atau dengan satu ikatan tanpa disimpulkan. [Lihat : Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), (1/309)]

Ibnu Qudamah telah meletakan satu fasal yang khusus mengenai larangan mengikat kain rida’ (kain ihram bahagian atas). Oleh itu, tidak boleh orang lelaki yang berihram mengenakan butang pada kain ihramnya (pada Rida’) atau menyilanginya dengan duri atau jarum atau jahitan kerana perkara tersebut mengambil hukum al-Makhid. Namun, dibenarkan untuk mengikat pada Izar (kain ihram bahagian bawah) kerana dia berhajat padanya bagi menutup aurat (supaya tidak jatuh) sepertimana dibenarkan memakai pakaian pada wanita yang berihram. [Lihat : al-Mughni (3/283-284)] Imam al-Nawawi juga telah menyatakan perkara yang sama iaitu dibenarkan mengikat pada kain Izar tetapi tidak boleh pada kain Rida’. Demikianlah juga, tidak boleh menyilangi kain Rida’ dengan butang, atau duri atau jahitan. Akan tetapi boleh untuk dia menyelitkan dua hujung kain Rida’ ke dalam kain Izar. [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (7/249)]

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan

Di dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-29, pada 20-23 Rabiul Awal 1434H bersamaan 01-04 Februari 2012, telah memutuskan mengenai pakaian ihram lelaki bahawa dalam mazhab Syafie, jemaah haji lelaki semasa dalam ihram dilarang memakai kain ihram bahagian atas (Rida’) yang dijahit zap on (Velcro) atau pin atau dibutangkan atau dizipkan. Begitu juga, kain ihram bahagian bawah (Izar) dilarang menggunakan jahitan getah pada bahagian pinggang.

Kesimpulannya

Tuntasnya, setelah kami meneliti pandangan para ulama serta dalil-dalil mereka, kami cenderung kepada pendapat yang melarang menggunakan pin pada kain ihram bahagian atas (Rida’) sebagaimana pendapat Syeikh Daud al-Fatani dan keputusan yang telah dikeluarkan di dalam Resolusi Muzakarah Haji. Ini juga adalah lebih ahwat (berhati-hati) dan keluar daripada khilaf. Kami mengesyorkan supaya kain rida’ tersebut boleh diselitkan di dalam kain Izar bagi mengelakkan ianya jatuh, lebih-lebih ketika melakukan ibadah yang memerlukan pergerakan seperti solat atau melakukan manasik Umrah dan Haji.  

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya serta mengamalkan syariahNya dengan sebaik mungkin.