Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-60: HUKUM PUASA HARI ARAFAH BAGI ORANG YANG SEDANG MENUNAIKAN HAJI

IFH60

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Mufti , saya ada persoalan yang ingin diajukan berkenaan puasa hari Arafah. Apakah hukum berpuasa pada hari Arafah bagi orang yang sedang menunaikan haji?

Sekian, terima kasih Dato’.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Allah SWT menjanjikan pengampunan dosa setahun sebelum dan selepas hari Arafah bagi mereka yang menunaikan puasa hari tersebut. Golongan yang disunatkan untuk menunaikan puasa tersebut ialah mereka yang bermukim, kuat (berkemampuan) serta sihat tubuh badan. Oleh itu, golongan yang sedang menunaikan haji pula tidak disunatkan berpuasa bahkan disunatkan berbuka pada hari Arafah kerana dikhuatiri kehilangan tenaga untuk melaksanakan ibadat seperti berdoa pada hari tersebut. Ini kerana pahala berdoa pada hari tersebut amat besar. Namun sekiranya dia sampai di Arafah pada waktu malam maka sunat dia berpuasa pada hari tersebut. Meskipun mereka yang berada di Arafah disunatkan untuk berbuka namun mereka turut diganjari dengan pahala seperti orang yang berpuasa.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hari Arafah merupakan hari yang kesembilan dalam bulan Zulhijjah. Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari tersebut bagi mengejar ganjaran besar yang dijanjikan oleh Allah SWT. Allah SWT menjanjikan pengampunan dosa hamba-Nya bagi setahun sebelum dan selepasnya. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Bermaksud: Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya.

Riwayat Muslim (1162)

Oleh itu, seseorang yang berkemampuan untuk menunaikan puasa hari Arafah ini disunatkan untuk melaksanakannya. Sementara itu, orang yang sedang menunaikan haji pula disunatkan tidak berpuasa pada hari Arafah dikhuatiri menjadi sebab kehilangan tenaga yang cukup untuk beribadah pada hari tersebut. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Farra’ al-Baghawi:

أما ‌الحاج فيستحب له ألا يصوم يوم "عرفة"؛ لأن النبي - صلى الله عليه وسلم - لم يصمه؛ وأن الدعاء في هذا اليوم يعظم ثوابه والصوم يضعفه عن الدعاء

Bermaksud: Orang yang menunaikan haji disunatkan tidak berpuasa pada hari Arafah kerana Nabi SAW tidak berpuasa hari Arafah (ketika menunaikan haji); dan sesungguhnya berdoa pada hari tersebut amat besar ganjarannya dan berpuasa ketika itu akan melemahkan dirinya daripada berdoa.

(Rujuk: Al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafie, 3/191)

Imam al-Tabari menyatakan sebab Nabi SAW tidak berpuasa ketika berada di Arafah untuk menunjukkan ada pilihan bagi orang yang menunaikan haji di Mekah agar puasa tidak menjejaskan tenaganya untuk memperbanyakkan doa dan berzikir pada hari Arafah.[1]

(Rujuk: Fathu al-Bari' li Ibni al-Hajar, 4/238)

Oleh yang demikian, puasa hari Arafah hanya disunatkan bagi orang yang tidak menunaikan ibadah haji, bermusafir dan orang yang sakit. Begitu juga, puasa ini disunatkan bagi mereka yang sampai di Arafah pada waktu malam. Hal ini disebut oleh Imam ibnu Hajar al-Haitami:

وإنما يسن صوم يوم عرفة "لغير الحاج والمسافر" والمريض بأن يكون قويًّا مقيمًا ‌أما ‌الحاج فلا يسن له صومه بل يسن له فطره وإن كان قويًّا للاتباع وليقوى على الدعاء، ومن ثم يسن صومه لحاج لم يصل عرفة إلا ليلا، وأما المسافر والمريض فيسن لهما فطره مطلقًا

Bermaksud: Puasa hari Arafah hanya disunatkan untuk selain orang yang menunaikan haji dan orang yang bermusafir dan orang yang sakit iaitu orang yang kuat dan bermukim; adapun orang yang sedang menunaikan haji tidak disunatkan berpuasa bahkan disunatkan untuk berbuka meskipun dia kuat (mampu) mengikut amalan Nabi SAW semata-mata dan dia mampu untuk berdoa; maka sunat berpuasa bagi mereka yang tidak sampai ke Arafah melainkan setelah masuk waktu malam; adapun orang yang bermusafir dan sakit maka disunatkan untuk berbuka.

(Rujuk: Al-Minhaj al-Qowim, 262)

Meskipun begitu, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan pendapat Imam ‘Ato’ menyatakan bahawa orang yang berbuka pada hari Arafah semata-mata untuk menguatkan diri demi perlaksanaan ibadah maka dia akan dikurniakan pahala seperti orang yang berpuasa.[2]

(Rujuk: Fathu al-Bari' li Ibni al-Hajar, 4/238)

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa Allah SWT menjanjikan pengampunan dosa setahun sebelum dan selepas hari Arafah bagi mereka yang menunaikan puasa hari tersebut. Golongan yang disunatkan untuk menunaikan puasa tersebut ialah mereka yang bermukim, kuat (berkemampuan) serta sihat tubuh badan. Oleh itu, golongan yang sedang menunaikan haji pula tidak disunatkan berpuasa bahkan disunatkan berbuka pada hari Arafah kerana dikhuatiri kehilangan tenaga untuk melaksanakan ibadat seperti berdoa pada hari tersebut. Ini kerana pahala berdoa pada hari tersebut amat besar. Namun sekiranya dia sampai di Arafah pada waktu malam maka sunat dia berpuasa pada hari tersebut. Meskipun mereka yang berada di Arafah disunatkan untuk berbuka namun mereka turut diganjari dengan pahala seperti orang yang berpuasa.

 [1] وَقَالَ الطَّبَرِيُّ إِنَّمَا أَفْطَرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ لِيَدُلَّ عَلَى الِاخْتِيَارِ لِلْحَاجِّ بِمَكَّةَ لِكَيْ لَا يَضْعُفَ عَنِ الدُّعَاءِ وَالذِّكْرِ الْمَطْلُوبِ يَوْمَ عَرَفَةَ.

  [2] قَالَ عَطَاءٌ مَنْ أَفْطَرَهُ لِيَتَقَوَّى بِهِ عَلَى الذِّكْرِ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الصَّائِم.