Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE – 65 : ADAKAH SAH HAIWAN KORBAN YANG TERTANGGAL GIGI?

 

G

 

 

Soalan:

Assalammualaikum, Saya ada persoalan berkaitan haiwan korban yang tertanggal gigi, Adakah sah dijadikan sembelihan korban  ? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Haiwan sembelihan korban   yang tertanggal sebahagian gigi sah dijadikan haiwan sembelihan korban sekiranya tidak memberi kesan kepada kurangnya daging. Sementara, sekiranya semua gigi tertanggal, maka tidak sah dijadikan haiwan sembelihan korban.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Ibadah korban disyariatkan bagi mereka yang mampu sebagai tanda syukur ke atas segala nikmat rezeki-Nya. Hal ini berdasarkan dalil-dalil berikut :

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ 

Maksudnya“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.”

Surah al Haj (34)

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَن كان له سَعَةٌ ولم يُضَحِّ ، فلا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانا

Maksudnya: “Siapa yang diberi kemampuan sehingga dia mampu untuk berkorban dan tidak mahu melaksanakan ibadah korban, maka janganlah mendekati tempat solat kami (masjid)”.

Riwayat Ibn Majah 2123

Syarat pemilihan haiwan korban mestilah selamat daripada aib yang boleh mengurangkan dagingnya[1]. Berbalik kepada persoalan haiwan korban yang tertanggal gigi, pendapat al-Khatib as-Syirbini menyatakan tidak sah sembelihan korban  yang tertanggal giginya semua.

وَلَا يَضُرُّ ذَهَابُ بَعْضِ الْأَسْنَانِ؛ لِأَنَّهُ لَا يُؤَثِّرُ فِي الِاعْتِلَافِ وَنَقْصِ اللَّحْمِ، فَلَوْ ذَهَبَ الْكُلُّ ضَرَّ؛ لِأَنَّهُ يُؤَثِّرُ فِي ذَلِكَ، وَقَضِيَّةُ هَذَا التَّعْلِيلِ أَنَّ ذَهَابَ الْبَعْضِ إذَا أَثَّرَ يَكُونُ كَذَلِكَ،

Tidak terjejas haiwan sembelihan korban yang kehilangan sebahagian gigi kerana tidak memberi kesan kesukaran ketika suapan makanan dan tidak mengurangkan daging. Namun, sekiranya hilang (tertanggal) semua gigi, maka terjejas (tidak sah) sembelihan korban kerana memberi kesan tersebut ( kurang daging dan menyusahkan ketika suapan makanan disebabkan tidak mampu mengunyahnya). Oleh yang demikan, berdasarkan alasan ('illah) ini, sekiranya tertanggal sebahagian gigi dan memberi kesan kepada suapan  ketika makan dan kurang daging, maka ia juga terjejas (tidak sah sembelihan korban)”   [2]

Kesimpulannya, sebahagian gigi mahupun keseluruhan gigi haiwan sembelihan korban sekiranya memberi kesan kepada kurangnya  daging haiwan korban, maka tidak sah sembelihan korban. Namun, tertanggal sebahagian gigi haiwan dan tidak memberi kesan kepada kurangnya daging korban mahupun tidak menyusahkan suapan ketika haiwan  makan,  maka  sah dijadikan haiwan sembelihan korban.

 

 RUJUKAN :

[1]Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: Dar al-Fikr . P: 320

 وشرطها سلامة من عيب ينقص لحما

[2] al-Khatib as-Syirbini as-Syafie, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, 1994 Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmia Jld. 6 p 129