Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 71: ADAKAH HAJI MABRUR MENGGUGURKAN DOSA-DOSA BERKAITAN KEWAJIPAN DAN HAK KE ATAS SESEORANG?

ifhu 71

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang pahala haji mabrur, adakah ia akan menggugurkan dosa-dosanya yang berkait dengan kewajipan dan hak-hak orang lain ke atas seseorang seperti sengaja melambat-lambatkan membayar hutang dan seumpamanya?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Jika seseorang mendapat haji mabrur dan meninggal dunia ketika melaksanakan haji atau selepas menunaikan namun tidak berkesempatan untuk menunaikan kewajipan dan hak-hak orang lain ke atasnya, maka akan diampunkan dosanya sama ada dosa besar, dosa kecil dan dosa berkaitan hak-hak orang lain ke atasnya sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Zayyadi. Walau bagaimanapun, sebahagian ulama berpendapat bahawa haji mabrur tidak menghapuskan dosa dan tanggungjawab hutang pada seseorang sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Syabramallisi.

Namun sekiranya dia hidup selepas melaksanakan ibadah haji, maka hendaklah dia melunaskan segala kewajipan seperti qada solat dan melangsaikan hak-hak orang lain ke atas dirinya seperti memulangkan barang dicurinya, membayar hutang-hutang yang tertangguh dan seumpamanya.

Selain itu haji mabrur hanya diketahui statusnya oleh Allah SWT sahaja meskipun kita dapat mengetahui tanda-tandanya. Seseorang tidak tahu secara pasti sama ada dia mendapat haji mabrur ataupun tidak. Oleh itu, tidak sepatutnya seseoran mengambil kesempatan dengan tidak bertaubat dan tidak menunaikan hak orang lain seperti hutang dengan alasan haji mabrur. Bahkan dia dituntut untuk melangsaikan hak-hak tersebut sebelum pergi menunaikan haji.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, perbahasan tentang adakah haji mabrur dapat menghapuskan dosa dan hak terhadap orang lain merupakan perkara khilaf yang tidak disepakati dalam kalangan ulama. Hal ini merujuk kepada hadis berkenaan ganjaran pahala bagi haji mabrur, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالحَجُّ المَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الجَنَّةُ

Maksudnya: Haji mabrur tiada ganjaran baginya melainkan Syurga.

Riwayat al-Bukhari (1773), Muslim (1349) dan al-Tirmidzi (933)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa maksud ‘tiada ganjaran baginya melainkan Syurga’ ialah seseorang yang mendapat haji yang mabrur bukan sahaja dosa-dosanya akan diampun, bahkan dia pasti akan dimasukkan ke dalam Syurga kelak.[1]

Manakala dalam hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan yang buruk dan keji serta tidak melakukan perkara yang fasiq, maka dia akan kembali sepertimana dia dilahirkan ibunya (iaitu dalam keadaan suci daripada dosa).

Menurut Syeikh Nuruddin al-Sindi, maksud ‘kembali sepertimana dia dilahirkan ibunya’ di dalam hadis ialah keadaan tanpa sebarang dosa, iaitu diampunkan semua dosa-dosanya termasuk dosa besar, dosa kecil dan dosa yang melibatkan hak-hak manusia.[2]

Riwayat al-Bukhari (1819)

Begitu juga di sisi para ulama mazhab al-Syafie, seseorang yang mendapat haji mabrur akan diampunkan semua dosa sama ada dosa besar, dosa kecil dan dosa-dosa berkaitan hak-hak orang lain ke atasnya, sekiranya dia meninggal dunia ketika melaksanakan haji atau selepas menunaikannya tetapi tidak berkesempatan untuk menunaikan hak-hak tersebut. Hal ini seperti dinukilkan oleh Syeikh al-Syarwani daripada Syeikh al-Zayyadi, bahawa beliau berkata:

قَالَ الزِّيَادِيُّ وَالْحَجُّ يُكَفِّرُ الْكَبَائِرَ وَالصَّغَائِرَ حَتَّى التَّبَعَاتِ عَلَى الْمُعْتَمَدِ إنْ مَاتَ فِي حَجِّهِ أَوْ بَعْدَهُ وَقَبْلَ تَمَكُّنِهِ مِنْ أَدَائِهَا اهـ

Maksudnya: Al-Zayyadi berkata, haji yang mabrur akan menghapuskan dosa kecil, dosa besar dan juga dosa yang berkaitan hak-hak manusia berdasarkan kepada pandangan yang muktamad. Hal ini jika sekiranya seseorang itu meninggal dunia ketika melaksanakan haji atau selepas menunaikannya sebelum dia mampu untuk menunaikan hak-hak tersebut.[3] (Rujuk Hasyiah al-Syarwani, 4:3)

Walau bagaimanapun, Syeikh Sulaiman al-Jamal menjelaskan lagi bahawa sekiranya dia masih hidup selepas dia melaksanakan haji, maka wajib ke atasnya menunaikan hutangnya kepada Allah seperti qada solat dan puasa serta melangsaikan hutang yang ada padanya. Kata beliau:

أَمَّا إذَا عَاشَ بَعْدَ ذَلِكَ فَلَا تَسْقُطُ عَنْهُ فَيَجِبُ عَلَيْهِ قَضَاءُ الصَّلَوَاتِ وَأَدَاءُ الدَّيْنِ الَّذِي عَلَيْهِ وَنَحْوُ ذَلِكَ اهـ. بِرْمَاوِيٌّ.

Maksudnya: Adapun jika sekiranya dia hidup selepas itu (tidak meninggal dunia ketika menunaikan haji), maka wajib baginya untuk qada solat dan melangsaikan hutang-hutang yang ada padanya serta hak-hak yang seumpamanya.[4] (Rujuk Hasyiah al-Jamal, 2:371)

Selain itu, menurut Syeikh Syabramallisi bahawa dosa yang diampunkan ialah dosa perbuatan tersebut dan hak-hak manusia ke atasnya tidak tergugur dengan haji mabrur. Oleh itu, hendaklah dilunaskan hak-hak manusia mengikut apa yang sepatutnya seperti seorang yang mencuri hendaklah memulangkan barang yang dicurinya dan seseorang yang membunuh dengan tanpa hak hendaklah dihukum dengan hukuman qisas. Syeikh Nawawi al-Bantani menukilkan pandangan tersebut dengan berkata:

لَكِن قَالَ الشبراملسي وتكفيره لما ذكر إِنَّمَا هُوَ لإثم الْإِقْدَام لَا لسُقُوط حُقُوق الْآدَمِيّين بِمَعْنى أَنه إِذا غصب مَالا أَو قتل نفسا ظلما وعدوانا غفر الله لَهُ إِثْم الْإِقْدَام على مَا ذكر وَوَجَب عَلَيْهِ الْقود ورد الْمَغْصُوب وَإِلَّا فَأمره إِلَى الله فِي الْآخِرَة وَمثله سَائِر حُقُوق الْآدَمِيّين.

Maksudnya: Walau bagaimanapun, menurut Syeikh Syabramallisi maksud dosa yang diampunkan di dalam hadis tersebut ialah pada dosa perbuatan yang telah dilakukannya tersebut dan tidak menggugurkan hak-hak orang lain. Oleh yang demikian, jika seseorang mencuri harta atau membunuh seseorang secara zalim dan tidak sepatutnya, maka Allah SWT akan mengampunkan dosa perbuatannya tersebut sepertimana disebut di dalam hadis, namun wajib ke atasnya untuk dihukum qisas dan mengembalikan barang yang dirampasnya. Jika tidak, maka urusannya akan kembali kepada Allah SWT. Begitu juga halnya bagi hak-hak manusia yang lain.[5] (Rujuk Nihayat al-Zain, 1:200)

Begitu juga fatwa Ibn Hajar al-Haitami juga menyebutkan bahawa balasan haji mabrur itu menghapuskan dosa-dosa selain hak-hak manusia. Selain itu, ia juga tidak menafikan kewajipan bertaubat ke atas seseorang.[6] (Rujuk al-Fatawa al-Fiqhiah al-Kubra, 1:123) [7]

Manakala fatwa daripada Dar Ifta Mesir juga menjelaskan bahawa dosa yang diampunkan dengan haji mabrur ialah dosa-dosa kecil. Adapun dosa-dosa besar diampunkan dengan taubat nasuha dan hak-hak orang lain hendaklah dilunaskan mengikut yang sepatutnya. Ini dikuatkan dengan hadis yang menyebutkan bahawa orang yang mati syahid sekalipun tidak diampunkan dosa hutang yang ada ke atasnya.[8] (Rujuk Dar al-Ifta al-Misriyyah, 9:308) [9]

Selain itu haji mabrur hanya diketahui statusnya oleh Allah SWT sahaja meskipun kita dapat mengetahui tanda-tandanya. Seseorang tidak tahu secara pasti sama ada dia mendapat haji mabrur ataupun tidak. Oleh itu, tidak sepatutnya seseoran mengambil kesempatan dengan tidak bertaubat dan tidak menunaikan hak orang lain seperti hutang dengan alasan haji mabrur. Bahkan dia dituntut untuk melangsaikan hak-hak tersebut sebelum pergi menunaikan haji.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] وَمَعْنَى لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةَ أَنَّهُ لَا يَقْتَصِرُ لِصَاحِبِهِ مِنَ الْجَزَاءِ عَلَى تَكْفِيرِ بَعْضِ ذُنُوبِهِ بَلْ لَا بُدَّ أَنْ يَدْخُلَ الْجَنَّةِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ. (راجع شرح النواوي على مسلم، ج 9، ص 119)

[2] (رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ) أَيْ: بِغَيْرِ ذَنْبٍ وَظَاهِرُهُ غُفْرَانُ الصَّغَائِرِ وَالْكَبَائِرِ وَالتَّبِعَاتِ وَهُوَ مِنْ أَقْوَى الشَّوَاهِدِ بِحَدِيثِ الْعَبَّاسِ بْنِ مِرْدَاسٍ الْمُصَرِّحِ بِذَلِكَ. (راجع حاشية السندي على سنن ابن ماجه، ج 2، ص 209)

[3] Al-Syarwani, Abd al-Hamid, 1983, Hasyiah al-Syarwani ala Tuhfat al-Muhtaj, Dar Ihya al-Turath al-Arabi, Beirut, jld. 4, hlmn. 3.

[4] Al-Jamal, Sulaiman, t.t, Hasyiah al-Jamal ala Syarh al-Minhaj, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 2, hlmn. 371.

[5] Al-Bantani, Nawawi al-Jawi, Nihayat al-Zain Fi Irsyad al-Mubtadiin, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, hlmn. 200.

[6] (وَسُئِلَ) نَفَعَ اللَّهُ بِهِ عَنْ مُطْلَقِ الْحَجِّ الْمَبْرُورِ هَلْ يُكَفِّرُ الْكَبَائِرَ كَالْإِسْلَامِ؟

(فَأَجَابَ) الْحَجُّ الْمَبْرُورُ يُكَفِّرُ مَا عَدَا تَبِعَاتِ الْآدَمِيِّينَ كَمَا حَكَى بَعْضُهُمْ الْإِجْمَاعَ عَلَى هَذَا الِاسْتِثْنَاءِ وَالْحَدِيثُ الْمُقْتَضِي لِتَكْفِيرِ التَّبِعَاتِ أَيْضًا ضَعِيفٌ فَقَوْلُ بَعْضِهِمْ بِقَضِيَّتِهِ وَهْمٌ وَتَكْفِيرُ ذَلِكَ لَا يُنَافِي وُجُوبَ التَّوْبَةِ مِنْهُ؛ لِأَنَّ التَّكْفِيرَ مِنْ الْأُمُورِ الْأُخْرَوِيَّةِ الَّتِي لَا تَظْهَرُ فَائِدَتُهَا إلَّا فِي الْآخِرَةِ بِخِلَافِ التَّوْبَةِ فَإِنَّهَا مِنْ الْأُمُورِ الدُّنْيَوِيَّةِ الَّتِي تَظْهَرُ فَائِدَتُهَا فِي الدُّنْيَا كَرَفْعِ الْفِسْقِ وَنَحْوِهِ فَهَذَا لَا دَخْلَ لِلْحَجِّ وَغَيْرِهِ فِيهِ بَلْ لَا يُفِيدُ فِيهِ إلَّا التَّوْبَةُ بِشُرُوطِهَا وَاَللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ.

[7] Al-Haitami, Ibn Hajar, t.t, al-Fatawa al-Fiqhiah al-Kubra, Maktabah Islamiah, jld. 2, hlmn. 99.

[8] إن النصوص العامة التى فيها تكفير الأعمال الصالحة لكل الذنوب - كحديث الحج المتقدم - مخصوصة بالذنوب الصغيرة، أما الكبيرة فلا يكفرها إلا التوبة. وليكن معلوما أن التوبة لا تكفر الذنوب التى فيها حقوق العباد لأن من شروطها أو أركانها أن تبرأ الذمة منها، إما بردها لأصحابها وإما بتنازلهم عنها، وبالتالى فالحج أو غيره من الطاعات لا يكفر الذنب الذى فيه حق للعباد حتى تبرأ الذمة منه ويؤيد ذلك أن الشهادة في سبيل اللَّه، وهى فى قمة الأعمال الصالحة، لا تكفِّر حقوق العباد، كما ورد فى حديث مسلم " يغفر اللَّه للشهيد كل شىء إلا الديْن ". أما الذنوب التى هى حق للَّه فهى قسمان، قسم فيه بدل وعوض، وقسم ليس فيه ذلك، فالأول كمن أذنب بترك الصلاة أو الصيام فلا يكفر إلا بقضاء ما فاته من صلاة وصيام كما وردت بذلك النصوص الصحيحة، والثانى كمن أذنب بشرب الخمر مثلا، فإن مجرد تركه والتوبة منه يكفره الله تعالى، والتوبة تكون بإقامة الحد عليه إن كانت الحدود تقام، وإلا فهى الإِقلاع عن الذنب والندم عليه والعزم على عدم العود. هذا، وقد وردت نصوص تدل على أن التبعات والمظالم يكفرها اللَّه بالحج، لكن هذه النصوص غير قوية فلا تعارض ما هو أقوى منها، فالتوبة لا تكفر التبعات والمظالم إلا ببراءة الذمة، وكذلك الحج لا يكفرها إلا بذلك.

[9] Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, t.t, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, jld. 9, hlmn. 308.