Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MADU PERLU DIZAKATKAN?

SOALAN 64 (26 RAMADAN 1436H BERSAMAAN 13/07/2015)

Adakah madu perlu dizakatkan?

 

JAWAPAN

Ulama telah khilaf berkenaan dengan zakat madu. Dalam buku al-Masail al-Mustajiddah menyebut pendapat yang paling rajih adalah diwajibkan zakat dengan kadar sepuluh afraq nisabnya yang menyamai sukatannya 75 kilogram. Inilah yang telah diputuskan oleh Saidina Umar Ibn al-Khattab yang memerintahkan supaya dikeluarkan sepuluh peratus (10%) daripada nilai madu. Athram berkata Imam Ahmad ditanya berkenaan dengan zakat madu. Jawabnya: “Ya! Aku berpendapat demikian kerana telah dilakukan oleh Umar.”

            Inilah pendapat Hanafiah, Hanabilah dan qaul qadim bagi mazhab Syafie. Pendapat ini juga dikemukakan oleh Umar Ibn Abdul Aziz, Makhul, Zuhri, Auza’ie dan Ishak.

            Manakala pendapat yang kedua menyatakan bahawa madu lebah tidak dikenakan zakat. Pendapat ini datangnya daripada Malik, Syafie, Ibn Abi Laila, al-Hasan bin Soleh dan Ibn Munzir. Alasannya ialah kerana madu adalah cecair yang keluar daripada haiwan dan ianya sama seperti susu haiwan. Ibn Munzir menyatakan bahawa tiada hadith dan ijma’ yang thabit menunjukkan tentang wajibnya zakat terhadap madu. Lihat al-Mughni oleh Ibn Qudamah.