Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-169 : FIDYAH ANAK YANG SAKIT DAN KURANG UPAYA

ifkr169 compressed

 

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Mohon bertanya satu hukum saya ada anak seorang umur dah 16 dilahirkan berpenyakit tidak dapat makan protein seperti susu, ayam, ikan, telur dan lain-lain. Kesan dari susu ibu seawal kelahiran hingga hari ke sembilan, anak tidak dapat proses protein dan bertukar mnjadi toksik dalam darah hingga mnyebabkan brain edema @ keradangan otak yg mengakibatkan kurang sempurna fungsi otak yang mngganggu keupayaan berfikir sebagaimana orang normal tetapi tidak terencat akal. Secara perubatannya anak tidak boleh ambil makanan berprotein sepanjang hidup dan atas penyakitnya, doktor tidak benarkan puasa selamanya kerana tidak makan melebihi 6 jam menyebabkan sistem metaboliknya memudaratkan diri hingga boleh membahayakan nyawa.

Persoalannya, jika anak ana ini dimaafkan dari berpuasa dalam keadaannya tidak dpt ganti puasa selama-lamanya atas faktor pngesahan doktor pakar, tetapi adakah fidyah dikenakan ke atasnya dalam keadaan anak yang begitu sejak dilahirkan? Mohon pandangan.

Tambahan sedikit, anak saya hingga kini keupayaan berfikir tidak normal sepenuhnya dan fizikal juga terjejas jadi kejang dan berjalan dalam keadaan berjingkit akibat dari serangan toksik lebihan protein di awal kelahiran itu.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Mukadimah

Soalan di atas memiliki empat isu.

  • Pertama: apakah hukum seseorang yang tidak mampu berpuasa kerana sakit yang tidak dapat sembuh?
  • Kedua: Jika pesakit tersebut wajib membayar fidyah, bagaimana hukumnya jika dia tidak berkemampuan untuk bayar kerana keadaan yang kurang upaya?
  • Ketiga: Apakah takrif “tidak mampu” yang menghilangkan kewajiban membayar fidyah?
  • Keempat: Apakah takrif berakal yang mewajibkan ke atas seseorang itu hukum hakam Syarak?

Justeru, dengan izin dan taufiq dari Allah ﷻ, berikut kami huraikan isu-isu di atas satu persatu.

 

Hukum seseorang yang tidak mampu berpuasa kerana sakit yang tidak dapat sembuh

Kami telah menghuraikan dengan panjang lebar isu ini dalam Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-165 : Hukum Puasa Pesakit Glaukoma Yang Perlu Sentiasa Meminum Air. Ringkasannya, mereka tidak wajib berpuasa dan tidak wajib juga menggantikannya tetapi wajib membayar fidyah bagi bilangan hari yang ditinggalkan berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ

Maksudnya: “…dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama…”

(Surah al-Hajj: 78)

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili:

“Orang yang lemah untuk berpuasa wajib ke atasnya membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin bagi setiap hari itu satu mudd daripada makanan, kira-kira 600 gram daripada jenis makanan ruji tempatan. Jika dia memaksa dirinya untuk berpuasa juga maka tidak ada fidyah baginya. Dalil bagi fidyah ialah firman Allah Taala:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: “dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Yakni mereka diberikan tanggungjawab untuk berpuasa tetapi mereka tidak mampu. Berkata Ibn Abbas R.Anhuma: “Golongan itu adalah lelaki tua renta dan wanita tua renta, yang masing-masing tidak mampu untuk berpuasa, maka mereka hendaklah memberi makan setiap hari seorang miskin.” Riwayat al-Bukhari (no. 4235).

Daripada Abu Hurairah RA bahawa dia berkata: “Barangsiapa yang mencapai umur tua kemudian tidak mampu berpuasa Ramadhan maka dia wajib bagi setiap hari (yang ditinggalkan) itu satu mudd daripada tepung gandum.” Riwayat al-Baihaqi (4/271).

Berkata Ibn Umar R.Anhuma: “Jika seseorang lemah untuk berpuasa maka berilah makan bagi setiap hari itu satu mudd.” Riwayat al-Baihaqi (4/230).

Sesungguhnya Anas RA pernah lemah untuk berpuasa satu tahun sebelum dia wafat maka dia berbuka puasa dan memberi makan (yakni fidyah). Riwayat al-Daraqutni (2/207) dan al-Baihaqi (4/271).”

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/197-198)

Oleh itu, seseorang yang tidak mampu berpuasa kerana menghidap penyakit yang tidak dapat sembuh tidak diwajibkan berpuasa sebaliknya diwajibkan membayar fidyah.

 

Hukum pesakit yang tidak berkemampuan untuk bayar kerana keadaannya yang kurang upaya

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (6/259):

“Jika kita mengatakan wajib fidyah ke atas orang tua, pesakit yang putus asa daripada sembuh, tetapi jika dia itu mu`sir (orang susah); adakah dia masih wajib membayar fidyah apabila dia kembali senang, atau sudah gugur apa-apa kewajiban daripadanya? Dalam isu ini ada dua qoul (pendapat Imam al-Syafie) seperti hukum kaffarah. Pendapat yang asoh (lebih sahih) dalam isu kaffarah ialah kekal liabiliti untuk membayarnya apabila sudah senang kerana fidyah itu wajib sebagai timbal balas akibat jenayah yang dia lakukan (seperti zihar atau jimak waktu siang Ramadhan) seperti hukum balasan bagi orang yang melanggar larangan buruan, tetapi sewajarnya di sini hukum yang asohnya ialah bahawa liabiliti fidyah itu gugur (bagi orang mu`sir) dan tidak wajib juga membayarnya apabila sudah senang, sama seperti hukum membayar zakat fitrah, kerana dia lemah semasa keadaan taklif (tidak mampu ketika diberikan tanggungjawab) sedangkan dia tidak dikenakan apa-apa timbal balas kerana suatu perbuatan jenayah, atau seumpamanya.”

Fakta diatas menunjukkan bahawa orang yang tidak diwajibkan berpuasa kerana sakit yang tidak ada harapan sembuh tetapi tidak mampu secara ekonomi untuk membayar fidyah maka mereka tidak diwajibkan untuk membayar fidyah, sama seperti hukum zakat fitrah.

Namun, jika kita melihat hukum pembayaran zakat fitrah, seseorang yang tidak dapat menanggung diri sendiri maka fitrahnya dibayar oleh orang yang menanggung nafkahnya. Kita rujuk kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/229) seperti berikut:

“...wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi diri dan tanggungannya seperti ibu bapa, datuk dan seterusnya, anak, cucu dan seterusnya dan isterinya. Walau bagaimanapun, tidak wajib seseorang mengeluarkan zakat fitrah anaknya yang baligh dan mampu berusaha sendiri. Zakat fitrah juga tidak wajib dikeluarkan bagi pihak keluarga yang bukan tanggungannya. Bahkan tidak sah mengeluarkannya kecuali dengan izin atau mewakilkannya.Sekiranya seseorang itu memiliki kadar harta yang tidak mencukupi untuk membayar zakat fitrah seluruh ahli keluarga di bawah tanggungannya, dia hendaklah mendahulukan dirinya, diikuti isterinya, seterusnya anak-anak yang masih kecil, bapa, ibu dan anak-anak yang telah dewasa yang tidak mampu berusaha...”

Justeri, seseorang yang tidak mampu berpuasa kerana sakit yang tidak ada harapan sembuh tetapi tidak mampu membayar fidyah, maka fitrahnya dibayar oleh orang yang menanggung nafkahnya. Akan tetapi fidyahnya tidak perlu dibayar oleh orang yang menanggung nafkahnya, kerana telah gugur kewajipan membayar fidyah bagi golongan yang tidak mampu (i`sar) dan juga orang yang menanggung nafkahnya.

 

Takrif I`sar yang menghilangkan kewajiban membayar fidyah

Apabila seseorang itu tidak mampu membayar fidyah maka dia dikategorikan sebagai mu`sir, atau orang susah. Berkata Syeikh Abu Bakar Syato al-Dimyati:

“dabit (kriteria) orang susah itu ialah seseorang yang tiada di sisinya harta yang lebih daripada apa yang ditinggalkan untuk orang muflis.”

Rujuk I`anah al-Tolibin (2/130); Tuhfah al-Muhtaj (3/125) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami

Di dalam Hukum Syarak, orang yang muflis, yakni orang yang hutangnya melebihi hartanya, boleh ditahan hartanya oleh hakim atas permohonan pemiutang, supaya boleh dijual atau diuruskan oleh pemiutang bagi melangsaikan hutang orang yang muflis itu terhadap pemiutang. Namun begitu, bukan semua harta orang yang muflis itu boleh diambil sebaliknya hendaklah ditinggalkan sebahagian untuk keperluan asasi orang yang muflis itu.

Merujuk kepada kitab al-Fiqh al-Manhaji (8/254):

“…hakim wajib meninggalkan sebahagian harta untuk keperluan asasi orang muflis dan keluarganya bersesuaian dengan taraf hidupnya dari segi pakaian, makanan dan kediaman. Jika perbelanjaannya melebihi taraf hidupnya yang bersesuaian, hakim berhak menurunkan perbelanjaannya ke kadar yang sesuai berdasarkan pendapat hakim...”

Apabila kita aplikasikan pengecualian di atas dalam konteks semasa, orang yang mu`sir ialah seseorang yang tidak memiliki harta untuk membayar fidyah melainkan harta yang cukup-cukup sahaja untuk menampung keperluan dirinya sendiri. Apatahlagi dalam konteks pesakit yang kurang upaya, segala nafkah yang diberi seperti pakaian, makanan dan minuman, tempat tinggal serta kos perubatan kebiasaannya disediakan oleh ibu bapa, atau penjaga, dan pesakit tersebut tidak mempunyai harta yang melebihi keperluan hidupnya.

 

Takrif Berakal

Berkata Syeikh Hasan al-Kaf dalam al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Ibadah (hlm. 196):

Berakal yakni tamyiz (boleh membezakan, atau mumaiyiz) maka tidak wajib solat ke atas orang gila, kanak-kanak yang belum mumaiyiz (bahkan tidak sah), orang pengsan dan tidak ada qadha` ke atas mereka.”

Justeru kriteria berakal ini boleh mengambil kriteria kanak-kanak mumaiyyiz yakni Kanak kanak yang sudah dapat membezakan sesuatu yang baik dan yang buruk. Sebahagian ulama pula memperincikan lagi bahawa had mumayyiz itu apabila kanak-kanak lelaki dan perempuan itu sudah pandai makan, minum, dan beristinja’ secara kendiri.

Rujuk Kasyifah al-Saja (ms.76) oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. 

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat seperti berikut:

  • Pesakit yang tidak mampu untuk berpuasa kerana memiliki masalah kesihatan yang tidak ada harapan untuk sembuh tidak wajib berpuasa berdasarkan prognosis doktor yang merawatnya.
  • Jika pesakit itu adalah orang yang senang, maka diwajibkan untuk membayar fidyah bagi setiap hari dalam bulan Ramadhan yang dia tidak berpuasa.
  • Jika pesakit itu adalah orang yang susah, maka tidak diwajibkan untuk membayar fidyah puasa sekalipun jika akan datang dia ditaqdirkan sembuh, kerana kewajiban fidyah ke atasnya bukan kerana kaffarah dosa, dan kerana dia tidak mampu pada saat wujud sebab taklif.
  • Jika ada orang yang ingin membayarkan fidyahnya, maka hukumnya adalah sunat, untuk keluar daripada khilaf ulama yang mewajibkan fidyah apabila sudah senang, tetapi sumbangan itu mestilah mengutamakan kos nafkahnya terlebih dahulu dan mendapat izin daripada pesakit itu, seperti mana yang disebut dalam bab zakat fitrah.
  • Keadaan mental pesakit itu juga perlu diambil kira dan hal ini perlu merujuk kepada doktor. Jika keadaan mentalnya sama seperti kanak-kanak mumayyiz maka dia merupakan seorang mukallaf apabila dia mencapai akil baligh. Jika tidak, maka pesakit itu tidak wajib berpuasa ataupun fidyah, kerana dia bukan seorang mukallaf.

Pendapat di atas juga mengambil kira kos memelihara anak-anak kurang upaya adalah tinggi kerana melibatkan kos pembiayaan kesihatan yang berbeza daripada orang lain. Jika diwajibkan fidyah secara mutlak ke atas orang yang menanggung nafkahnya seperti ibu bapa nescaya ramai ibu bapa, atau penjaga, yang tidak mampu kerana wujud perbelanjaan baharu dalam nafkah yang sedia tinggi. Kami berpendapat pendapat ini dekat dengan firman Allah ﷻ:

لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ

Maksudnya: “…Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya;…”

(Surah al-Baqarah: 233)

Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ melapangkan rezeki kita dan menjadikan kita hamba-Nya yang sentiasa mensyukuri niktmat-Nya. Amin

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.