Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-192: BAGAIMANAKAH PUASA SEKIRANYA SESEORANG ITU HAMPIR MUNTAH DAN RASA LOYA

IFKR192

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ada satu pertanyaan saya sedang mengandung anak pertama dan baru beberapa bulan. Pada masa ini saya mengalami alahan seperti merasa loya dan ingin muntah, adakah ia boleh membatalkan puasa.

Ringkasan Jawapan

Muntah dengan tidak sengaja tidak membatalkan puasa. Begitu juga loya atau perasaan hampir muntah tidaklah sampai membatalkan puasa melainkan loya tersebut disengajakan sehingga termuntah maka batal puasanya atas ikhtiar dan usahanya sendiri.

Dalam keadaan yang lain, jika berasa loya lalu terkeluar sesuatu dari rongga dalam atau perutnya sehingga sampai ke dalam mulut kemudian sisa tersebut ditelan semula dengan sengaja maka batal puasanya

Huraian Jawapan

Puasa merupakan ibadah yang disyariatkan Allah SWT kepada umat Islam pada bulan Ramadan dengan menahan diri daripada perkara yang boleh membatalkannya. Di antara perkara yang boleh membatalkan puasa adalah muntah dengan sengaja. Perkara ini sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ ذَرَعَهُ قَىْءٌ وَهُوَ صَائِمٌ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ وَإِنِ اسْتَقَاءَ فَلْيَقْضِ

Maksudnya: “Barang siapa yang tidak dapat menahan muntah, maka dia masih berpuasa dan tidak wajib ke atasnya qada. Manakala jika dia muntah dengan sengaja maka wajib qada (batal puasanya).”

Riwayat Abu Daud (2380)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa jika seseorang itu muntah dengan sengaja dengan usaha dan ikhtiarnya sendiri walaupun yakin bahawa muntah tersebut tidak akan masuk kembali ke dalam rongga dalamnya kembali, maka puasanya itu terbatal. Manakala jika munta dengan tidak sengaja maka tidak membatalkan puasanya.[1]

Selain itu, walaupun muntah dengan tidak sengaja itu tidak membatalkan puasa namun sekiranya sisa yang tertinggal di dalam mulut itu ditelan kembali dengan sengaja dan ikhtiarnya sendiri maka puasanya itu akan terbatal dan wajib digantikannya. Syeikh Ibrahi al-Baijuri menyebut di dalam hasyiahnya:

ومحل عدم بطلان صومه ما لم يعد شيء من القيء إلى جوفه باختياره، فإنه يبطل حينئذ.

Maksudnya: “Piawaian (muntah yang tidak sengaja) tidak membatalkan puasanya jika muntah tersebut tidak masuk kembali ke dalam rongganya dengan ihtiarnya sendiri, sekiranya (muntah tersebut masuk kembali dengan ikhtiarnya) maka batal puasanya.”[2]

Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa secara asasnya muntah dengan tidak sengaja tidak membatalkan puasa. Begitu juga loya atau perasaan hampir muntah tidaklah sampai membatalkan puasa melainkan loya tersebut disengajakan sehingga termuntah maka batal puasanya atas ikhtiar dan usahanya sendiri.

Dalam keadaan yang lain, jika berasa loya lalu terkeluar sesuatu dari rongga dalam atau perutnya sehingga sampai ke dalam mulut kemudian sisa tersebut ditelan semula dengan ikhtiar dan usahanya sendiri maka batal puasanya.

Wallahu’alam

 

[1] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muttaqin fi al-fiqh, (Dar al-Fikr, 1425H) hlm. 75

وَالِاسْتِقَاءَةِ وَالصَّحِيحُ أَنَّهُ لَوْ تَيَقَّنَ أَنَّهُ لَمْ يَرْجِعْ شَيْءٌ إلَى جَوْفِهِ بَطَلَ، وَإِنْ غَلَبَهُ الْقَيْءُ فَلَا بَأْسَ

[2] Syeikh Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad al-Syafi’e al-Baijuri, Hasyiah Ibrahim al-Baijuri ‘ala Fath alQarib al-Mujib, (Jakarta: Dar Kutub al-Islamiyyah, 1428H) 1/557