Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 226: PENGGUNAAN UBAT SAPUAN KULIT KETIKA PUASA

PENGGUNAAN UBAT SAPUAN KULIT KETIKA PUASA

 

Soalan:

Assalammualaikum, Saya dah terbiasa pakai krim mahupun losyen, sudah pasti semua bahan tersebut meresap ke dalam badan melalui kulit. Hal ini sama juga ubat-ubat sapuan lain. Persoalannya, bahan-bahan tersebut masuk ke dalam rongga badan, adakah ia membatalkan puasa. Mohon pencerahan Mufti. Terima Kasih.

Ringkasan Jawapan:

Penggunaan losyen, krim mahupun sebarang ubat sapuan kulit tidak membatalkan puasa, walaupun sapuan krim mahupun minyak serap ke dalam kulit badan. Hal ini kerana ia tidak masuk melalui rongga terbuka sehingga boleh tembus ke perut mahupun ke bahagian otak.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Definisi puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa daripada terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat yang khusus. [1] Antara syarat sah puasa menahan daripada sesuatu ain (jirim) sampai ke dalam rongga.  Imam al-Nawawi ada menyatakan:[2]

وعن وصول العين إلى ما يسمى جوفا وقيل: يشترط مع هذا أن يكون فيه قوة تحيل الغذاء أو الدواء فعلى الوجهين باطن الدماغ والبطن والأمعاء والمثانة مفطر بالاستعاط أو الأكل أو الحقنة أو الوصول من جائفة أو مأمومة ونحوهما

“Menahan sesuatu ain (jirim) hingga ke sesuatu yang dipanggil rongga. Pendapat lain (lemah) menyatakan syarat mesti padanya memiliki kemampuan untuk  mencerna makanan dan perubatan. Berdasarkan dua pendapat ini, batin otak, perut, usus dan pundi kencing adalah membatalkan puasa dengan sedutan hingga ke otak, makan, suntikan atau luka sampai tembus ke perut atau otak atau seumpama keduanya”

Adalah disyaratkan untuk menjadikan puasa itu batal  ialah sampai sesuatu ain (jirim) melalui rongga yang terbuka. Oleh yang demikian, sesuatu yang masuk melalui kulit tidak membatalkan puasa berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab Minhaj al-Tolibin:[3]

وَشَرْطُ الْوَاصِلِ كَوْنُهُ مِنْ مَنْفَذٍ مَفْتُوحٍ فَلَا يَضُرُّ وُصُولُ الدُّهْنِ بِتَشَرُّبِ الْمَسَامِّ

“Syarat sampai sesuatu benda daripada saluran rongga yang terbuka, maka tidak terbatal puasa dengan sapuan minyak yang meresap masuk ke dalam liang-liang roma kulit badan”.

Sementara, rongga terbuka ialah mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun wanita.[4]

Penutup

Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan, penggunaan losyen, krim mahupun sebarang ubat sapuan kulit tidak membatalkan puasa, walaupun sapuan krim mahupun minyak serap ke dalam kulit badan. Hal ini kerana ia tidak masuk melalui saluran rongga yang terbuka.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim al-Kaf. (2003) al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, Dar Mirath- al-Nabawi, P:433

[2] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh: Dar al-Fikr J:1 P75

[3] Al-Nawawi, Abu Zakaria Mahya ad-din Yayha. (2005) Minhaj al-Thalibin wa Umdatun Muftin fi Fiqh, : Dar al-Fikr J:1 P75

[4] Muhammad al-Zuhaili,  (2011) al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, Damsyik: Dar al-Qalam, 2/181.

منفذ المفتوح: هو الفم والأذن والقُبلً والدبر من الذكر والأنثى