Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-353 : HUKUM MENGHALALKAN HUTANG ORANG YANG DALAM KESUSAHAN SEBAGAI ZAKAT

IF353.png

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Saya ingin bertanya, bolehkah seseorang itu menunaikan zakat dengan cara menghalalkan hutang yang dipinjamkan kepada seseorang yang berada di dalam kesusahan? Adakah zakat dikira sah dengan cara tersebut?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Secara asasnya, zakat hendaklah ditunaikan kepada lapan golongan asnaf yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran melalui firmanNya:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 60)

Apabila kita melihat lapan golongan asnaf tersebut, ia termasuk golongan al-Gharimin, yang bermaksud orang yang berhutang. Kami telah membahaskan tentang golongan asnaf ini secara panjang lebar dalam artikel Irsyad al-Fatwa ke-131 : Al-Gharimin Dalam Asnaf Zakat. Secara ringkasnya, asnaf al-Gharimin terbahagi kepada beberapa golongan seperti:

  1. Mereka yang berhutang demi kemaslahatan diri sendiri/keluarga.
  2. Mereka yang berhutang demi kemaslahatan orang yang lain.
  3. Individu yang menjamin orang yang berhutang.
  4. Individu yang ditimpa bencana yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan sebagainya.

Justeru itu, barangsiapa yang termasuk dalam golongan ini, maka dia berhak untuk menerima zakat sebagai asnaf al-Gharimin.

Walau bagaimanapun, para ulama’ berbeza pandangan berkaitan hukum membayar zakat dengan menghalalkan hutang terhadap seseorang yang berada di dalam kesusahan. Jumhur ulama’ mengatakan bahawa perkara itu tidak dibolehkan dan tidak sah. Hal ini berdasarkan apa yang disebut oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, bahawa:

إِذَا كَانَ لِرَجُلٍ عَلَى مُعْسِرٍ دَيْنٌ فَأَرَادَ أَن يَجْعَلَهُ عَن زَكَاتِهِ... فَوَجْهَان: أَصَحُّهُمَا: لَا يُجْزِئُهُ وَهُوَ مَذْهَب أَحْمَد وَأَبِي حَنِيفَةَ لِأَنَّ الزَّكَاةَ في ذمته فلا يبرأ إلا بإقباضها

Maksudnya: Jika sekiranya seorang pemiutang yang mempunyai hutang ke atas seseorang yang berada dalam kesusahan dan dia ingin menjadikan hutang yang diberikannya tersebut sebagai zakat.. maka terdapat dua pandangan (dalam mazhab al-Syafie), pandangan yang paling sahih ialah tidak sah. Ini juga pandangan dari mazhab Imam Ahmad Ibn Hanbal dan Imam Abu Hanifah. Hal ini kerana zakat tersebut masih dalam tanggungan si pemiutang dan tidak terlepas tanggungan tersebut kecuali selepas diterima oleh si penerimanya. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6:210-211)

Disamping itu, disebut juga dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, bahawa:

الإْخْرَاجُ بِإِسْقَاطِ الْمُزَكِّي دَيْنَهُ عَنْ مُسْتَحِقٍّ لِلزَّكَاةِ: لاَ يَجُوزُ لِلدَّائِنِ أَنْ يُسْقِطَ دَيْنَهُ عَنْ مَدِينِهِ الْفَقِيرِ الْمُعْسِرِ الَّذِي لَيْسَ عِنْدَهُ مَا يَسُدُّ بِهِ دَيْنَهُ وَيَحْسِبَهُ مِنْ زَكَاةِ مَالِهِ، فَإِنْ فَعَل ذَلِكَ لَمْ يُجْزِئْهُ عَنِ الزَّكَاةِ، وَبِهَذَا قَال الْحَنَفِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ وَالْمَالِكِيَّةُ مَا عَدَا أَشْهَبَ، وَهُوَ الأْصَحُّ عِنْدَ الشَّافِعِيَّةِ، وَقَوْل أَبِي عُبَيْدٍ

Maksudnya: Mengeluarkan zakat dengan cara si pembayar zakat menghalalkan hutangnya kepada seorang yang berhak untuk mendapat zakat (mustahiq): tidak dibolehkan seorang penghutang untuk menggugurkan hutangnya terhadap si pemiutang yang fakir dan berada dalam kesusahan serta tidak mempunyai apa-apa untuk dibayar, lalu menganggapnya sebagai zakat. Jika sekiranya si penghutang melakukan demikian, maka tidak sah zakat tersebut. Pandangan ini merupakan pandangan mazhab Hanafi, Hanbali, Maliki selain daripada Imam Asyhab, serta ia merupakan pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafi’e dan pandangan Abu ‘Ubaid. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23:300)

Selain daripada itu, zakat juga haruslah dibayarkan kepada mereka dengan berlakunya pemindahan harta daripada pembayar zakat (muzakki) kepada penerima zakat (mustahiq) berdasarkan firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).

(Surah al-Taubah: 103)

Begitu juga dalam satu hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal ke Yaman untuk berdakwah, Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.

Hadith riwayat al-Bukhari: (1496)

Apa yang dapat dilihat daripada nas di atas ialah pembayaran zakat mestilah mempunyai proses ‘ambil dan beri’ atau ‘terima dan serah’ (الأخذ و الردّ). Justeru itu, cara menghalalkan hutang yang sudah diberikan kepada si penghutang tersebut tidak menepati cara pembayaran zakat yang betul kerana tiadanya pemindahan zat harta sebagai zakat daripada pembayar zakat (muzakki) kepada penerimanya (mustahiq).

Manakala pendapat yang kedua mengatakan bahawa cara tersebut harus dan dibolehkan. Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

والثاني: يجزئه، وهو مذهب الحسن البصري وعطاء؛ لأنه لو دفعه إليه، ثم أخذه منه جاز، فكذا إذا لم يقبضه

Maksudnya: Pendapat kedua: Sah zakatnya (dengan cara menghalalkan hutang), dan ini adalah mazhab Hasan al-Basri dan ‘Atha. Hal ini kerana jika dia membayar zakat kepada orang yang berhutang tersebut, kemudian mengambilnya semula wang itu maka hukumnya adalah harus. Begitu juga harus dan sah walaupun orang yang berhutang tidak menerima (memegang) wang zakat tersebut. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6:210-211)

Selain itu, Dr. Sulaiman al-Asyqar dalam kitab Abhas al-Fiqhiyyah fi Qadaya al-Zakat al-Mu’asarah, mengatakan bahawa dibolehkan untuk menyerahkan harta zakat dalam bentuk manfaat semata-mata tanpa ada pemindahan harta. Oleh itu, jika si penghutang menghalalkan hutang yang membebani si pemiutang, maka walaupun tiada pemindahan harta zakat tersebut, namun manfaatnya diperolehi oleh orang yang berhutang tersebut dengan dibebaskan dari bebanan hutang tersebut dan ia diharuskan oleh sesetengah ulama’. Hal ini seperti di sebut dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

وَذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ فِي قَوْلٍ وَأَشْهَبُ مِنَ الْمَالِكِيَّةِ وَهُوَ مَنْقُولٌ عَنِ الْحَسَنِ الْبَصْرِيِّ وَعَطَاءٍ: إِلَى جَوَازِ ذَلِكَ، لأِنَّهُ لَوْ دَفَعَ إِلَيْهِ زَكَاتَهُ ثُمَّ أَخَذَهَا مِنْهُ عَنْ دَيْنِهِ جَازَ، فَكَذَا هَذَا

Maksudnya: Sebahagian daripada ulama’ mazhab Syafie dan Imam Asyhab daripada mazhab Maliki yang dinukilkan daripada Hasan al-Basri dan ‘Atha: mereka berpendapat bahawa cara tersebut dibolehkan. Ini kerana jika si penghutang membayar zakatnya kepada si pemiutang kemudian mengambilnya semula darinya sebagai hutangnya, maka hukumnya adalah diharuskan. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23:300)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami lebih cenderung kepada pandangan jumhur ulama’ dalam perkara ini, dengan menyimpulkan bahawa hukum menghalalkan hutang kepada orang yang berada di dalam kesusahan dan menjadikannya sebagai zakat adalah tidak sah dan kewajipan zakat itu masih berada dalam tanggungannya. Oleh itu, harta zakat hendaklah dibayarkan kepada penerimanya dengan berlaku pemindahan harta dari pembayar zakat (muzakki) kepada penerima zakat (mustahiq) atau wakilnya daripada pihak pemerintah seperti Pusat Pungutan Zakat Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri.

Walau bagaimanapun, kami memuji niat baik saudara yang bertanya yang berhati mulia untuk menolong orang yang berada dalam kesusahan. Hal ini bertepatan dengan anjuran Allah SWT untuk melapangkan kesempitan bagi orang yang berhutang dengan bersedekah kepadanya, seperti dalam firmanNya:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

(Surah al-Baqarah: 280)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya. Amin.

WaAllahu a’lam.