Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-381 : MEMADAIKAH MEMBACA BASMALAH TANPA AL-RAHMAN AL-RAHIM SEBELUM MAKAN?

IF 381 doa makan

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ingin bertanya mengenai doa sebelum makan. Betulkah dengan hanya membaca ‘Bismillah’ sahaja tanpa tambahan ‘al-Rahman al-Rahim’ itu adalah yang sebenar dipersetujui dan sahih dilafazkan oleh Nabi Muhammad SAW sebelum makan? Jadi kita tidak perlu tokok tambah lagi. Harap Datuk Mufti dapat memberi pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :

كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ

Maksudnya : “Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan mengingati Allah (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.” [HR Ahmad (8712)]

Begitu juga, di dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda :

كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدَأُ فيهِ بالحمدِ أقْطَعُ

Maksudnya : “Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji Allah, maka amalan tersebut akan terputus.” [HR Ibn Majah (1894)]

Maksud perkara penting di dalam hadis di atas adalah sesuatu perkara yang dititikberatkan oleh seseorang itu. Manakala makna terputus pula bermaksud kurangnya keberkatan. Para ulama menyatakan disunatkan memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan perkara-perkara yang lain yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/73)

Rasulullah SAW sebagai suri tauladan

Rasulullah SAW adalah merupakan suri tauladan umat dalam setiap aspek kehidupan sebagaimana firman Allah SWT :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

(Surah al-Ahzab : 21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu semua (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripadaNya, serta bersyukur kepadaNya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Maka, termasuk dalam aspek kehidupan tersebut berkaitan adab-adab makan dan minum.

Doa makan

Nabi SAW telah mengajarkan kepada umatnya adab-adab makan. Antaranya ialah membaca basmalah sebelum makan. Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW :

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ : بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ : بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Maksudnya : “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama Allah) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” [HR al-Tirmizi (1858)]

Di dalam hadis yang lain, Nabi SAW ada bersabda :

سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ

Maksudnya : “Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.” [HR al-Bukhari (5376) dan Muslim (2022)]

Maka, melihat kepada riwayat-riwayat yang ada, kita ketahui bahawa lafaz yang disebutkan di dalam hadis adalah ‘Bismillah’ (Dengan nama Allah).

Hikmah dan faedah membaca doa makan

Dr. Sa’id bin Ali al-Qahtani menyebutkan bahawa bacaan ‘Bismillah’ tersebut (sebelum makan) bermaksud aku memohon keberkatan dengan nama Allah, dengan mengharapkan Dia akan memberi manfaat buatku dengan makanan ini. (Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarh Hisni al-Muslim, hlm. 1183) Manakala al-Mubarakfuri pula, ketika menyatakan mengenai bacaan ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ :

وَالْمَعْنَى فِي جَمِيعِ أَجْزَائِهِ ... وَيُمْكِنُ أَنْ يُقَالَ الْمُرَادُ بِأَوَّلِهِ النِّصْفُ الْأَوَّلُ وَبِآخِرِهِ النِّصْفُ الثَّانِي فَيَحْصُلُ الِاسْتِيفَاءُ وَالِاسْتِيعَابُ.

Maksudnya : “Dan maknanya ialah pada seluruh bahagian-bahagiannya… serta boleh juga untuk dikatakan bahawa makna yang dikehendaki pada lafaz ‘awwalihi’ ialah separuh bahagian yang pertama manakala lafaz ‘akhirihi’ ialah separuh bahagian yang kedua. Hasilnya, ia menjadi sempurna dan menyeluruh.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/483)

Demikianlah juga, Nabi SAW pernah bersabda kepada sebahagian sahabat yang mengadu mereka makan tetapi tidak kenyang bahawa :

فاجتَمِعوا على طَعامِكم، واذكُروا اسمَ اللهِ عليه، يُبارِكْ لكم فيه

Maksudnya : “Hendaklah kamu semua makan secara bersama-sama dan sebutlah nama Allah ke atas makan itu. Maka, Dia akan memberikan keberkatan buat kamu semua padanya (makanan itu)” [HR Abu Daud (3764)]

Selain itu, membaca basmalah juga akan menghalang serta menjauhkan syaitan daripada makan bersama-bersama. Ini adalah sebagaimana yang diceritakan oleh seorang sahabat Nabi bahawa :

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم جالسا، ورجلٌ يأكلُ، فلم يُسمّ حتى لم يبقَ من طعامه إلا لقمة، فلما رفعها إلى فِيه، قال: بسم الله أوّله وآخرُه؛ فضحكَ النبيّ صلى الله عليه وسلم، ثم قال: "ما زَالَ الشَّيْطانُ يأكُلُ مَعَهُ، فَلَمَّا ذَكَرَ اسْمَ اللَّهِ اسْتَقَاءَ ما في بَطْنِهِ"

Maksudnya : “Rasulullah SAW pernah duduk, dan ada seorang lelaki sedang makan tetapi tidak membaca nama Allah sehinggalah tidak tinggal daripada makanannya melainkan satu suapan sahaja. Kemudian, tatkala dia mengangkat suapan terakhir tersebut ke dalam mulutnya, dia membaca, ‘Bismillahi Awwaluhu wa Akhiruhu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya). Nabi SAW ketawa dan kemudiannya bersabda : “Syaitan terus makan bersamanya, kemudian apabila dia menyebut nama Allah, syaitan itu memuntahkan semula apa yang ada di dalam perutnya (yang dimakan).” [HR Abu Daud (3768)]

Menambah lafaz al-Rahman al-Rahim’ pada basmalah sebelum makan

Mengenai perkara ini para fuqaha telah berpendapat bahawa bacaan basmalah sebelum makan hukumnya adalah sunat. Adapun lafaznya (sighah) ialah (بِسْمِ اللَّهِ) dan (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ). Sekiranya dia lupa untuk membacanya di awal (sebelum makan), bacalah pada bakinya (makanan itu) dengan menyebut (بِاسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ). (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/92)

Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :

من أهمّ ما ينبغي أن يعرف صفة التسمية، وقدر المجزئ منها،... أن الأفضل أن يقول : بسم الله الرحمن الرحيم، فإن قالَ : بِسْمِ الله؛ كفاه وحصلت السنة

Maksudnya : “Di antara perkara penting yang mesti seseorang itu tahu mengenai sifat basmalah dan kadar (minima) yang cukup daripadanya (ketika dilafazkan)… ialah sebaik-baik lafaznya (afdhal) apabila seseorang menyebut : (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ). Akan tetapi kalau dia hanya menyebut : (بِسْمِ اللَّهِ), sudah cukup baginya dan dia mendapat pahala sunat. (Lihat al-Azkar, hlm. 388)

Begitu juga, di dalam kitabnya yang lain, beliau telah menyebutkan bahawa bacaan basmalah yang paling sempurna ialah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ). Akan tetapi sekiranya seseorang itu hanya membaca ‘Bismillah’ sahaja, dia tetap mendapat fadilat (kelebihan) membaca basmalah tanpa khilaf (secara sepakat ulama). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/344)

Dr. Sa’id bin Ali al-Qahtani juga menyatakan bahawa sunnah di dalam bacaan basmalah ialah dengan menyebut (بِسْمِ اللَّهِ), akan tetapi jika seseorang itu menyebut (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ), tidak mengapa kerana al-Rahman dan al-Rahim adalah termasuk dalam nama-nama Allah yang mulia (أسماء الله الحسنى). (Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarh Hisni al-Muslim, hlm. 1186)

Selain daripada itu, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan penambahan tersebut adalah baik dan sempurna sebagaimana katanya :

وَإِذَا قَالَ عِنْدَ الْأَكْلِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ كَانَ حَسَنًا فَإِنَّهُ أَكْمَلُ بِخِلَافِ الذَّبْحِ

Maksudnya : “Dan sekiranya dia menyebutkan ketika (hendak) makan (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ), perkara itu adalah baik dan ianya adalah sempurna berbeza (halnya) ketika hendak menyembelih.” (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 5/480)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Membaca basmalah sebelum makan adalah termasuk dalam perkara sunat dan adab-adab makan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.
  • Bacaan lafaz basmalah yang paling baik dan sempurna ialah (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ). Akan tetapi sekiranya seseorang itu hanya membaca (بِسْمِ اللَّهِ) sahaja pun sudah cukup memadai baginya, dan dia tetap mendapat fadilat serta kelebihan basmalah tersebut sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.
  • Sekiranya seseorang itu terlupa untuk membaca basmalah sebelum makan dan hanya teringat ketika sedang makan, hendaklah dia membaca : (بِاسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ).
  • Di antara kelebihan membaca basmalah sebelum makan ialah memohon kepada Allah agar memberkati makanan tersebut serta memberi manfaat buat diri kita. Selain itu juga, adalah supaya dijauhi daripada syaitan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama serta kekuatan mengamalkan sunnah NabiNya. Ameen.