Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-398 : HUKUM MENGEBUMIKAN JENAZAH JANIN DI ATAS PUSARA WARISNYA YANG TELAH MENINGGAL DUNIA

IF398.png

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Kami ingin memohon pandangan SS Mufti berkaitan hukum syarak mengenai amalan pengebumian janin di atas pusara warisnya, atas alasan mudah untuk diziarahi dan tidak perlu berjalan dari satu pusara ke satu pusara. Pada kebiasaannya, saiz kubur janin diseragamkan iaitu 2 kaki lebar dan 2 kaki dalam sahaja dan disyaratkan jenazah janin tersebut mempunyai pertalian keluarga/keturunan dengan pusara yang sedia ada.

Walaubagaimanapun, terdapat teguran mengenai amalan tersebut yang masih dijalankan oleh kami sebagai pihak berkuasa tempatan. Mohon penjelasan Tuan Mufti berkaitan hal ini. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT menciptakan manusia secara berperingkat daripada setitis air mani sehinggalah menjadi manusia yang sempurna bagi menunjukkan kekuasaan-Nya.

Firman-Nya di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِن بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا ۚ

Maksudnya: Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu.

(Surah al-Hajj: 5)

Begitu juga, dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW menerangkan tentang proses penciptaan manusia dengan bersabda:

إنَّ أَحَدَكُم يُجْمَعُ خلقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ

Maksudnya: Sesungguhnya kalian dikumpulkan penciptaannya dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nuthfah (zigot), kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah) selama 40 hari pula. Kemudian menjadi mudhghah (segumpal daging) selama itu pula. Kemudian diutus seorang malaikat kepadanya untuk meniupkan ruh kepadanya, dan ditetapkan empat takdir, takdir rezekinya, ajalnya, amalnya, dan celaka ataukah bahagianya.

Hadith riwayat Muslim (6893) dan Ahmad (3624)

Berdasarkan hadith di atas, para ulama’ telah menetapkan bahawa ketika usia janin 120 hari atau lebih kurang 4 bulan, janin tersebut sudah ditiupkan roh dan berkemungkinan besar untuk hidup. Para ulama’ berselisih pandangan berkaitan hukum menggugurkan janin di bawah usia 4 bulan kerana dalam tempoh tersebut roh masih belum ditiupkan ke dalam kandungan. Manakala, jika usia di atas 4 bulan, para ulama’ bersepakat bahawa hukumnya adalah haram. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2:57-59)

Selain itu juga, para ulama’ menjelaskan bahawa sunat hukumnya untuk mengebumikan janin yang tidak mempunyai tanda-tanda hidup dan tidak mempunyai rupa bentuk manusia, dengan menutupinya dengan kain. Namun, jika sekiranya janin tersebut terdapat tanda-tanda hidup seperti menggigil dan bergerak, atau mempunyai rupa bentuk manusia yang sempurna, maka wajib dimandi, dikafankan kemudian dikebumikan tanpa solat. Hal ini sepertimana disebut oleh Imam Khatib al-Syarbini bahawa:

السِّقْطُ بِتَثْلِيثِ السِّينِ (الَّذِي لَمْ يَسْتَهِلَّ صَارِخًا) أَيْ بِأَنْ لَمْ تُعْلَمْ حَيَاتُهُ وَلَمْ يَظْهَرْ خَلْقُهُ، فَلَا تَجُوزُ الصَّلَاةُ عَلَيْهِ وَلَا يَجِبُ غُسْلُهُ، وَيُسَنُّ سَتْرُهُ بِخِرْقَة وَدَفْنُهُ دُونَ غَيْرِهِمَا، أَمَّا إذَا عُلِمَتْ حَيَاتُهُ بِصِيَاحٍ أَوْ غَيْرِهِ أَوْ ظَهَرَتْ أَمَارَتُهَا كَاخْتِلَاجٍ أَوْ تَحَرُّكٍ فَكَكَبِيرٍ فَيُغْسَلُ وَيُكَفَّنُ وَيُصَلَّى عَلَيْهِ، وَيُدْفَنُ لِتَيَقُّنِ حَيَاتِهِ وَمَوْتِهِ بَعْدَهَا فِي الْأُولَى وَظُهُورِ أَمَارَتِهَا فِي الثَّانِيَةِ، وَإِنْ لَمْ تُعْلَمْ حَيَاتُهُ وَظَهَرَ خَلْقُهُ وَجَبَ تَجْهِيزُهُ بِلَا صَلَاةٍ عَلَيْهِ

 Maksudnya: [Janin yang gugur dalam keadaan tidak mengeluarkan suara] yakni tidak diketahui tanda hidupnya dan tidak jelas rupa bentuknya (seperti manusia). Tidak boleh untuk disolatkan ke atasnya dan tidak wajib memandikannya. Sunat pula menutupinya dengan kain dan mengebumikannya. Adapun jika diketahui hidupnya dengan suara atau selainnya atau jelas tanda-tanda kehidupannya seperti menggigil atau bergerak-gerak maka hukumnya seperti kanak-kanak yang besar, maka wajiblah dimandikan dan dikafankan dan disolatkan ke atasnya, dan dikebumikan, kerana tanda hidup dan matinya telah wujud secara pasti. Jika tidak diketahui hidupnya tetapi terzahir rupa bentuk (sebagai manusia) wajib untuk mempersiapkannya (yakni dimandikan, dikafankan dan dikebumikan) tanpa solat. Solat berbeza daripada selainnya kerana selainnya itu lebih luas medannya daripada solat. Ini juga berdasarkan dalil bahawa kafir dzimmi boleh dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tetapi tidak disolatkan ke atasnya. (Rujuk al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1:290)

Disamping itu juga, para ulama’ ada membahaskan tentang saiz liang lahad bagi mengebumikan jenazah termasuklah juga janin. Pada asasnya, saiz liang lahad itu hendaklah pada kedalaman yang dapat menutupi bau jenazah dan melindunginya daripada dimakan binatang buas. Manakala, saiz kedalaman yang sempurna ialah sedalam manusia sederhana yang mengangkat kedua-dua tangannya.

Hal ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Nawawi al-Bantani di dalam kitab Kasyifah al-Saja Syarh Safinat al-Naja:

حفرة تكتم رائحة وتحرسه من السباع وأكمله قامة وبسطة ويوضع خده علي التراب ويجب توحيهه الي القبلة

Maksudnya: Liang lahad itu mestilah dapat menutupi bau jenazah serta dapat melindungi daripada haiwan buas. Liang yang sempurna adalah dengan ukurun sedalam manusia yang mengangkat kedua tangannya, kemudian diletakkan tanah pada pipi jenazah dan menghadapkannya ke arah kiblat. (Rujuk Kasyifah al-Saja Syarh Safinat al-Naja, 106-107)

Di dalam Hasyiah Bujairimi menerangkan قامة وبسطة dengan kadar 4 hasta setengah. Ada juga pendapat yang menyatakan 3 hasta setengah dan ukuran yang muktamad adalah 4 hasta setengah. (Rujuk Hasyiah Al-Bujairimi ala Syarah Manhaj Al-Tullab, 1:635).

Oleh itu, jika kita meneliti kepada pengamalan menanam jenazah janin di atas pusara warisnya yang meninggal dunia, ia tidak menyalahi mana-mana syarat pengebumian sepertimana yang telah diterangkan di atas. Selain itu juga, kami juga melihat bahawa pengebumian tersebut bukan dikira termasuk dalam pengharaman mengebumikan dua atau lebih jenazah dalam satu liang lahad (sila rujuk selanjutnya di Bayan Linnas siri ke-115 : Fiqh Jenazah Kebakaran). Hal ini kerana kedalaman kubur janin tersebut tidaklah sampai kepada ruang liang lahad si mati di dalam pusara tersebut, maka ia merupakan liang lahad yang berbeza.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa hukum pengamalan mengebumikan jenazah janin di atas pusara warisnya yang telah meninggal dunia adalah harus dan dibolehkan kerana ia tidak menyalahi syarat pengebumian di dalam syariat Islam. Di kesempatan ini, suka untuk kami letakkan beberapa garis-panduan atau dhawabith supaya pengamalan menanam jenazah janin di atas pusara warisnya ini dapat diuruskan dengan sebaiknya dan mengelak daripada timbul perkara yang tidak menyenangkan, antaranya ialah:

  • Hendaklah memastikan bahawa janin yang ditanam tersebut mempunyai dokumentasi yang lengkap berkaitan nama, keturunan, umur, sebab kematian dan sebagainya, bagi memastikan kesahihan pertalian keluarga dengan pemilik pusara tersebut dan menghindarkan daripada berlakunya sesuatu yang mencurigakan seperti jenayah dan sebagainya.
  • Hendaklah memastikan saiz kubur yang digali bersesuaian dengan saiz dan umur janin yang dikebumikan supaya dapat menutup bau jenazah dan melindunginya daripada binatang-binatang buas. Jika sekiranya umur dan saiznya besar, maka hendaklah menambah kedalaman liang lahad yang bersesuaian dengannya. Sabda Rasulullah SAW:

احْفِرُوا وَأَوْسِعُوا وَأَحْسِنُوا

Maksudnya: Galilah dan perluaskanlah dan perelokkanlah.

Hadith riwayat al-Tirmidzi: (1713)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.