Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-404 : ADAKAH SYAITAN DAN JIN BOLEH MELIHAT AURAT ANAK ADAM SERTA BAGAIMANA MENGHINDARINYA?

IF 404 jin

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ingin bertanya, adakah benar jin dan syaitan boleh melihat aurat kita? Kalau mereka boleh melihat aurat kita, adakah di sana terdapat saranan atau cara bagi menghalang daripada aurat kita dilihat oleh mereka, terutamanya ketika kita sedang salin pakaian atau berada di dalam tandas bagi menunaikan hajat? Harap Datuk dapat beri pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

يَا بَنِي آدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ الْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا ۗ

Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup).”

(Surah Al-‘Araf : 27)

Ayat di atas adalah merupakan peringatan buat seluruh umat manusia agar jangan tertipu dengan tipu daya syaitan. Mereka telah menjadikan perbuatan maksiat itu indah di mata kamu semua, sebagaimana mereka telah lakukan terhadap ibubapa kamu iaitu Nabi Adam dan Hawa’. Disebabkan oleh perbuatan maksiat tersebut, keduanya telah dikeluarkan dari syurga serta dilucutkan dari keduanya pakaian yang mana Allah SWT telah tutup (aurat dan aib) mereka dengannya, sehingga tersingkaplah aurat mereka. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 153)

Syaitan adalah merupakan musuh nombor satu kepada orang-orang beriman. Mereka akan sedaya upaya berusaha bagi menyesatkan anak-anak Adam dengan mendekatkan mereka segala jenis maksiat. Bahkan juga, menghasut dan menjadikan perbuatan maksiat tersebut indah (di hadapan mata manusia).

Adakah syaitan dan jin boleh melihat aurat kita?

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, firman Allah SWT :

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya :Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”

(Surah Al-‘Araf : 27)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya syaitan itu serta keturunan dan bangsanya dapat melihat kamu, sedangkan kamu tidak boleh melihat mereka. Oleh itu, jaga-jaga dan berhati-hatilah dengan mereka itu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan syaitan-syaitan itu penolong (pembela) bagi orang-orang kafir yang tidak mengesakan Allah dan tidak membenarkan rasul-rasulNya serta tidak mengamalkan petunjukNya (yang telah dibawa oleh rasul-rasulNya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 153)

Oleh itu, berdasarkan kepada keumuman ayat tersebut, menunjukkan bahawa syaitan dan jin boleh melihat kita sekalipun kita tidak boleh melihat mereka. Ertinya mereka boleh melihat kita dalam semua keadaan, sama ada kita sedang memakai pakaian atau menanggalkannya. Begitu juga, ketika kita sedang menunaikan hajat di dalam tandas, sedang mandi, makan  dan lain-lain.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

سِتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ، وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا وَضَعُوا ثِيَابَهُمْ أَنْ يَقُولُوا : بِسْمِ اللَّهِ

Maksudnya : "Penghalang (hijab) antara pandangan mata jin dan aurat bani Adam ketika membuka pakaian ialah membaca bismillah (dengan nama Allah)" [HR al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Ausat (2504)]

Begitu juga, terdapat riwayat lain daripada Ali bin Abi Talib yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

سِتْرُ مَا بَيْنَ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا دَخَلَ الْكَنِيفَ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ

Maksudnya : “Penghalang (hijab) antara pandangan mata jin dan aurat bani Adam, ketika masuk ke kanif (tempat buang air), ialah membaca bismillah (dengan nama Allah).” [HR Ibn Majah (297)] Dan diriwayatkan juga oleh Imam al-Tirmizi (606) dengan sedikit perbezaan.

Cara menghalang aurat daripada dilihat oleh jin dan syaitan

Bagi menghalang aurat daripada dilihat oleh jin dan syaitan, Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita beberapa perkara. Antaranya ialah sentiasa mengiringi setiap tindakkan dan perbuatan kita dengan doa dan basmalah. Perkara ini dapat dilihat melalui hadis-hadis yang telah kami nyatakan sebelum ini.

Al-Mubarakfuri telah menukilkan pendapat Al-Munawi yang menyatakan sebab perlunya membaca basmalah kerana nama Allah SWT itu ibarat segel (kunci) bagi anak Adam yang mana jin dan syaitan tidak akan mampu untuk membukanya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/184)

Syeikh Sa'id bin Ali Wahf al-Qahtani ada menyebutkan bahawa bacaan basmalah ketika mahu masuk ke dalam tandas, atau ketika hendak menanggalkan pakaian atau menyelaknya bagi menunaikan hajat di dalam tandas adalah menepati syariat sebagaimana di dalam riwayat Ali RA. Hikmahnya adalah memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya syaitan dan jin tidak melihat aurat anak-anak Adam ketika menunaikan hajat atau menanggalkan pakaian atau seumpamanya. (Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarhi Husni al-Muslim, hlm. 103) Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa sanad hadis Ali RA tidak kuat. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/503) Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi menegaskan bahawa boleh beramal dengan hadis dhaif (sebagaimana riwayat Ali RA) di dalam bab fadhail (fadilat-fadilat). (Lihat al-Azkar, hlm. 68)

Keduanya, sebagai seorang Muslim dan Muslimah, kita hendaklah sedaya upaya mengelakkan diri daripada mendedahkan aurat tanpa keperluan sekalipun kita bersendirian. Dinukilkan di dalam kitab Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (24/176) :

“Seperti mana wajib untuk menutup aurat daripada pandangan manusia, maka wajib juga menutup aurat ke atas seseorang yang bersendirian, yakni ketika berada di tempat yang sunyi daripada pandangan manusia. Para ulama yang berpendapat dengan hukum wajib ini adalah ulama mazhab Hanafi mengikut pendapat yang sahih, ulama Syafiiyyah dan Hanabilah. Manakala berkata ulama mazhab Maliki : “Sunat hukumnya menutup aurat sendiri ketika bersunyian, menutup ini adalah dituntut sebagai sikap malu kepada Allah Taala dan para malaikatNya.” Mereka yang berpendapat wajib pula berkata : “Sesungguhnya diwajibkan menutup aurat (walaupun ketika bersendirian) itu berdasarkan arahan untuk menutup aurat itu bersifat mutlak, dan juga kerana Allah Taala itu lebih layak seseorang itu malu terhadapNya, seperti hadis Bahz bin Hakim daripada ayahnya, daripada atuknya, berkata : Aku bertanya : “Wahai Utusan Allah! Aurat kami ini siapa yang boleh lihat dan siapa yang perlu kami awasi?” Sabda Rasulullah SAW : “Peliharalah aurat kamu, melainkan daripada isterimu atau hamba sahayamu.” Sahabat itu bertanya lagi : “Jika lelaki ketika bersama dengan lelaki?” Baginda menjawab : “Jika engkau mampu agar tidak dilihat aurat oleh seorang pun, maka hendaklah engkau lakukan.” Sahabat itu bertanya lagi : “Jika seorang lelaki itu bersendirian?” Sabda baginda : “Maka Allah lebih berhak untuk seseorang itu malu terhadapNya.” Justeru menutup aurat ketika bersendirian itu adalah dituntut melainkan jika terdapat hajat, seperti mandi, menyejukkan badan dan seumpamanya.”

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Syaitan dan jin boleh melihat kita sekalipun kita tidak boleh melihat mereka. Ertinya mereka boleh melihat kita dalam semua keadaan, sama ada kita sedang memakai pakaian atau menanggalkannya, ketika sedang menunaikan hajat di dalam tandas, mandi, makan  dan lain-lain. 
  • Bacaan doa atau zikir yang boleh kita amalkan, ketika ingin menanggalkan pakaian atau masuk ke dalam tandas bagi menunaikan hajat atau mandi atau seumpamanya, agar aurat kita terpelihara daripada pandangan mata jin dan syaitan ialah dengan membaca ‘Bismillah’ (dengan nama Allah).
  • Selain itu, mulakan terlebih dahulu setiap aktiviti atau apa-apa sahaja perkara dengan basmalah sekalipun bukan kerana mahu masuk tandas atau menanggalkan pakaian kerana sabda Nabi SAW :

كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ

Maksudnya : “Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan menyebut nama Allah (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.” [HR Ahmad (8712)]

  • Setiap orang Islam harus ingat mereka adalah merupakan hamba kepada Allah SWT dalam setiap keadaan. Allah SWT sentiasa mengawasi mereka dan hanya kepadaNya sahajalah mereka memohon pertolongan. Inilah antara bukti kesempurnaan syariat agama ini, yang merangkumi adab-adab yang sepatutnya setiap orang Islam mempelajarinya dan menjaganya (beramal dengannya), merangkumi setiap aktiviti siang malam.
  • Di sana terdapat doa-doa lain yang boleh di amalkan dalam kehidupan seharian, yang boleh menjadi pendinding atau penghalang daripada pandangan mata jin dan syaitan terhadap aurat kita serta perbuatan jahat mereka. Untuk itu, kami sarankan kepada sidang pembaca sekalian agar merujuk kepada kitab himpunan doa seperti Hisnul Muslim atau Perisai Muslim yang telah banyak diterjemahkan.

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan doa-doa yang diajar oleh Nabi SAW serta sunnahnya. Ameen.