Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-408 :HUKUM NIKAH MENGGUNAKAN WALI HAKIM WALAUPUN ADA WALI NASAB

IRSYAD FATWA 408

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Saya mempunyai kakak ipar dan baru berkahwin dengan lelaki lain baru-baru ini dengan menggunakan wali hakim. Dia baru memberitahu tentang perkahwinannya kepada keluarga kami. Dia tinggal di Kuala Lumpur dan berkahwin di Kuala Lumpur. Wali aqrab (bapanya) tinggal di Pulau Pinang, tetapi wali ab’ad (suami saya) yang memenuhi kriteria wali tinggal tidak lebih 15km dari kakak ipar saya.

Persoalan saya, adakah sah perkahwinan ini jika wali aqrab masih hidup dan sihat berada di Pulau Pinang dan wali ab’ad memenuhi syarat tinggal berdekatan dengan wanita itu?

JAWAPAN

Muqaddimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kewujudan wali adalah wajib semasa aqad nikah dan ia merupakan salah satu daripada rukun aqad nikah. Perkahwinan seorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diaqadkan oleh walinya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ، وَلَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا

Maksudnya: “Seorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirirnya sendiri.”

Riwayat al-Daraqutni (3/227) Ibn Majah (1882) dan rijalnya thiqah

Merujuk kitab al-Fiqh al-Manhaji [4/62], apabila seorang perempuan mengahwinkan dirinya sendiri tanpa wali, perkahwinan adalah batal dan kedua-duanya wajib dipisahkan. Ini adalah pendapat majoriti fuqaha’ kecuali mazhab Hanafi. [Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 9/6698]

Ini berdasarkan hadis daripada Aisyah RA, RAsulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ مَوَالِيهَا، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَالْمَهْرُ لَهَا بِمَا أَصَابَ مِنْهَا، فَإِنْ تَشَاجَرُوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ

Maksudnya: “Mana-mana perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, perkahwinan tersebut adalah batal.” Baginda mengulanginya sebanyak tida kali. “Apabila disetubuhi oleh pasangannya, dia berhak menerima mas kahwin bagi menghalalkan farajnya. Jika berlaku perbalahan tentang wali, maka sultan ialah wali kepada mereka yang tidak berwali.”

Riwayat Abu Daud (2083)

Kami simpulkan beberapa sebab yang mengharuskan untuk berwalikan hakim yang dirujuk dari kitab al-Fiqh al-Manhaji dan beberapa kitab yang lain:

  • Keengganan wali dalam pernikahan

Jika wali enggan walaupun wali merupakan bapanya sendiri, perkahwinan tersebut diwalikan oleh sultan. Hal ini kerana mengahwinkan perempuan dengan yang sekufu adalah tanggungjawab wali. Jika mereka enggan menunaikan tanggungjawab, maka hakimlah yang perlu melaksanakannya.

Menurut Imam al-Nawawi:

فإن فقد المعتق وعصبته زوج السلطان. وكذا يزوج إذا عضل القريب والمعتق وإنما يحصل العضل إذا دعت بالغة عاقلة إلى كفء وامتنع

Maksudnya: Sekiranya ketiadaan tuan (pembebas hamba) atau asobah (wali keturunan), sultan yang akan mengahwinkan. Begitu juga sultan akan mengahwinkan sekiranya wali yang dekat dan pembebas enggan mengahwinkan, keengganan berlaku bilamana perempuan yang baligh dan berakal ingin berkahwinan dengan yang sekufu dan wali melarang.

[Lihat: Minhaj al-Tolibin hal. 207]

Namun jika perempuan ingin berkahwin dengan seorang yang tidak sekufu dengannya, maka wali boleh menghalangnya dengan enggan mengahwinkannya dengan lelaki tersebut. Ini kerana wali mempunyai hak dalam memilih pasangan yang sekufu. [Lihat: Mughni al-Muhtaj 4/253]

  • Ketiadaan wali nasab

Apabila wali nasab tiada, maka hak perwalian berpindah kepada qadhi, kerana dia dilantik untuk melaksanakan kepentingan orang Islam.

Susunan atau tertib wali perempuan yang sah mengikut Hukum Syarak adalah seperti berikut:

  • Bapa Kandung.
  • Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
  • Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
  • Adik Beradik Lelaki Sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Wali Hakim.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/61)

  • Wali aqrab (yang terhampir) tidak cukup syarat-syarat menjadi wali dan ketiadaan wali ab’ad

Seorang wali yang mempunyai hak untuk mengahwinkan perlu memenuhi syarat-syarat wali iaitu Islam, seorang yang adil, baligh, berakal, tiada penyakit yang mencacatkan fikiran, tidak terhalang dari menguruskan hartanya kerana boros (السفه) dan bukan dalam keadaan ihram haji atau umrah.

  • Wali aqrab berada di tempat yang jaraknya lebih dua marhalah atau wali dalam keadaan berihram haji atau umrah

Berkata Imam Abi Ishak al-Syirazi:

إن غاب الولي إلى مسافة تقصر فيها الصلاة زوجها السلطان ولم يكن لمن بعده من الأولياء أن يزوج لأن ولاية الغائب باقية ولهذا لو زوجها في مكانه صح العقد وإنما تعذر من جهته فقام السلطان مقامه

Maksudnya: Sekiranya tidak ada wali (berada) pada jarak yang membolehkan untuk solat qasar (dua marhalah), maka sultan yang mengahwinkan perempuan itu. Dan tidak boleh wali yang setereusnya (wali ab’ad) mengahwinkan kerana hak perwalian wali yang tiada (berada jauh dua marhalah) masih kekal. Oleh itu, sekiranya wali mengahwinkan perempuan itu dengan menggantikan tempat wali, maka sah aqad tersebut. Hal ini kerna ada keuzuran daripada wali maka sultan mengambil tempatnya (menjadi wali).

[Lihat: al-Muhazzab 2/429]

Begitu juga jika wali dalam keadaan ihram, maka hakim akan mengambil tempatnya untuk mengahwinkan perempuan tersebut kerana hak wali masih kekal kepada wali aqrab dan tidak berpindah kepada wali yang seterusnya.

Imam al-Muti’ie menyatakan bahawa sekiranya seorang perempuan mempunyai dua orang wali, maka perwalian diberikan kepada yang lebih aqrab (hampir) seperti dalam pewarisan, dan jika dikahwinkan oleh wali yang seterusnya, maka perkahwinan tersebut tidak sah. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 16/162]

Namun, jika wali aqrab berada kurang dua marhalah, maka hakim tidak boleh melaksanakan perkahwinan itu kecuali dengan izin wali. Ini kerana jarak perjalanan yang singkat dan wali perlu dirujuk sama ada hadir sendiri atau mewakilkannya. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 4/63-70]

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie. Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.

Begitu juga perkahwinan yang dilakukan di luar negara Malaysia seperti kahwin lari di selatan Thailand. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:

1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah.

2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah.

3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin di atas alasan syarak di tempat dia bermustautin.

4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim,

Penutup

Tuntasnya, tidak sah aqad nikah tanpa wali, dan seorang perempuan tidak boleh mengahwinkan dirinya atau perempuan yang lain. Perkahwinan yang dilakukan di dalam kawasan di mana wali aqrab dari segi nasab seperti bapa atau datuk kepada perempuan bermastautin hendaklah dilakukan dengan izin daripadanya.

Namun, jika perempuan tersebut keluar daripada kawasan tersebut sejauh dua marhalah, hak perwalian tidak berpindah kepada wali seterusnya, maka perkahwinan tersebut sah dengan berwalikan hakim yang diiktiraf di kawasan tersebut walaupun tanpa mendapatkan persetujuan wali.

Walaubagaimanapun, kami menasihatkan kepada setiap pasangan yang ingin berkahwin untuk menghormati dan mendahulukan wali aqrab yang sedia ada. Ini juga untuk menjaga keharmonian dalam hubungan kekeluargaan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas dan sahih dalam memahami syariat Islam. Wallahua’lam.