Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-410: NAFKAH IBUBAPA: TANGGUNGJAWAB ANAK LELAKI ATAU ANAK PEREMPUAN?

NAFKAH_IBU_BAPA_-_TGGJWB_ANAK.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah nafkah ibubapa terletak di bawah tanggungjawab anak lelaki atau anak perempuan?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menurut istilah, nafaqah bermaksud semua keperluan asas manusia, seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal. Ia dinamakan nafaqah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan untuk tujuan keperluan asas tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/101)

Pada asalnya, para ulama’ menyebut bahawa furu’ (seperti anak-anak) wajib memberi nafaqah kepada usul, iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas. Antara dalilnya adalah firman Allah SWT:

وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

(Surah Luqman: 15)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.

(Surah al-Isra’: 23)

Dalam kedua-dua ayat ini, perintah bergaul dengan baik dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa oleh anak-anak tidak dapat dilaksanakan kecuali mereka mengambil tanggungjawab memberi nafaqah kepada mereka berdua ketika diperlukan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/110)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:

إِنَّ مِنْ أَطْيَبِ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ وقَالَ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْتَ وَمَالُكَ لِوَالِدِكَ إِنَّ أَوْلاَدَكُمْ مِنْ أَطْيَبِ كَسْبِكُمْ فَكُلُوا مِنْ كَسْبِ أَوْلاَدِكُمْ

Maksudnya:Sesungguhnya sebaik-baik harta yang dimakan oleh seorang lelaki ialah harta yang diperolehi daripada hasil usahanya sendiri. Begitu juga anaknya adalah daripada hasil usahanya sendiri. Baginda bersabda lagi: “Dirimu dan hartamu adalah milik kepunyaan bapamu. Anak-anakmu adalah sebaik-baik hasil usahamu. Oleh itu, makanlah hasil usaha anak-anakmu.

Riwayat Abu Daud (3528) dan al-Tirmizi (1358)

Ibn al-Munzir telah menyebut kesepakatan ulama’ tentang kewajiban anak-anak memberi nafaqah kepada ibubapa yang fakir, jelas beliau: “Telah sepakat kesemua ulama (ijma’ ulama) bahawa nafkah dua ibu bapa yang fakir dan tiada mata pencarian dan harta, adalah wajib dari harta anak.” (Lihat al-Isyraf ‘ala Mazahib al-‘Ulama’, 5/167)

 

Orang yang Sepatutnya Memberi Nafaqah

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji, di mana dinyatakan: Jika kedua-dua ibu bapa fakir dan mempunyai furu’ (anak-anak) yang setaraf (dari sudut kerabat) dalam kalangan mereka, kesemua furu’ itu mesti memberi nafaqah kepada ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana mereka mempunyai sebab wajib nafaqah. Bahagian nafaqah yang perlu dikeluarkan oleh perempuan adalah setengah bahagian lelaki, sebagaimana pembahagian pusaka. Sekiranya mereka berbeza dari sudut hampirnya – seperti anak dan cucu – maka nafaqah wajib kepada furu’ yang lebih hampir, sama ada mereka berhak mewarisi atau sebaliknya, sama ada lelaki atau perempuan. Hal ini demikian kerana hubungan kerabat yang hampir adalah lebih utama untuk diambil kira. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/110)

Manakala, di dalam kitab Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir dari mazhab Maliki pula dinyatakan: “Dan dikeluarkan nafkah untuk dua orang tua dari harta anak-anak yang berkemampuan. Apakah berdasarkan al-Ru’us, seorang lelaki seperti seorang perempuan (sama rata) sekalipun kemampuan mereka berbeza, atau berdasarkan perwarisan, seorang lelaki bersamaan dua orang perempuan, atau berdasarkan kemampuan, terdapat berbagai pandangan ulama. Yang lebih rajih ialah yang akhir (berdasarkan kemampuan).” (Lihat Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir, 10/372)

Ibn Qudamah pula menyatakan: Sekiranya berhimpun anak lelaki dan anak perempuan, maka nafaqah antara keduanya adalah dibahagikan kepada tiga di mana lelaki hendaklah membayar dua pertiga dan perempuan hanya satu pertiga seperti mirath (hukum pewarisan). Abu Hanifah berkata: Nafaqah (yang wajib dikeluarkan) ke atas keduanya adalah sama kerana kedua-duanya sama dari sudut hubungan kerabat. Imam al-Syafi’e berkata: Nafaqah (wajib) ke atas anak lelaki kerana berdasarkan (hukum) ‘asobah. Bagi kami (mazhab Hanbali) adalah berdasarkan firman Allah SWT: “وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ” (dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada).) Maka hendaklah disusun nafaqah berdasarkan hak pewarisan. (Lihat al-Mughni, 9/268)

 

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa memberi nafkah kepada ibubapa yang fakir dan tiada mata pencarian adalah wajib bagi anak-anak tidak kira sama ada lelaki atau perempuan. Semua anak-anak wajib bantu-membantu dalam memberi nafkah terhadap ibubapa yang tidak berkemampuan, sementelahan lagi bagi anak-anak yang memiliki harta lebih dari keperluan.

Sewajarnya bagi setiap anak berazam di dalam diri untuk berbakti kepada ibubapa mereka seupaya mungkin lantaran ibubapa itulah yang telah membesarkan mereka sejak kecil.

Untuk kefahaman lebih jelas, kami juga telah menjawab isu nafkah ini dalam beberapa siri artikel sebelum ini, antaranya:

  • Al-Kafi #1428: Antara Nafkah Isteri dan Ibu Bapa: Mana Perlu Diutamakan?[1]
  • Al-Kafi #1229: Bagaimana Mencontohi Rasulullah SAW dalam Memberi Nafkah kepada Isteri?[2]
  • Al-Kafi #1082: Bayar Hutang atau Bayar Nafkah[3]

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman yang tepat dalam melaksanakan titah perintah-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

 Nota Hujung:

[1] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3804-al-kafi-1428-antara-nafkah-isteri-dan-ibu-mana-perlu-diutamakan

[2] https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3326-al-kafi-1229-bagaimana-mencontohi-rasulullah-saw-dalam-memberi-nafkah-kepada-isteri

[3] https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3084-al-kafi-1082-bayar-hutang-atau-bayar-nafkah