Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE - 414 : HUKUM RAWATAN BEKAM BERLAINAN JANTINA

hijam

 

SOALAN :

Apakah hukum rawatan  bekam berlainan jantina?

JAWAPAN :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berbekam  menurut kalam fuqaha ialah  mengeluarkan darah  daripada bahagian tengkuk dengan  cara  hisap (menyedut) menggunakan alat bekam.  Sementara,  al-Zurqani menyatakan bahawa berbekam tidak khusus pada bahagian tengkuk bahkan seluruh badan [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (17:14 )].  Berbekam merupakan sebaik-baik perubatan, Nabi SAW bersabda:

إنَّ أفضلَ ما تداويتُم بِه الحجامةَ أو إنَّ من أمثلِ دوائِكمُ الحجامةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah berbekam”.

Hadith Riwayat al-Tirmizi, (1199)

Informasi lanjut berkaitan hukum bekam  sila rujuk artikel kami pada ruangan

 Irsyad al-Hadith siri ke 36 : Berbekam

 Irsyad al Fatwa khas Ramadan # : Hukum berbekam dan menderma darah ketika berpuasa

Berdasarkan soalan yang diajukan, kami akan membahagikan kepada dua perbahasan iaitu batasan aurat dalam rawatan bekam serta keutamaan sesama jantina dalam rawatan bekam.

Batasan aurat  dalam rawatan bekam

Islam sangat menitikberatkan penjagaan aurat  ketikat  melibatkan pergaulan  sesama manusia dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT :

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.

(Surah al-Nur: 30)

Ayat di atas adalah merupakan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka [Lihat: al-Tafsir al-Muyassar, (353)]

Nabi SAW bersabda :

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya : “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, dan seorang perempuan melihat aurat perempuan lain” 

Hadith Riwayat  Muslim (338)

Oleh itu, tidak dibenarkan wanita  melihat kepada aurat  lelaki ajnabi mahupun sebaliknya.   Namun, terdapat  pengecualian melihat aurat berlainan  jantina apabila terdapat keperluan dan ḍarurah (keperluan mendesak). Antara bentuk    pengecualian tersebut  ialah rawatan  bekam mahupun dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan ḥaraj (kesukaran) sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh Syarak. [Lihat : al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/50)]

Bekam merupakan wasilah  rawatan  untuk menyembuhkan penyakit. Alasan rawatan membolehkan pesakit membuka bahagian auratnya. Titik kawasan bekam pada anggota  badan  yang termasuk bahagian aurat bagi pesakit. Perawat boleh melihat kepada bahagian-bahagian badan selagi ada keperluan. Ini berdasarkan hadis Jabir RA:

أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحِجَامَةِ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجُمَهَا قَالَ حَسِبْتُ أَنَّهُ قَالَ كَانَ أَخَاهَا مِنَ الرَّضَاعَةِ، أَوْ غُلَامًا لَمْ يَحْتَلِمْ

Maksudnya: “Bahawa Umm Salamah (isteri Nabi SAW) meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi meminta Abu Taibah untuk menjalankan rawatan bekam ke atas Umm Salamah.”

Berkata Jabir: “Aku kira bahawa Abu Taibah itu adalah saudara susuan Umm Salamah atau budak kecil yang belum baligh.”

Hadith riwayat Muslim (2206)

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (4/50); Fiqh al-Manhaji (1/126-127)

Tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan keharusan  perawat melihat aurat pesakitnya ketika merawat. Walaubagaimana, syarat-syarat yang perlu dipatuhi semasa  melakukan rawatan bekam seperti berikut :

  • Juru bekam melihat aurat pesakit sekadar yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada ituContohnya, sekiranya merawat pesakit cukup dengan hanya mendedahkan bahagian yang ingin dibekam sahaja, maka tidak boleh membuka selain kawasan bekam,
  • Juru bekam hanya boleh memegang anggota aurat secara berlapik atau sekiranya terdapat keperluan mendesak dibenarkan tanpa berlapik.

Keutamaan sesama jantina dalam rawatan bekam

Realiti   pusat-pusat  rawatan bekam  di Malaysia menyediakan perkhidmatan  bagi  kaum wanita  dan lelaki.  Tidak menjadi satu kesalahan sekiranya pusat-pusat bekam menyediakan perkhidmatan bekam terbuka bagi lelaki dan perempuan  dengan syarat pusat tersebut terdapat juru bekam daripada kalangan lelaki dan wanita bagi tujuan membekam pesakit sesama jantina.  Oleh itu, pusat   rawatan  bekam sewajarnya memberi latihan mahupun kursus  menjadi juru bekam terbuka kepada  lelaki dan  wanita. Selain itu, terdapat juga pusat bekam khusus muslimah sahaja mahupun pusat bekam khusus lelaki sahaja. Hal tersebut jelas masyarakat mempunyai pilihan untuk memilih perawat sesama jantina. Setelah melihat realiti tersebut, pesakit mahupun masyarakat yang ingin mendapatkan rawatan berkam belum sampai ke peringkat mendesak (darurah)  untuk memilih juru bekam berlainan jantina bahkan mempunyai  pilihan juru bekam sesama jantina di mana-mana pusat bekam.

Walaubagaimanapun, rawatan bekam berlainan jantina hanya pada situasi mendesak (darurahdisebabkan tiada pilihan. Berkata Syeikh Mulla Ali al-Qari Rahimahullah bagi syarah hadis ini:

قد صرح علماؤنا بأن غير المحرم أيضا عند الضرورة يحجم ويقصد ويختن وقال الطيبي - رحمه الله - : يجوز للأجنبي النظر إلى جميع بدنها للضرورة وللمعالجة

Maksudnya: “Telah dijelaskan oleh para ulama kita bahawa sekalipun bukan mahram boleh untuk menjalankan rawatan bekam, fasdu, dan khitan.” Berkata al-Taibi Rahimahullah: “Dibenarkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatkan pada sekalian tubuh wanita bagi tujuan darurat dan rawatan.”  [Rujuk Marqah al-Mafatih  (3103)]

Rawatan bekam berlainan jantina   dengan syarat  ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (dipercayai) dan tidak boleh berdua-duaan antara pesakit dan perawat.  Walaubagaimanapun, selagi  terdapat plihan, maka keutamaan  melaksanakan rawatan bekam mestilah diutamakan perawat  dan pesakit yang sesama jantina. Hal  tersebut lebih selamat daripada fitnah serta dapat menutup pintu kerosakan (sadd al-zara’i). 

Penutup

Tuntasnya, kami berpendapat bahawa rawatan bekam berlainan jantina adalah tidak dibenarkan  selagi mempunyai pilihan selain  berhujah berdasarkan  sadd al-zarai’  (menutup pintu kerosakan).  Bahkan, realiti  pusat-pusat  rawatan di Malaysia mempunyai banyak pilihan dengan menyediakan pusat rawatan bekam muslimah mahupun  pusat rawatan bekam khusus lelaki sahaja. Hal tersebut membolehkan  rawatan bekam  sesama jantina.  Namun, rawatan bekam  berlainan jantina  hanya dibolehkan  pada situasi  keperluan yang mendesak ketika tiada pilihan  disamping mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Akhir kalam, rawatan bekam  merupakan sunnah dan  amatlah  wajar jalan menuju melaksanakan bekam  dengan cara yang diredhai Allah SWT iaitu patuh syariah.  Bahkan,  juru bekam  yang berautoriti tersebut akan mendapat pahala daripada Allah SWT kerana beramal dengan apa yang dinasihatkan dan  diajar oleh Nabi SAW.  

Semoga kita dapat  melaksanakan sunnah-sunnah yang diajarkan oleh Rasullullah SAW.