Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-418: HUKUM MENUNAIKAN SOLAT BAGI ORANG KURANG UPAYA

irsyad418

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai golongan yang tidak sah solatnya.  Anak saya merupakan seorang OKU. Adakah sah solatnya atau dia dikecualikan dari solat? Mohon pencerahan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan kZZnikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

﴿وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ﴾

Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

Surah al-Baqarah (43)

Dan firman Allah S.W.T lagi:

﴿إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا﴾

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

Surah al-Nisa’ (103)

Kedua-dua ayat di atas merupakan antara dalil-dalil pensyariatan solat ke atas setiap orang Islam di atas muka bumi ini. Menunaikan solat merupakan kewajipan dan juga fardhu ‘ain ke atas semua orang Islam yang mukallaf iaitu individu muslim yang baligh berakal dan suci bersih. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 3/3].

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, mengenai kewajipan solat bagi mereka yang kurang upaya. Di sini, perlulah dipastikan terlebih dahulu jenis kekurangan upaya yang dialami oleh seseorang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya 2008, "OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat".

Secara amnya, terdapat tujuh kategori OKU yang direkodkan di bawah JKM iaitu:

  • Kurang Upaya Pendengaran
  • Kurang Upaya Penglihatan
  • Kurang Upaya Pertuturan
  • Kurang Upaya Fizikal
  • Kurang Upaya Pembelajaran
  • Kurang Upaya Mental
  • Kurang Upaya Pelbagai

Berdasarkan kategori-kategori berikut, dapat pula kita pecahkan pembahagian OKU kepada dua bahagian atau kategori yang lebih umum iaitu Kurang Upaya Fizikal dan Kurang Upaya Mental. Maka, dari sini, dapatlah kita menyatakan hukum kewajipan solat bagi kedua-dua kategori ini.

Kurang Upaya Fizikal

Pada dasarnya, solat menjadi suatu kewajipan ke atas semua umat Islam tanpa mengira jantina, bangsa mahupun pangkat. Ini termasuk juga ke atas mereka yang tidak sihat ataupun mengalami kekurangan upaya dari segi fizikal. Namun, Islam adalah agama yang sejahtera dan mudah, maka diberikan rukhsah (keringanan) ke atas mereka yang sakit, atau kekurangan upaya fizikal atau tidak mampu bagi menunaikan solat berdasarkan nas-nas al-Quran dan juga hadith-hadith Nabi S.A.W.  

Begitu juga Syarak tidak menurunkan syariat melainkan mengikut kadar kemampuan manusia dan manusia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadat sesuai dengan kemampuan dirinya. Allah SWT berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

MaksudnyaOleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.

Surah al-Taghabun (16)

Ayat ini merupakan ayat nasakh bagi ayat ke-102 surah Ali ‘Imran yang dahulunya syadid dalam melakukan ibadah dan juga taat kepada perintah Allah, maka ayat ini diturunkan sebagai keringanan kepada umat Islam supaya beribadah kepadaNya sesuai dengan kemampuan mereka. [Lihat: Tafsir al-Baghawi; 8/144]. Imam al-Mawardi di dalam tafsirnya, mengatakan bahawa pada ayat ini terdapat tiga sudut makna dan salah satunya ialah kesungguhan kamu (menurut Abu al-‘Aliah). [Lihat: Tafsir al-Mawardi; 6/26]. Maka, difahami di sini bahawa sekadar kemampuan kamu mestilah diikuti dengan perbuatan usaha ke atasnya.

Begitu banyak contoh dari hadith Nabi S.A.W dalam perihal solat ini ke atas mereka yang tidak mampu. Contohnya ialah sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.

Riwayat al-Bukhari (1066)

Ini merupakan salah satu contoh bagi mereka yang kekurangan keupayaan fizikal. Kami ada menghuraikan lebih panjang bab ini dalam artikel kami yang bertajuk TAHQIQ AL-MASAIL SIRI KE-2: PENJELASAN BERKAITAN SOLAT SECARA DUDUK DI ATAS KERUSI.

Kurang Upaya Mental

Dalam hal ini, seseorang yang memiliki kekurangan keupayaan dari segi mental berbeza dengan mereka yang cacat atau lemah fizikal. Mereka yang kekurangan keupayaan mental ini ada dibahaskan para ulama’ di dalam satu bab khas dalam ilmu Usul Fiqh iaitu al-Ahliyyah (الأهلية) yakni orang yang berkelayakan. Menurut Dr Abdul Karim Zaidan, al-Ahliyyah (الأهلية) bermaksud kelayakan seseorang untuk menerima segala hak dan tanggungjawab yang disyariatkan kepadanya.

Dalam hal Ahliyyah ini, perkara yang perlu diambil perhatian ialah Ahliyyatu al-Wujub (أهلية الوجوب) dan juga Ahliyyatu al-Adaa’ (أهلية الآداء). Yang dimaksudkan dengan Ahliyyatu al-Wujub (أهلية الوجوب) ialah kelayakan seseorang untuk diwajibkan hak-hak yang disyariatkan kepadanya dan juga ke atasnya. Keahlian ini sabit dengan zimmah. Zimmah dari segi bahasa ialah perjanjian dan dari sudut istilah pula ialah satu sifat yang ada nilai syarak yang menjadikan seseorang itu berkelayakan dari segi hak dan tanggungjawab. Dan asas bagi ahliyyah ini ialah nyawa. Ia bermakna jika seorang manusia itu bernyawa, maka dia menanggung zimmah (tanggungjawab), maka layaklah dia untuk menerima ahliyyatu al-wujub.

Kemudian, Ahliyyatu al-Adaa’ (أهلية الآداء) pula ialah kelayakan seseorang manusia untuk dituntut bertanggungjawab /untuk melakukan perkara yang disyariatkan ke atasnya. Oleh itu, setiap percakapan dan perbuatannya diambil kira dan mempunyai kesan di sisi syarak. Dan asas bagi ahliyyah ini pula ialah al-Tamyiiz (mampu membezakan) dan bukannya nyawa.

[Lihat: al-Wajiz fi Usul al-Fiqh; 85-86]

Setiap ahliyyah ini adakalanya tidak sempurna (naqisah) dan adakalanya sempurna (kamilah). Kesemua ini bergantung kepada perkembangan yang dilalui oleh manusia dalam kehidupan bermula daripada kejadiannya sehingga sempurna akalnya kemudian meninggal dunia. Maka, berbalik kepada persoalan mengenai kurang upaya mental, kita perlu melihat lebih dalam pada topik ‘Awaridh al-Ahliyyah (عوارض الأهلية) iaitu halangan-halangan bagi keahlian seseorang.

Pesakit-pesakit OKU Mental ini termasuk dalam kategori ‘Awaridh Samawiyyah (عوارض سماوية) iaitu halangan-halangan yang datangnya daripada Allah atau ketentuan syarak (semula jadi) dan bukan disebabkan perbuatan manusia.

Antara halangan tersebut adalah seperti berikut:

  • Gila, hilang akal atau rosak akal sama ada gila secara berterusan atau gila sementara.
  • ‘Atah عته (nyanyuk) iaitu gangguan akal, hilang keupayaan menilai dan menimbang sesuatu (sukar untuk memahami sesuatu).
  • Pelupa
  • Tidur dan pengsan
  • Marad al-maut (مرض الموت), sakit yang tiada harapan sembuh dan kesudahannya adalah mati.

[Lihat: al-Wajiz fi Usul al-Fiqh; 92-102]

Maka, apabila dilihat dalam perbahasan ini, kebanyakan kes kekurangan upaya dari segi mental (oku mental) boleh dikira termasuk dalam jenis ‘atah. ‘Atah ialah gangguan akal, sejenis penyakit yang membuatkan pemiliknya (tuan badan) kurang keupayaan untuk memahami, pertuturannya tidak jelas (bercampur baur) dan hilang keupayaan untuk menilai atau menimbang sesuatu itu baik atau buruk.

Ia terbahagi kepada dua jenis:

Pertama: ‘atah yang langsung tidak boleh memahami dan menilai baik dan buruk. Orang nyanyuk seperti ini sama hukumnya dengan orang yang gila iaitu hanya hilang ahliyyatu al-ada’ tetapi ahliyyatu al-wujub masih ada kerana masih bernyawa.

Kedua: ‘atah yang masih boleh memahami dan boleh menilai baik atau buruk. Namun tidaklah penilaiannya itu sama seperti orang yang berakal. Maka ‘atah dari jenis ini menyebabkan orang yang sudah baligh seolah-olah seorang bayi yang mumayyiz dari sudut hukum. Maka, dia mempunyai ahliyyatu al-ada’ tetapi naqisah yakni tidak sama dengan orang yang sempurna akalnya (ahliyyatu al-ada’ nya adalah kamilah iaitu sempurna). Manakala ahliyyah al-wujub sempurna kerana masih bernyawa.

[Lihat: al-Wajiz fi Usul al-Fiqh; hlm. 95]

Maka dalam hal ibadat bagi jenis ini, Dr Abdul Karim Zaidan berkata:

وعلى هذا لا تجب عليه العبادات ولكن يصح منه أداؤها

Maksudnya: Maka dengan ini tidak diwajibkan ke atas mereka dalam hal ibadat namun sekiranya mereka melakukannya (ibadat) maka ia adalah sah.

Penutup

Kesimpulannya, bagi menjawab kepada persoalan yang diajukan, maka perlulah dipastikan terlebih dahulu tahap dan juga jenis kekurangan upaya (oku) bagi seseorang itu. Jika seseorang itu kekurangan upaya dari sudut fizikal, maka kewajipan solat tetap dikenakan ke atasnya, namun mereka diberi keringanan berdasarkan ayat al-Quran dan juga hadith Nabi Muhammad S.A.W. Manakala jika seseorang itu kekurangan upaya dari segi mental, maka perlulah diteliti dengan lebih mendalam tahap kekurangan upaya mentalnya, jika tahap keupayaan mental mereka serupa seperti ‘atah jenis yang kedua, justeru mereka semua ini tidaklah diwajibkan untuk menunaikan ibadah namun sekiranya mereka melaksanakannya maka ia adalah sah di sisi Islam. Adapun, jika ‘atah jenis yang pertama iaitu masalah mental mereka hampir atau menyerupai orang hilang akal, maka solat yang mereka tunaikan tidak sah. 

Begitulah indahnya Islam, Allah S.W.T memberikan keringanan dan panduan bagi setiap hambaNya dalam beribadat kepadaNya. Firman Allah S.W.T:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, memberikan keringanan dan keikhlasan dalam diri kita untuk beribadah. Semoga Allah S.W.T menerima segala amal perbuatan kita dan memberkatinya.

Wallahua’lam.