Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE – 419: ADAKAH TONIK RAMBUT MENGHALANG AIR UNTUK SAMPAI KE ANGGOTA WUDUK?

tonik

Soalan

Assalamualaikum. Saya menggunakan tonik rambut yang mengandungi bahan kimia seperti alkohol (ethanol) dan minyak yang tidak larut dalam air (insoluble in water). Bahan kimia lain seperti citral, pirictone olamine (slightly soluble in water) juga digunakan, namun tidak membentuk lapisan seperti cat yang dapat menghalang air pada kulit kepala dan rambut.

Adakah penggunaan bahan kimia ini dapat menghalang air daripada sampai ke kulit kepala ketika mengambil wuduk. Adakah sah wudhuk saya?

Jawapan

 Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW..

Definisi Tonik Rambut

Tonik rambut ialah sejenis produk penjagaan dan penggayaan rambut yang digunakan untuk menampakkan rambut lebih bersinar dalam masa sama tampak rapi dalam jangka masa panjang. Antara contoh individu masyhur yang menggunakan tonik rambut ialah penyanyi dan pelakon terkenal Amerika Syarikat era 90-an, Elvis Presley.[1]

Secara umumnya, tonik rambut mengandungi beberapa bahan utama; antaranya air tulen, minyak sayuran seperti minyak zaitun, ethanol dan bahan-bahan alkohol yang lain beserta beberapa haruman seperti rosemary turut digunakan (Lihat: United States Patent No. US4508707, 1985). Kebiasaanya datang dalam bentuk produk berasaskan cecair (liquid-based) kecuali Pomade (jenis tonik rambut yang dibuat dalam bentuk gel atau separuh solid)[2]. Kesemua bahan ini digunakan bertujuan agar tatanan gaya rambut bertahan lebih lama bersama pakej haruman.

 Perbahasan Hukum

Melihat kepada situasi di atas, terdapat dua hukum utama yang perlu dibahaskan:

  • Hukum menggunakan bahan kosmetik yang mempunyai bahan alkohol.
  • Hukum tonik rambut: Adakah menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk?

Pertamanya, menggunakan alkohol sebagai bahan dandanan hukumnya dibolehkan. Namun, kami menyarankan agar mencari bahan lain yang bebas alkohol kerana perbuatan tersebut lebih dekat dengan sifat wara’. Bagi keterangan lebih lanjut berkenaan isu penggunaan alkohol, boleh rujuk artikel kami Irsyad al-Fatwa siri ke-185: Menggunakan Alcohol Swab dan Minyak Wangi Beralkohol.

Berkenaan hukum kedua, umat Islam perlu memahami terlebih dahulu bahawa wuduk merupakan syarat sah solat. Wuduk yang tidak sempurna akan menyebabkan solat tidak sah. Allah berfirman di dalam al-Quran,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, kedua belah tangan kamu meliputi siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

Surah al-Maidah (6)

Ayat di atas menunjukkan rukun-rukun wuduk yang wajib diikuti antaranya menyapu sebahagian daripada kepala. Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian bagi mendapatkan sapuan yang sah dan sempurna ialah memastikan tiada sebarang objek atau bahan yang boleh menghalang air untuk sampai ke bahagian kepala.

Di dalam kitab al-Majmu’ (1/395) Imam al-Nawawi dan Muqaddimah al-Ḥaḍramiyyah (1/96) syarahan Syeikh Saʿīd al-Ḥadrami ada menyebut bahagian kepala merupakan mana-mana kawasan yang bermula daripada bahagian ubun-ubun (bahagian awal kepala yang paling hampir dengan dahi) dan pelipis (bahagian muka di antara dahi dan telinga) seterusnya menuju ke kedua-dua belah belakang telinga (termasuk ruang yang tidak berbulu) dan berakhir di oksiput (hujung belakang berhampiran tengkuk) meliputi rambut dan kulit kepala. Apa-apa yang terkeluar daripada kawasan di atas, tidak dianggap kawasan kepala dan tidak sah wuduk.

Nabi Muhammad juga memberi isyarat berkaitan kawasan kepala melalui hadis yang diriwayatkan 'Abdullah Bin Zaid,

أنَّ رَجُلًا، قالَ لِعَبْدِ اللَّهِ بنِ زَيْدٍ، وهو جَدُّ عَمْرِو بنِ يَحْيى أتَسْتَطِيعُ أنْ تُرِيَنِي، كيفَ كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ يَتَوَضَّأُ؟ فَقالَ عبدُ اللَّهِ بنُ زَيْدٍ: نَعَمْ، فَدَعا بماءٍ، فأفْرَغَ على يَدَيْهِ فَغَسَلَ مَرَّتَيْنِ، ثُمَّ مَضْمَضَ واسْتَنْثَرَ ثَلاثًا، ثُمَّ غَسَلَ وجْهَهُ ثَلاثًا، ثُمَّ غَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ إلى المِرْفَقَيْنِ، ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَهُ بيَدَيْهِ، فأقْبَلَ بهِما وأَدْبَرَ، بَدَأَ بمُقَدَّمِ رَأْسِهِ حتّى ذَهَبَ بهِما إلى قَفاهُ، ثُمَّ رَدَّهُما إلى المَكانِ الذي بَدَأَ منه، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ.

Maksudnya: Seorang pemuda bertanya kepada ʿAbdullah Bin Zaid, bolehkah engkau tunjukkan kepadaku bagaimanakah cara Nabi Muhammad berwuduk? ʿAbdullah Bin Zaid menjawab: Boleh. Lalu beliau meminta dibawakan sebekas air. Dimulakan dengan membasuh kedua-dua belah tangan sebanyak dua kali. Seterusnya, berkumuh dan istintsar (memasukkan air ke dalam hidung dan menghembuskannya keluar) sebanyak tiga kali. Seterusnya, membasuh muka tiga kali. Seterusnya, membasuh kedua-dua belah tangan sehingga ke siku. Lalu menyapu kepala dengan kedua-dua belah tangan bermula dari hadapan kemudian bergerak ke belakang. Bermula daripada bahagian ubun kepala kemudian digerakkan ke belakang kepala, lalu digerakkan kembali ke hadapan. Terakhir sekali membasuh kedua-dua belah kakinya.

Riwayat al-Bukhari (185)

Penghalang yang timbul dan jelas kelihatan oleh pancaindera wajib dibersihkan terlebih dahulu sebelum wuduk diambil. Adapun kesan-kesan yang terhasil daripada dakwat pen, warna inai atau seumpama dengannya tidaklah dianggap sebagai penghalang air untuk sampai.

Imam al-Nawawi berkata lagi:

 “Jika terdapat di atas anggota wuduk bahan-bahan seperti lilin, tepung, inai dan seumpama dengannya yang boleh menghalang air ke anggota, maka tidak sah taharahnya (wuduk), tidak kira sama ada banyak ataupun sedikit. Namun, jika hanya kesannya sahaja berbaki tanpa jirimnya (ʿain) seperti warna inai atau kesan lemak cair yang berbaki di atas tangan atau anggota wuduk lain yang mana tidak menghalang air untuk sampai dan mengalir di atas kulit anggota, dalam masa sama tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan). Maka sah taharahnya(wuduk).”

(Lihat: al-Majmu’, 1/467)

Bertitik tolak daripada panduan yang ditetapkan, perlu dilihat produk tonik rambut yang digunakan:

  • Jika jenis berminyak dan tak berminyak (oily & non-oily hair tonic), maka ia tidak dianggap sebagai penghalang air untuk sampai ke anggota kepala.
  • Jika jenis gel atau separuh solid seperti Pomade sehingga membentuk lapisan keras yang menghalang air untuk sampai, maka perlu dihilangkan halangan dan dibasuh secara sempurna terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk. Lapisan yang terbentuk merupakan penghalang kepada air untuk sampai ke anggota wuduk sehingga menyebabkan wuduk menjadi tidak sempurna syaratnya.

Antara beberapa alternatif lain yang boleh dicadangkan bagi menghilangkan was-was selain basuhan rambut ialah:

Pertama, memasukkan dan menyapu jari jemari yang basah ke celahan rambut sehingga mencecah bahagian dalam rambut atau cecah ke kulit kepala.

Kedua, Jika tonik rambut seperti Pomade disapukan di bahagian depan dan atas kepala sahaja, maka sapuan air wuduk boleh dilakukan pada bahagian tepi dan belakang kepala. Maknanya tidak perlu dibersihkan terlebih dahulu bahagian yang disapukan Pomade, hanya perlu sapu air wuduk pada bahagian lain yang tidak disapukan Pomade.

Ini merupakan alternatif yang dicadangkan Syeikh Shalabi yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Dar al-Ifta’ Mesir dalam fatwanya[3]. Alasannya, berdasarkan mazhab Syafie, syarat untuk melepasi had minima sapuan kepala ialah air mengenai sekurang-kurangnya tiga helai rambut selagimana sapuan dilakukan di kawasan kepala. Syaratnya mesti di kawasan kepala bukan di luar kawasan kepala seperti rambut yang mencecah sehingga bahagian bahu.

(Lihat: al-Mughni, 1/93)

Penutup

Kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan situasi masalah dan penghujahan para ulama’:

  • Produk tonik berasaskan cecair (oily & non-oily) tidak menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk. Maka, wuduknya sah.
  • Produk tonik berasaskan gel atau separuh solid seperti Pomade perlu dilihat:
  • Jika ia membentuk lapisan keras pada rambut sehingga menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk, maka wuduknya tidak sah.
  • Jika lapisan keras itu dibasuh dan dihilangkan terlebih dahulu, maka wuduknya sah. Terutamanya sebelum hendak mandi wajib, ini lebih utama untuk dihilangkan terlebih dahulu segala perkara yang boleh menghalang air.
  • Jika Pomade disapu pada sebahagian kepala sahaja, maka sah wuduknya jika sapuan wuduk dilakukan pada sebahagian yang lain.

Semoga Allah permudahkan segala urusan kita di dunia.

Wallahuaʿlam.

 

[1] https://yourbluprints.com/hair-tonic-what-is-it-and-how-do-you-use-it/

[2] https://sharpologist.com/2014/06/hair-tonic.html dan https://en.wiktionary.org/wiki/hair_tonic

[3] Lihat: https://www.alwatanvoice.com/arabic/news/2019/04/21/1237087.html#ixzz67DnK9FCG Telah Diakses pada: 6/12/2019