Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 427 : SOLAT ISYA’ SECARA JAMAK TAQDIM, SAMPAI RUMAH MASUK WAKTU ISYA’ : PERLUKAH SOLAT LAGI ?

IF427

 

Soalan :

Assalamu’alaikum tuan Mufti, saya ada sedikit kekeliruan. Sekiranya saya sebagai orang yang bermusafir menunaikan solat isya’ secara jamak taqdim dalam waktu solat maghrib dan saya sampai ke rumah saya semula sebelum azan isya’. Kemudian azan Isya’ berkumandang perlukah saya solat Isya’ lagi ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Mukadimah

Isu jamak dan qasar solat seringkali menimbulkan permasalahan dalam kalangan masyarakat awam. Kekurangan ilmu berkenaan hal ini merupakan salah satu faktor seseorang mengabaikan perlaksanaan keduanya ini yang merupakan suatu bentuk keringanan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada sekalian hamba-Nya. Justeru, dalam ruangan kali ini kami akan menjelaskan isu ini secara terperinci khususnya terhadap persoalan yang dikemukakan.

Definisi Jamak

Jamak dari sudut bahasa adalah kalimah yang berlawanan dengan memisahkan. Manakala yang dimaksudkan dengan jamak solat di sisi para fuqaha adalah melaksanakan solat zohor bersama solat asar dan juga solat maghrib bersama solat isyak sama ada secara taqdim ataupun ta’khir.

Definisi Qasar

Dari sudut bahasa qasar bererti meringkas, memotong, atau mengurangkan sesuatu. Manakala dari sudut istilah qasar adalah perbuatan meringkaskan solat empat rakaat seperti zohor, asar, dan isya’ kepada dua rakaat.

Sebab-Sebab Yang Membolehkan Jamak

Ada beberapa sebab yang membolehkan seseorang itu jamak (menghimpunkan) antara dua solat seperti yang disebutkan oleh para fuqaha’ di dalam kitab-kitab mereka. Antaranya kami nyatakan beberapa contohnya secara ringkas :

  • Jamak ketika hujan.

Para ulama Syafi’eyyah berpendapat akan keharusan menunaikan solat jamak secara taqdim ketika hujan, salji, atau kesejukan yang melampau. Ini dalam keadaan yang menyebabkan pakaian menjadi basah serta jalan-jalan menjadi lecak. Keharusan ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata :

صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ سَفَرٍ

Maksudnya : Rasulullah S.A.W pernah mengerjakan solat zohor dan asar secara bersama (jamak) dan juga solat maghrib dan isyak secara bersama tanpa disebabkan takut dan tidak pula disebabkan permusafiran.

Riwayat Muslim (705)

Imam Al-Khatib Al-Syarbini dalam kitab beliau Al-Iqna’ (1/533) menukilkan pendapat Imam Al-Syafi’e terhadap hadis di atas ini yang menyebut :

أَرَى ذَلِكَ بِعُذْرِ الْمَطَرِ

Maksudnya : Aku berpendapat yang demikian itu disebabkan keuzuran hujan.

Namun perlu dijelaskan bahawa hujan yang dimaksudkan di sini adalah hujan yang menatijahkan masyaqqah (kesukaran dan kesulitan) kepada seseorang untuk hadir ke masjid pada dua waktu solat. Demikian akan menyebabkan pakaian menjadi lembap, tidak sempat kering untuk digunakan pada waktu solat yang berikutnya. Demikian juga laluan ke masjid dipenuhi lecak yang menyulitkan perjalanan keluar menuju solat. Sekiranya ternafi keadaan-keadaan ini, maka hilanglah keperluan untuk solat jamak ketika hujan.

Perlu juga dijelaskan bahawa jamak taqdim ketika hujan ini disyaratkan padanya untuk dilakukan secara berjemaah iaitu di masjid. Jika seseorang melakukannya secara bersendirian, maka tidak sah jamak tersebut.

  • Jamak ketika safar (permusafiran).

Oleh kerana safar itu disifatkan oleh Rasulullah S.A.W sebagai bahagian dari azab maka ia juga termasuk dalam kategori keuzuran yang membolehkan seseorang untuk melakukan solat jamak. Ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muadz bin Jabal R.A beliau berkata :

 خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ فَكَانَ يُصَلِّي الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا

Maksudnya : Kami keluar bersama Rasulullah S.A.W pada peperangan Tabuk dan baginda menunaikan solat zohor dan juga asar secara bersama (jamak) begitu juga solat maghrib dan isya’ secara bersama.

Riwayat Muslim (706)

  • Jamak ketika sakit.

Sebahagian ulama Al-Syafi’eyyah membenarkan jamak ketika sakit. Imam Al-Nawawi juga menyebutkan bahawa ini satu pendapat yang kuat. Demikian juga pendapat Al-Qadhi Husain dari kalangan Al-Syafi’eyyah yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk jamak disebabkan uzur sakit sama ada secara taqdim atau secara ta’khir.

Dalil yang digunakan bagi mengharuskan jamak ketika sakit adalah juga merujuk kepada hadis Ibn Abbas yang di atas. Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis tersebut berkata : ‘’Hadis ini diletakkan ke atas maksud jamak disebabkan uzur sakit atau seumpamanya dari keuzuran-keuzuruan yang sama maknanya dengan sakit’’. Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (5/218).

Merujuk kepada tiga sebab di atas, hanya satu bahagian sahaja yang dibolehkan untuk seseorang solat secara qasar iaitu ketika permusafiran. Manakala dua sebab lagi iaitu jamak ketika hujan dan juga ketika sakit hanya boleh dilakukan secara tamam (bilangan rakaat yang penuh) sahaja. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya : Dan apabila kamu bermusafir di atas muka bumi maka tidak ada dosa ke atas kamu untuk kamu mengqasarkan solat..

Surah Al-Nisa’ (101)

Demikian juga disebutkan bahawa dua sebab jamak iaitu ketika permusafiran dan ketika sakit boleh dilakukan secara taqdim dan juga secara ta’khir. Manakala jamak ketika hujan hanya boleh dilakukan secara taqdim sahaja. Manakala secara mudahnya, ketiga-tiga keuzuran yang kami nyatakan di atas membolehkan seseorang itu melakukan solat jamak taqdim.

Syarat-Syarat Jamak Taqdim

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, pertama sekali perlu kita nyatakan  bahawa jamak taqdim merujuk kepada perbuatan menghimpunkan dua solat fardhu dan ia dilakukan pada waktu solat yang pertama. Seperti menghimpunkan solat zohor dengan solat asar dan keduanya dilakukan dalam waktu solat zohor. Begitu juga menghimpunkan solat maghrib dengan solat Isya’ dan keduanya dilakukan dalam waktu solat maghrib. Berikut merupakan beberapa syarat jamak taqdim seperti yang disebutkan oleh ulama Al-Syafi’eyyah :

  • Mesti dimulakan dengan solat yang pertama.

Ini jelas kerana waktu didirikan solat jamak taqdim ini adalah pada waktu solat yang pertama. Oleh itu, menjadi syarat untuk dilakukan solat yang pertama dahulu kemudian diikuti dengan solat yang kedua. Sekiranya jamak taqdim antara zohor dan asar maka dilakukan solat zohor dahulu. Sekiranya ia antara maghrib dan isya’ maka dilakukan solat maghrib dahulu. Sebaliknya jika dilakukan asar mendahului zohor dan isya’ mendahului maghrib maka tidak sah jamak taqdim tersebut.

  • Mesti niat jamak pada waktu solat yang pertama.

Seseorang yang ingin melakukan jamak taqdim perlu berniat jamak terlebih dahulu pada solat yang pertama. Seperti dia melafazkan :

نَوَيتُ أُصَلِّي فرْضَ الظُّهرِ مَجْمُوعًا بِالعَصْر

Maksudnya : Aku berniat mendirikan solat fardhu zohor dijamakkan dengan solat fardhu asar.

  • Mesti muwalaat antara keduanya.

Muwalaat bermaksud tidak boleh untuk dipisahkan antara dua solat tersebut dengan tempoh yang lama. Sebahagian ulama menetapkan kadar lama tersebut adalah dengan tempoh dua rakaat solat. Justeru, seseorang yang ingin melakukan jamak zohor dan asar, sekiranya selepas zohor dia tidak segera menyambung solat asar, sebaliknya menunggu lama sehingga lebih dari kadar mendirikan solat dua rakaat, maka tidak sah jamak tersebut. Bahkan dia perlu melakukan solat asar tadi pada waktunya iaitu waktu asar.

  • Berterusannya uzur.

Sebahagian ulama Al-Syafi’eyyah menambah dengan perkataan ‘berterusannya uzur sempurnanya takbiratul ihram solat yang kedua. Iaitu dalam bahasa mudah, seseorang yang menunaikan jamak taqdim antara zohor dan asar, hendaklah berterusan dalam keadaan bermusafir ketika mana dia mengangkat takbiratul ihram untuk solat asar. Sekiranya sebaik sahaja dia selesai solat zohor, kemudian terputus keuzurannya iaitu dia sudah tidak berada dalam keadaan musafir, maka tidak sah jamak dalam keadaan ini.

Justeru, persoalan yang dikemukakan di atas sudah terjawab dengan syarat ini. Dan hal ini terpakai kepada semua keuzuran yang membolehkan seseorang solat secara jama’ taqdim. Sekiranya dia menunaikan solat zohor dan asar secara jamak taqdim disebabkan keuzuran hujan, maka apabila masuk sahaja waktu solat asar, tidak perlu lagi untuk dia mengulangi solat asar meskipun hujan telah berhenti dan begitulah keadaannya dengan solat maghrib dan isya’ yang berlaku secara jamak taqdim.

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa selama mana seseorang itu sudah melaksanakan solat Isya’ secara taqdim pada waktu maghrib dalam keadaan dia masih bermusafir maka dia telah menepati syarat sah solat jamak taqdim. Oleh itu, sekiranya dia pulang semula ke kawasannya dalam keadaan waktu solat Isya’ baru sahaja masuk, maka tidak perlu untuk dia melaksanakan solat Isya’ buat kali yang kedua. Kerana sudah sahnya solat Isya’ yang didirikan secara taqdim dalam keadaan dirinya musafir itu tadi.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.