Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-432 : HUKUM BEKERJA SEBAGAI BAKER DALAM KEDAI KEK MENGGUNAKAN GELATIN TIDAK HALAL

if432 compressed

HUKUM BEKERJA SEBAGAI BAKER DALAM KEDAI KEK MENGGUNAKAN GELATIN TIDAK HALAL

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya mendapat tawaran untuk bekerja sebagai baker @ pembakar roti di sebuah kedai pastri. Namun begitu saya dimaklumkan oleh pihak pastri bahawa gelatin yang mereka guna dalam pembuatan produk bersumberkan bahan yang tidak halal. Adakah diharuskan saya bekerja di sana sedangkan tugas saya hanyalah membuat produk seumpama kek dan produk-produk pastri, dan bukan bahagian pembekalan, dan mungkin hanya membekalkan kepada orang Islam?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kepada Junjungan Nabiﷺ, para isteri dan keluarga baginda ﷺ, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda ﷺ hingga ke Hari Akhirat.

 

Larangan bersubahat dalam perkara yang dilarang

Allah ﷻ berfirman dalam al-Quran

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Berkata Imam al-Tabari:

Jangan sebahagian daripada kalian membantu sebahagian yang lain dalam perkara dosa yakni meninggalkan apa yang Allah perintah agar melakukannya…dan jangan melampau batas terhadap apa yang Allah telah tetapkan untuk kalian pada hal agama, dan apa yang telah Dia fardhukan bagi diri-diri kalian dan selain kalian.”

Rujuk Jami` al-Bayan (9/491)

Oleh itu, kaedah fiqh menyebut:

الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: Menolong atas perlakuan maksiat ialah maksiat.”

Rujuk Ma`lamah Zayed (no.666); Ihya’ Ulumiddin (2/144) oleh al-Ghazali

Berdasarkan keterangan di atas, dapat kita fahami bahawa Islam bukan hanya menegah penganutnya pada melakukan perkara yang dilarang dalam Hukum Syarak, tetapi menegah juga penganutnya untuk membantu perlakuan yang dilarang, sekalipun jika ia dilakukan oleh orang lain, contohnya orang yang bukan Islam. Ini kerana apa yang diharamkan ke atas orang Islam diharamkan juga ke atas orang bukan Islam, sekalipun tidak dikenakan tindakan duniawi kepada mereka.

Berkata Imam Abu al-Hussein al-Imrani:

“Adapun orang kafir, jika dia itu kafir asli, maka tiada khilaf bahawa sesungguhnya dia itu mukhatab (bertanggungjawab/dikehendaki) untuk bertauhid (masuk Islam). Adakah dia juga mukhatab untuk melakukan perintah-perintah Syariat seperti solat, zakat, puasa dan haji? Di sana terdapat dua wajah (pendapat dalam kalangan Ashab). Pertamanya, majoriti Ashab kami mengatakan orang kafir itu mukhatab juga dengan perintah-perintah Syariat, berdasarkan  firman-Nya:

عَنِ الْمُجْرِمِينَ ﴿٤١﴾ مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ ﴿٤٢﴾ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ ﴿٤٣﴾ وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ ﴿٤٤﴾

Maksudnya: “(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin.”

(Surah al-Muddathhir: 42-44)

Firman-Nya:

وَوَيْلٌ لِّلْمُشْرِكِينَ ﴿٦﴾ الَّذِينَ لَا يُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُم بِالْآخِرَةِ هُمْ كَافِرُونَ ﴿٧

Maksudnya: “Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain), "Iaitu orang-orang yang tidak memberi zakat (untuk membersihkan jiwa dan hartabendanya) dan mereka pula kufur ingkar akan adanya hari akhirat".

(Surah Fussilat: 6-7)

Oleh sebab itu, mereka diseksa kerana meninggalkan perintah-perintah itu di akhirat, jika mereka mati dalam keadaan kufur. Tidak ada khilaf bahawa mereka tidak diseksa (diambil tindakan) di dunia akibat meninggalkannya. Tidak sah perintah-perintah itu jika dilaksanakan sebelum memeluk Islam.

Pendapat kedua pula menyatakan – sedangkan ini merupakan ikhtiyar Syeikh Abu Hamid – bahawa mereka tidak disuruh melakukannya, dan tidak berdosa kerana meninggalkannya, kerana kalau mereka mukhatab nescaya mereka perlu diambil tindakan di dunia kerana meninggalkannya, dan nescaya sahlah amalan tersebut mereka laksanakan, dan nescaya wajiblah mereka mengqadha’kannya.

Sebahagian orang pula berpendapat mereka hanya mukhatab dengan perkara-perkara larangan seperti wajib meninggalkan zina, bunuh, tetapi tidak mukhatab dengan perkara-perkara suruhan.”

Rujuk al-Bayan fi Madzhab al-Imam al-Syafie (2/9-10)

Berkata Imam Abu Ishak al-Syirazi yang menyebelahi pendapat pertama mengatakan:“Kalau orang-orang kafir itu tidak diperintahkan untuk solat nescaya mereka tidak dibalas dengan azab, dan kerana solah al-khitab (kualiti yang dikehendaki daripada perintah) kepada orang kafir itu sama dengan solah al-khitab orang Islam jua, maka sebagaimana masuknya orang Islam (dalam khitab perintah itu) maka mesti memasukkan sekali orang-orang kafir.”

Rujuk al-Luma` fi Usul al-Fiqh (hlm. 21)

Berkata Imam Abu Ma`ali al-Juwaini dalam Matan al-Waraqat (hlm. 14): Orang-orang kafir itu diperintahkan dengan cabang-cabang Syariat, dan tidak sah dilaksanakannya melainkan memeluk Islam dahulu.”

Maka pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafie ialah pendapat yang pertama. Berkata Syeikh Sulaiman al-Bujairomi dalam Hasyiah al-Bujairomi `ala al-Khatib (1/382):“Sesungguhnya orang-orang kafir itu diperintahkan untuk melaksanakan perkara-perkara furu’ (cabang) dalam Syariat mengikut pendapat yang muktamad.”

Justeru, tidak boleh seseorang Muslim menyediakan makanan yang haram sekalipun untuk orang bukan Islam. Berbalik kepada soalan di atas, adalah menjadi larangan dalam Islam untuk pihak yang bertanya menerima jawatan pembakar roti berkenaan, kerana pekerjaannya adalah untuk menyediakan makanan manusia daripada bahan-bahan yang diharamkan memakannya iaitu gelatin daripada sumber haiwan yang diyakini haram. Ini dikategorikan dalam bersubahat dalam perkara maksiat.

Tambahan lagi, jika pekerja Muslim ini mempamerkan imej Muslim seperti memakai tudung ketika bekerja maka akan memberi faham kepada orang ramai bahawa kedai berkenaan menyediakan makanan yang halal kerana disediakan oleh orang Islam. Jika ada orang Islam yang tertipu dengan hal tersebut lalu memakan makanan yang tidak halal, pekerja berkenaan juga berdosa kerana telah mengakibatkan seseorang memakan benda yang haram tanpa dia sedari. Wal`iyadzubillah.

 

Kesimpulan

Kami insaf kepada realiti bahawa isu penggunaan gelatin ini terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama Islam kontemporari. Sebahagian mereka berpendapat bahawa protein dalam bentuk gelatin telah berlaku proses istihalah (perubahan) di mana sifat-sifat haiwan yang diharamkan makan itu telah berubah secara sempurna kepada bahan-bahan yang dihalalkan makan secara umum seperti protein.  Justeru, sebahagian ulama kontemporari mengharuskan memakan produk yang berasaskan gelatin haiwan sekalipun daripada sumber yang haram kerana telah berlaku proses istihalah. Hal ini, sekalipun begitu, tidak dapat menafikan statusnya sekurang-kurangnya sebagai produk syubhat.

Dalam hal ini, kami mengikut standard halal ditetapkan oleh Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang tidak menerima gelatin daripada sumber yang tidak halal untuk dimasukkan dalam produk makanan yang dilabel sebagai halal. Langkah berhati-hati ini perlu supaya masyarakat tidak terjebak dalam ancaman yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA bahawa beliau mendengar Rasulullah ﷺ bersabda pada Hari Pembukaan Kota Makkah:

إِنَّ اَللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ اَلْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالْأَصْنَامِ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اَللَّهِ أَرَأَيْتَ شُحُومَ اَلْمَيْتَةِ فَإِنَّهُ تُطْلَى بِهَا اَلسُّفُنُ وَتُدْهَنُ بِهَا اَلْجُلُودُ وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا اَلنَّاسُ فَقَالَ  لَا هُوَ حَرَامٌ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم عِنْدَ ذَلِكَ قَاتَلَ اَللَّهُ اَلْيَهُودَ إِنَّ اَللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ عَلَيْهِمْ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ ثُمَّ بَاعُوهُ فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jualan arak, bangkai, babi dan berhala. Ada orang bertanya: Wahai Rasulullah, apa pendapat anda tentang lemak bangkai? Sesungguhnya ia dilumurkan pada perahu dan dicalitkan pada kulit-kulit dan orang ramai menggunakannya untuk nyalaan lampu di rumah? Rasulullah menjawab: “Tidak boleh, ia adalah haram. Kemudian Rasulullah bersabda: “Semoga Allah memerangi orang-orang Yahudi, sesungguhnya apabila Allah mengharamkan mereka dari lemak-lemak lalu mereka mencairkannya kemudian mereka menjualnya lalu memakan hasil jualannya.”

Riwayat al-Bukhari (2236) & Muslim (1581)

Semoga Allah ﷻ memudahkan kita untuk mendapatkan rezeki yang halal dan diberkati.