Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE - 439: AMALAN TAWAR-MENAWAR DALAM URUSAN JUAL BELI

IF439

SOALAN

Assalamualaikum Tuan Mufti. Persoalan saya adalah berkaitan dengan amalan tawar-menawar ketika berjual beli. Sebagai pelanggan, sudah pasti saya mahukan harga yang berpatutan dengan nilai barangan yang dibeli. Ataupun kalau boleh, kami sebagai pengguna mahukan harga yang murah serta barang yang berkualiti. Adakah dibolehkan perbuatan tersebut? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Amalan tawar-menawar harga sesuatu barang ketika berlakunya akad jual beli adalah satu perkara biasa dalam kehidupan seharian kita semua. Perbuatan ini juga ditunjukkan sendiri oleh Nabi SAW dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Jabir Bin ‘Abdullah R.Anhuma bahawa Nabi SAW telah bersabda:

أَنَّهُ كَانَ يَسِيرُ عَلَى جَمَلٍ لَهُ قَدْ أَعْيَا فَأَرَادَ أَنْ يُسَيِّبَهُ قَالَ فَلَحِقَنِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَدَعَا لِي وَضَرَبَهُ فَسَارَ سَيْرًا لَمْ يَسِرْ مِثْلَهُ قَالَ ‏"‏ بِعْنِيهِ بِوُقِيَّةٍ ‏"‏ ‏.‏ قُلْتُ لاَ ‏.‏ ثُمَّ قَالَ ‏"‏ بِعْنِيهِ ‏"‏ ‏.‏ فَبِعْتُهُ بِوُقِيَّةٍ وَاسْتَثْنَيْتُ عَلَيْهِ حُمْلاَنَهُ إِلَى أَهْلِي فَلَمَّا بَلَغْتُ أَتَيْتُهُ بِالْجَمَلِ فَنَقَدَنِي ثَمَنَهُ ثُمَّ رَجَعْتُ فَأَرْسَلَ فِي أَثَرِي فَقَالَ ‏"‏ أَتُرَانِي مَاكَسْتُكَ لآخُذَ جَمَلَكَ خُذْ جَمَلَكَ وَدَرَاهِمَكَ فَهُوَ لَكَ

Maksudnya: “Beliau berjalan dengan untanya yang sudah lemah dan dia ingin meninggalkan. Dia berkata: “Aku bertemu Nabi SAW, lalu baginda berdoa untukku dan memukul untaku. Kemudian, unta itu berjalan dengan cepat tidak seperti biasanya”. Lalu Nabi SAW bersabda: “Juallah (untamu) dengan satu uqiyyah”. Aku menjawab: “Tidak”. Baginda mengatakan lagi: “Juallah (untamu) kepadaku”. Akhirnya aku menjual kepada Baginda dengan satu uqiyyah. Aku mensyaratkan agar unta itu membawaku singga pulang kepada keluargaku. Setelah tiba, aku membawa unta kepada Baginda, kemudian Baginda membayar harganya. Kemudian aku pulang, lalu Baginda berjalan di belakangku dan mengatakan: “Apakah engkau mengira aku menawarmu untuk mengambil untamu? Ambil untamu dan wang untukmu.”

Riwayat al-Bukhari (2718) dan Muslim (715)

Menurut Imam al-Son‘ani menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa tidak mengapa untuk meminta seseorang itu menjual barang miliknya dan menawarkan harga untuknya. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 2/7)

Menurut Imam al-Nawawi hadith ini menunjukkan bahawa tidak mengapa untuk meminta seseorang untuk menjual barangnya sekalipun pemiliknya tidak menawarkan untuk menjualnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/31)

Berdasarkan kepada hadith di atas, perbuatan tawar-menawar harga ketika berjual beli adalah harus dan dibolehkan oleh syarak selagimana ianya masih di atas landasan yang dibenarkan. Perbuatan tersebut termasuk dalam urusan muamalah umum yang dinyatakan seperti kaedah fiqh berikut:

الأصل في المعاملات الإباحة

Maksudnya: “Hukum asal dalam mumalat ialah harus”.

Perbuatan tawar-menawar ini adalah satu aspek penting dalam jual beli pada masa sekarang. Semestinya setiap individu menginginkan satu harga yang berpatutan dalam memenuhi keperluan dan kehendaknya. Kemahiran dalam mendapatkan harga yang berpatutan dengan kualiti barangan menunjukkan bahawa dia seorang yang tahu berkaitan harga pasaran dan menjauhkannya daripada ditipu atau diperdaya oleh peniaga-peniaga. Antara penanda yang menunjukkan seorang anak itu telah dewasa ialah apabila dia mampu memilih dalam berjual beli serta mampu untuk menawarnya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/215)

Sekalipun amalan ini harus dan dibolehkan, aspek reda meredai di antara dua orang yang berakad perlu dilihat dan diteliti dengan sebaiknya bagi mengelakkan sebarang kecurangan atau kezaliman daripada menimpa sesuatu pihak yang berakad. Ini bermakna, tawar-menawar ini diharuskan selagimana terdapat reda meredai antara mereka. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya“Sesungguhnya jual beli itu dengan cara sukarela.”

Riwayat Ibn Majah (2185)
Syeikh Syu‘aib al-Arnauth menghukumkan sanad hadith ini adalah kuat (Qowiy).

Jual beli yang harus dan menepati syarak akan memberi kesan dan implikasi iaitu bertukarnya pemilikan dengan syarat berlakunya keredaan antara penjual dan pembeli. Ianya akan dikira sebagai muktabar. (Lihat Masabih al-Tanwir ‘ala Sahih al-Jami’ al-Saghir, 1/425)

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

لاَ يَتَفَرَّقَنَّ عَنْ بَيْعٍ إِلاَّ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya: “Tidak berpisah jual beli melainkan suka sama suka.”

Riwayat al-Tirmizi (1248)
Imam al-Tarmizi menghukumkan sanad hadith ini sebagai ‘gharib’.

Pembeli tidak boleh melakukan tawar-menawar kepada penjual sehingga dilihat memaksa penjual menurunkan harga yang boleh merugikannya. Begitu juga kepada peniaga tidak boleh meletakkan suatu harga yang terlalu tinggi dan berkeras dengan harga yang diberikan bagi mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Dalam satu hadith yang diriwyatakan oleh Jabir Bin ‘Abdullah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً سَمْحًا إِذَا بَاعَ، وَإِذَا اشْتَرَى، وَإِذَا اقْتَضَى

Maksudnya: “Allah merahmati seseorang yang bertoleransi ketika menjual, ketika membeli dan ketika menuntut hutang.”

Riwayat al-Bukhari (2076)

Imam Ibn Battal menyebut bahawa hadith ini menjadi galakan untuk bertoleransi dan berbuat baik ketika bermuamalah, gunakan akhlak yang mulia dan terpuji serta jauhilah perbuatan yang menyusahkan ketika jual beli. Ini kerana ianya adalah penyebab datangnya berkat kedalamnya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 6/210)

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa amalan tawar-menawar dalam akad jual beli adalah harus dan dibolehkan di sisi syarak. Perbuatan ini boleh dilihat sebagai kayu ukur kepada kecerdasan seseorang dalam mendapatkan barangan keperluan dan kehendaknya pada harga yang berpatutan dan munasabah. Adapun begitu, amalan tawar-menawar ini tidak boleh melangkaui syarat-syarat sah jual beli iaitu reda-meredai antara mereka yang berakad. Pembeli tidak boleh memaksa penjual untuk menjual pada harga yang merugikannya. Begitu juga penjual tidak boleh menganiaya pembeli dengan menjual pada harga yang menzalimi pembeli.

Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda serta fikiran kita semua dalam mengamalkan muamalah mengikut kerangka syariat Islam yang sebanar. Amin.