Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-442 : ADAKAH KITA DIGALAKKAN UNTUK MENJILAT BAKI MAKANAN YANG MELEKAT PADA SUDU SELEPAS MAKAN?

IF 442 jilat sudu

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu pertanyaan. Menurut sunnah apabila kita selesai makan, kita disarankan untuk menjilat jari-jari kita kerana kita tidak tahu di bahagian mana adanya keberkatan. Soalan saya, bagaimanakah sekiranya kita makan menggunakan sudu?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

(Surah al-Ahzab : 21)

Sesungguhnya pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Menjilat jari selepas makan

Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada umatnya adab-adab yang menjadi panduan buat mereka dalam aktivit seharian. Antaranya ialah menjilat jari jemari sesudah makan sebelum membasuhnya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إذا أكَلَ أحَدُكُمْ فَلْيَلْعَقْ أصابِعَهُ، فإنَّه لا يَدْرِي في أيَّتِهِنَّ البَرَكَةُ

Maksudnya : “Apabila salah seorang daripada kamu (telah selesai) makan, maka jilatlah jari jemarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu pada jari manakah yang mempunyai keberkatan.” Riwayat Muslim (2035)

Tujuannya adalah untuk mendapat keberkatan daripada makanan tersebut kerana kita tidak tahu pada bahagian manakah keberkatan tersebut ada. Boleh jadi keberkatan itu ada dalam makanan yang telah dimakan, atau ada pada sisa makanan yang terlekat di jari jemari atau pada sisa makanan yang terjatuh atau pada sisa makanan yang masih berbaki di dalam pinggan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/206 dan Tuhfah al-Ahwazi, 5/424) Baginda SAW sangat menitik beratkan soal ini sehinggakan makanan yang terjatuh pun, jangan dibiarkan. Akan tetapi, bersihkannya dan makan. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya :

 أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَكَلَ طَعَامًا لَعِقَ أَصَابِعَهُ الثَّلَاثَ، قَالَ: وَقَالَ: إِذَا سَقَطَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيُمِطْ عَنْهَا الْأَذَى وَلْيَأْكُلْهَا، وَلَا يَدَعْهَا لِلشَّيْطَانِ، وَأَمَرَنَا أَنْ نَسْلُتَ الْقَصْعَةَ، قَالَ: فَإِنَّكُمْ لَا تَدْرُونَ فِي أَيِّ طَعَامِكُمُ الْبَرَكَةُ

Maksudnya : Rasulullah SAW apabila selesai makan, Baginda akan menjilat ketiga jarinya sambil bersabda: “Apabila suapan salah seorang daripada kalian terjatuh, hendaklah dia bersihkan kotoran (atau habuk) padanya dan kemudian memakannya. Jangan biarkan makanan itu untuk syaitan (dimakannya)”. Juga, Baginda berpesan kepada kami agar membersihkan sisa makanan yang berada di atas pinggan (habiskan). Baginda bersabda : “Kerana sesungguhnya kalian tidak tahu pada bahagian mana daripada makanan kamu yang mengandungi keberkatan." Riwayat Muslim (2034)

Sunat untuk kita makan suapan makanan yang terjatuh selepas dibersihkan atau dihilangkan kotoran dan habuk padanya. Akan tetapi sekiranya makanan tersebut tertumpah atau terjatuh ke tempat yang najis, sekiranya boleh hendaklah dia bersihkannya daripada najis dengan cara membasuhnya. Namun, sekiranya makanan tersebut tidak dapat lagi dibersihkan, hendaklah dia memberi makanan tersebut kepada haiwan dan jangan sesekali tinggalkannya untuk syaitan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/425)

Begitu juga, Baginda SAW berpesan sekiranya kita tidak mahu menjilat jari jemari selepas makan, biarkan jari jemari kita dijilat oleh orang lain seperti isteri, anak, hamba dan lain-lain yang tidak rasa geli atau kotor dengan perbuatan tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/206) Ini adalah sebagaimana riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إذا أكَلَ أحَدُكُمْ فلا يَمْسَحْ يَدَهُ حتّى يَلْعَقَها أوْ يُلْعِقَها.

Maksudnya : “Apabila salah seorang daripada kamu makan, janganlah dia menyapu tangannya melainkan setelah dia menjilatnya atau dijilat (tangan tersebut)”. Riwayat al-Bukhari (5456) dan Muslim (2031)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa keberkatan makanan bermaksud makanan yang mengenyangkan, terhindar daripada perkara yang memudaratkan (penyakit) dan mendapat kekuatan untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT dan sebagainya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/206 dan Tuhfah al-Ahwazi, 5/424)

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A bahawa :

أنَّ النبيَّ ﷺ أَمَرَ بلَعْقِ الأصابِعِ والصَّحْفَةِ، وَقالَ: إنَّكُمْ لا تَدْرُونَ في أَيِّهِ البَرَكَةُ

Maksudnya : Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan untuk menjilat jari-jemari dan pinggan makanan. Baginda bersabda : “Kalian tidak mengetahui pada bahagian mana makanan yang mengandungi keberkatan”. Riwayat Muslim (2033)

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi SAW mengingatkan kita untuk menjilat sisa makanan yang melekat pada jari-jemari dan pinggan kerana pada masa dahulu, kita menggunakan jari-jemari untuk menyuap makanan dan pinggan (bekas) untuk meletak makanan. Oleh itu, hukum ini juga terpakai kepada apa sahaja alat moden dan semasa yang digunakan untuk menyuap makanan ke mulut seperti sudu, garpu, chopsticks dan lain-lain, serta apa sahaja bekas yang digunakan untuk meletakkan makanan seperti mangkuk, dulang dan yang seumpamanya.

Kesimpulannya

Tuntasnya, berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang itu makan dengan menggunakan sudu dan garpu, digalakkan untuk dia menjilat sudu dan garpu tersebut sehingga habis makanan yang melekat padanya. Mudah-mudahan dia memperoleh berkat yang kemungkinan terdapat pada baki makanan yang melekat tersebut.
  • Nabi SAW sangat menekan soal ini, agar kita tidak terlepas daripada mendapat keberkatan yang ada di dalam makanan. Akan tetapi, kita tidak tahu pada bahagian manakah keberkatan tersebut berada. Boleh jadi keberkatan itu ada dalam makanan yang telah dimakan, atau ada pada sisa makanan yang terlekat di jari jemari atau pada sisa makanan yang terjatuh atau pada sisa makanan yang masih berbaki di dalam pinggan. Oleh itu, Baginda SAW mengingatkan kita agar menjilat baki makanan yang melekat pada jari-jemari dan pinggan. Juga mengutip makanan yang terjatuh dan memakannya semula. Dan jangan sesekali biarkannya untuk syaitan.
  • Di dalam hadis ini juga terdapatnya isyarat bahawa agama Islam sangat mengambil berat soal makanan dan mengingatkan penganutnya agar tidak membazir.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk mengamalkan syariatNya serta sunnah NabiNya.