Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-459 : MENGAPAKAH SIPUT BABI DAN ESCARGOT TIDAK BOLEH DIMAKAN SEDANGKAN SIPUT SEDUT BOLEH DIMAKAN?

IF 459 siput

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Kenapa siput babi atau escargot tidak boleh dimakan sedangkan siput sedut boleh dimakan? Harap Datuk Mufti dapat memberikan pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Maidah : 96)

Ayat di atas menunjukkan bahawa telah dihalalkan untuk orang Islam haiwan buruan laut iaitu apa yang diburu daripadanya ketika masih hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu yang telah mati agar kamu dapat mengambil manfaat daripadanya (sebagai makanan). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 124)

Siput babi dan siput sedut

Sebelum kita membahaskan perkara ini lebih lanjut, kita harus bezakan dahulu antara kedua-dua jenis haiwan ini.

Siput babi atau nama saintifiknya Achatina fulica merupakan sejenis siput daratan. Ia adalah haiwan moluska dari kelas gastropoda (berjalan dengan perut). Berbeza dengan siput akuatik yang menggunakan insang, siput babi yang menggunakan paru paru untuk bernafas (pulmonata). Ia mempunyai cengkerang yang agak besar, padat dan berbentuk piramid dengan spira.[1]

Manakala siput sedut pula atau nama saintifiknya Cerithidea obtuse adalah merupakan salah satu spesies siput air dari kelas gastropoda  yang termasuk dalam famili Potamididae. Siput sedut adalah antara haiwan yang hidup di kawasan hutan bakau (mangrove ecosystem).[2]

Oleh itu, secara ringkasnya kita boleh katakan bahawa perbezaan yang paling ketara antara kedua-dua siput tersebut ialah siput babi adalah merupakan hidupan darat manakala siput sedut adalah merupakan siput akuatik (hidupan air).

Hidupan laut (air)

Haiwan laut (air) ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalamnya, apabila ia keluar daripada air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150)

Secara umumnya, hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu :

  • Kategori Pertama : Spesies ikan sebagaimana yang telah diketahui rupa dan bentuknya.
  • Kategori Kedua : Hidupan air yang tidak menyerupai bentuk ikan. Para ulama telah berselisih (khilaf) dalam kategori ini. Adakah ia boleh dimakan tanpa disembelih atau perlu disembelih atau haram dimakan?

Hukum makan siput sedut

Sepertimana yang telah kita nyatakan sebelum ini siput terbahagi kepada dua iaitu siput darat dan siput akuatik. Siput akuatik adalah halal dimakan tanpa perlu disembelih kerana termasuk di dalam umum firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 96. Juga sabda Rasulullah SAW :

هو الطهور ماؤه الحل ميتته

Maksudnya : “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”

Riwayat Abu Daud (83), al-Tirmizi (69) dan al-Nasaie (59)

Imam al-Nawawi juga telah menyatakan bahawa pendapat yang paling sahih menurut mazhab Syafie bagi mana-mana hidupan air yang tidak menyerupai ikan ialah semuanya halal dimakan tanpa perlu disembelih. Ia adalah sebagaimana yang telah dinaskan oleh Imam Syafie di dalam al-Umm dan Mukhtasar al-Muzani. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/31-32 dan al-Mu’tamad di al-Fiqh al-Syafie, 2/548)

Adapun bagi siput daratan seperti siput babi atau Escargot, para ulama telah berbeza pandangan mengenainya kepada dua pendapat.

Pendapat yang pertama siput darat haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori serangga atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti lalat, semut, cicak dan seumpamanya. Pengharamannya adalah disebabkan oleh ia dianggap jijik (kotor) dan tabiat semulajadi manusia menjauhinya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2793) Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa :

مَذْهَبُنَا أَنَّهَا حَرَامٌ وَبِهِ قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ وَدَاوُد

Maksudnya : “Menurut mazhab kami (Syafie) ia adalah haram (dimakan). Ini juga adalah merupakan pendapat Abu Hanifah, Ahmad dan Daud.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/16)

Pengharaman ini adalah selari sebagaimana firman Allah SWT :

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya : “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A`raf : 157)

Menurut al-Maraghi (الطَّيِّبَاتِ) ialah makanan yang dirasakan baik oleh perasaan manusia, bahkan yang berguna sebagai makanan yang berzat dan berkhasiat. Manakala perkataan (الْخَبَائِثَ) bermaksud melarang daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2420)

Begitu juga, Ibn Hazm al-Zahiri juga ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa tidak halal untuk makan siput daratan dan juga apa sahaja haiwan yang tergolong sebagai hasyarat (iaitu serangga atau haiwan kecil yang melata) seperti cicak, kumbang, semut, lebah, lalat dan lain-lain yang termasuk dalam kategorinya kerana haiwan-haiwan tersebut tidak boleh disembelih. Hal ini kerana sembelihan hanya berlaku pada leher atau dada (haiwan tersebut) sahaja. Adapun mana-mana haiwan yang tidak boleh disembelih, maka tiada jalan atau cara untuk memakannya. Oleh itu, ia adalah haram (dimakan) kerana terdapatnya halangan untuk memakannya (tidak boleh disembelih) kecuali bangkai yang tidak perlu kepada sembelihan. (Lihat al-Muhalla, 6/77)

Manakala pendapat yang kedua, semua hasyarat atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti siput daratan adalah halal dimakan. Ini adalah merupakan pendapat Imam Malik seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/16) Terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha’labah al-Tamimi R.A, katanya :

صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا

Maksudnya : “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).” Riwayat Abu Daud (3798)

Di dalam al-Mudawwanah ada menyebutkan bahawa Imam Malik pernah ditanya berkenaan sejenis haiwan yang disebut sebagai siput (halazun) yang terdapat di padang pasir dan melekat di pokok-pokok. Adakah ia boleh dimakan? Beliau menjawab : “Aku berpendapat hukumnya adalah seperti belalang. Sekiranya ia masih hidup, kemudian (ia dimatikan) dengan cara direbus atau dipanggang, maka aku berpandangan tidak mengapa memakannya. Sekiranya ia telah mati (menjadi bangkai), maka tidak boleh dimakan.” (Lihat al-Mudawwanah, 1/542)

Abu al-Walid al-Baji menyatakan bahawa :

فَحُكْمُ الْحَلَزُونِ حُكْمُ الْجَرَادِ قَالَ مَالِكٌ: ذَكَاتُهُ بِالسَّلْقِ أَوْ يُغْرَزُ بِالشَّوْكِ وَالْإِبَرِ حَتَّى يَمُوتَ مِنْ ذَلِكَ وَيُسَمَّى اللَّهُ تَعَالَى عِنْدَ ذَلِكَ كَمَا يُسَمَّى عِنْدَ قَطْفِ رُءُوسِ الْجَرَادِ

Maksudnya : “Hukum siput adalah sebagaimana hukum belalang. Imam Malik berkata : Sembelihannya adalah dengan merebusnya atau mencucuknya dengan duri atau jarum sehingga mati sambil disebutkan nama Allah (basmalah) sebagaimana disebutkan juga (basmalah) ketika mencabut kepala belalang.” (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 3/110)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa semua siput akuatik seperti siput sedut adalah halal dimakan selagimana tidak memudaratkan manakala bagi siput daratan seperti siput babi dan escargot, dan lain-lain, kami cenderung kepada pendapat yang mengharamkannya sebagaimana jumhur ulama kerana ia dianggap sebagai jijik dan kotor serta tabiat manusia semulajadinya akan menjauhi perkara-perkara tersebut.

Imam al-Nawawi menjawab mereka yang berhujah dengan hadis al-Talib bin Tha’labah al-Tamimi bahawa perkataannya yang mengatakan dia tidak mendengar (mengenai pengharaman hasyarat), tidak menunjukkan perkara tersebut tidak didengari oleh sahabat yang lain.  (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/17)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Siput_Babi. Telah diakses pada 17 Mac 2020.

[2] Lihat Jurnal bertajuk Morfometric Variations and Long Weight Relationships Red Eye Snail (Cerithidea obtusa) oleh Kamaruddin Iwan Eddiwan et al. Department of Aquatic Resource Management, Aquatic Biology Laboratory, University of Riau, Riau, Indonesia. Lihat juga https://en.wikipedia.org/wiki/Cerithidea_obtusa#cite_note-WoRMS-1. Telah diakses pada 17 Mac 2020.