Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-486 : HUKUM MEMAKAI BOW TIE (TALI LEHER KUPU-KUPU)

IF 486 Bow Tie

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Apakah hukum memakai bow tie? Adakah pemakaian bow tie ini diharamkan kerana menyerupai pakaian upacara keagamaan sesuatu kaum, sedangkan kini ia telah dianggap sebagai salah satu pakaian formal bagi majlis-majlis rasmi tertentu dan bukan lagi sebagai pakaian keagamaan? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) : ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?’ Katakanlah : ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”

(Surah al-A’raf : 32)

Ayat ini adalah merupakan hujah daripada Allah SWT bagi menolak sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan atau minuman atau pakaian menurut pendapat mereka sendiri bukannya syariat daripada Allah SWT. Perhiasan dan benda-benda yang baik ini Allah SWT telah jadikannya buat orang-orang yang beriman kepadaNya di atas dunia, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari akhirat kelak, kenikmatan tersebut adalah khusus buat orang-orang beriman sahaja. Tidak ada seorang pun dalam kalangan orang-orang kafir yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana orang-orang kafir itu  tempat kembali mereka adalah neraka. Demikian juga, syurga itu telah diharamkan buat orang-orang kafir (dari memasukinya). (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, oleh Dr. Solah al-Khalidi, 3/1323)

Latar belakang tali leher kupu-kupu (bow tie)

Tali leher kupu-kupu (bow tie) mula memasuki dunia fesyen pada permulaan kurun ke-19; diubahsuai daripada fesyen tali leher terdahulu iaitu kravat. Menjelang pertengahan 1880, tali leher kupu-lupu telah menjadi pilihan utama di dalam koleksi pakaian lelaki yang mengikuti perkembangan fesyen.

Tradisi menghiasi leher dengan simpulan kain telah wujud sejak abad ke-17. Askar Croatia dalam peperangan Tiga Puluh Tahun (1618-1648) adalah antara orang pertama direkodkan memakai tali leher yang mereka gunakan bagi memastikan kolar kemeja mereka tertutup rapi. Askar Perancis membawa pulang fesyen tersebut selepas tamatnya peperangan dan menjelang tahun 1700, tali leher telah diguna pakai oleh golongan atasan dan ini menandakan masa dimana tali leher mula menjadi ciri utama dalam (fesyen) pakaian lelaki.

Pada bulan Oktober 1886, Pierre Lorillard telah merekabentuk stail pakaian formal baharu dan memakainya di dalam majlis tari-menari formal yang diadakan di kelab Tuxedo. Ia dinamakan sempena nama estet keluarganya di Tuxedo Park (satu kawasan berhampiran New York City). Fesyen tuksedo rekaan Lorillard serta-merta menjadi popular dalam kalangan golongan penggemar fesyen kaya. Fesyen tuksedo dan tali leher kupu-kupu hitam yang juga dikenali sebagai pakaian “black tie” dengan pantas mendahului fesyen tailcoat iaitu kot yang bahagian belakangnya dibahagi dua dan tirus hujungnya. Tali leher kupu-kupu putih (white bow tie) sebagai pakaian formal utama untuk lelaki, perubahan fesyen yang masih belum lagi berubah hingga ke hari ini.

Sepanjang beberapa dekad yang lalu, mereka yang memiliki profil yang tinggi telah mempolopori satu gerakan pembaharuan semula makna bow tie. Dengan mengartikulasinya semula dalam bentuk yang tidak dimaksudkan untuk dipakai sebagaimana asalnya. Pemakaian tali leher kupu-kupu atau bow tie ini telah keluar daripada tujuan kebiasaannya dipakai iaitu sebagai pakaian formal.[1]

Menurut Ensiklopedia Dunia pula, tali leher ialah sejalur kain atau tali leher kupu-kupu yang dipakai di keliling leher. Ikatan empat-dalam-tangan (simpul hidup) dan tali leher kupu-kupu (bow tie) yang dipakai hari ini adalah gaya yang hampir sama dipakai ketika ia mula-mula diperkenalkan pada tahun 1870-an. Kravat yang dipakai sekitar tahun 1600-an dan 1700-an biasanya beropol dan dihiasi les. Oleh itu, sehingga pertengahan tahun 1800-an, tali leher yang lebih kecil, tali leher kupu-kupu yang bersimpul dan tali leher ascot telah menggantikan kravat yang lebih rumit. Sekitar tahun 1870, tali leher empat-dalam-tangan menjadi popular untuk kegunaan umum, tali leher kupu-kupu putih (white bow tie) untuk dipakai waktu malam, tali leher hitam untuk acara rasmi, dan tali leher Windsor lembut ketika bersukan. Pada tahun 1900-an, tali leher kupu-kupu hitam (black bow tie) yang formal muncul. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP ,21/52)

Ini jelas menunjukkan bahawa tali leher kupu-kupu atau bow tie ini adalah merupakan fesyen yang semakin berkembang yang merupakan ubahsuai daripada fesyen tali leher  yang terdahulu iaitu kravat yang lebih rumit.

Hukum memakai tali leher kupu-kupu (bow tie)

Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90)

Perkara ini adalah bertepatan dengan kaedah :

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya : “Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya.”

Adakah pemakaian tali leher dan bow tie menyerupai orang kafir?

Pada asasnya, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya : “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia adalah dari kalangan mereka.” Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-Son’ani menyebut bahawa hadis ini menunjukan sesiapa yang menyerupai orang fasik, atau orang kafir atau ahli bid’ah dalam apa-apa perkara yang khusus bagi mereka sama ada pakaian, kenderaan atau cara (gerak-geri), maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai orang kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur dan ada yang berpendapat dia tidak kufur tetapi perlu diadabkan (diambil tindakan oleh pemerintah). (Lihat Subul al-Salam, 2/646-647)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa seseorang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, dia tidak kafir kecuali jika disertai dengan niat (mengikuti iktikad mereka). (Lihat Raudhah al-Talibin,10/69)

Oleh itu, penyerupaan yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah penyerupaan dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu identiti (yang tidak baik) atau agama. Sekiranya perkara tersebut langsung tidak berkaitan dengan perkara khusus buat mereka, maka ia tidak termasuk dalamnya seperti jenis pakaian yang berbeza mengikut adat setempat (yang tidak berkaitan dengan unsur keagamaan), budaya-budaya yang baik dan lain-lain. Perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Mughirah bin Syu’bah bahawa :

أن النبيَّ ﷺ لبس جُبَّةً روميَّةً ضيقةَ الكمين

Maksudnya : “Nabi SAW pernah memakai jubah dari Rom yang mana kedua tangan bajunya sempit.” Riwayat al-Tirmidzi (1768)

Dalam riwayat yang lain disebutkan jubah dari negeri Syam yang sempit kedua tangan bajunya. Riwayat al-Bukhari (363) dan Muslim (274).

Sebagaimana yang kita ketahui, Rom ketika itu adalah kerajaan Kristian. Begitu juga dengan negara-negara lain pada masa itu, masih belum lagi beragama Islam. Namun, Baginda SAW memakai pakaian mereka kerana pakaian tersebut bukanlah pakaian yang khusus untuk agama mereka.

Syeikh Ibn al-Uthaimin menyatakan bahawa menyerupai orang kafir bermaksud seorang Muslim melakukan sesuatu yang telah menjadi ciri khusus buat orang kafir. Adapun apa-apa yang telah tersebar dalam kalangan orang-orang Islam dan perkara tersebut tidak menjadi ciri atau sesuatu (khusus) yang membezakannya dengan orang kafir, maka ia tidak dinamakan sebagai tasyabbuh (penyerupaan). Oleh itu, ia tidak lagi menjadi haram disebabkan oleh tasyabbuh, melainkan ia mungkin menjadi haram dari sudut yang lain. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasail Syeikh al-Uthaimin, 12/290) Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani yang menukilkan di dalam kitabnya bahawa sebahagian salaf (ulama terdahulu) berpendapat makruh memakai burnus (sejenis jubah yang ada penutup kepala) kerana ia adalah pakaian pendeta (rahib). Sesungguhnya telah ditanyakan kepada Imam Malik mengenai perkara itu. Jawabnya, tidak mengapa. Ditanyakan lagi kepadanya, bukankah ia pakaian orang Nasrani? Jawabnya, pakaian tersebut dipakai di sini (iaitu Madinah). (Lihat Fath al-Bari, 10/272)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ada juga menyebutkan bahawa sekiranya kita katakan larangan menggunakan pelana yang diperbuat daripada sutera disebabkan oleh penyerupaannya dengan orang bukan Arab (al-Tasyabbuh bi al-A’ajim). Oleh itu, ia adalah merupakan maslahah agama. Akan tetapi sekalipun dahulu ia adalah merupakan syiar mereka (orang kafir), sekarang apabila ia tidak lagi menjadi sesuatu yang khusus dalam syiar mereka, maka maknanya telah hilang (yakni tidak lagi dianggap syiar). Oleh itu, hukum makruh tersebut juga hilang. (Lihat Fath al-Bari, 10/307)

Oleh itu, kami cenderung kepada pendapat bahawa memakai apa sahaja jenis tali leher termasuklah tali leher kupu-kupu (bow tie) tidak termasuk dalam perkara menyerupai orang kafir yang dilarang. Juga kerana pemakaian tali leher dan bow tie ini turut dianggap sebagai pakaian formal yang dipakai oleh Muslim di sebahagian negara-negara Islam. Lebih-lebih lagi dalam dunia globalisasi, dan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, banyak unsur budaya dan adat yang baik telah dikongsi bersama seperti pakaian, makanan dan lain-lain.

Begitu juga, pemakaian tali leher atau bow tie bukanlah pakaian khusus yang dikenali hanya dipakai oleh orang jahat atau fasik sehingga boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai tersebut. Hal ini kerana pemakaian tali leher atau bow tie pada masa sekarang dianggap sebagai pakaian formal yang hanya dipakai oleh mereka yang berprofil tinggi dan kemas di dalam majlis-majlis rasmi atau separa rasmi. Imam al-Munawi telah menukilkan daripada Imam al-Qurtubi bahawa sekiranya orang fasik atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana boleh jadi orang yang tidak mengenalinya akan berburuk sangka bahawa dia termasuk dalam kalangan mereka (fasik dan kaki berfoya), lalu telah berdosa orang yang berburuk sangka itu  dan juga yang disangka buruk disebabkan dia punca sangkaan tersebut.  (Lihat Faidh al-Qadir, 6/104)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa pemakaian tali leher dan tali leher kupu-kupu (bow tie) adalah harus selagimana pemakaian tersebut tidak mencerminkan budaya dan adat yang hanya khusus dikenali dengan unsur jahat (fasik).

Selain itu, pemakaian tali leher dan bow tie juga bukanlah pakaian khusus yang hanya dipakai oleh orang kafir sahaja. Sebahagian negara-negara Islam telah menjadikan atau menganggap pemakaian tali leher dan bow tie ini sebagai pakaian formal dan kemas dalam majlis-masjlis rasmi dan lain-lain.

Begitu juga, jika kita melihat kepada sejarahnya, pemakaian bow tie ini tidak melambangkan apa-apa pakaian khusus dalam mana-mana keagamaan. Ia hanyalah salah satu pakaian fesyen yang semakin berkembang sejak kurun ke-19 lagi sehinggalah ke hari ini.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat Bow Tie History, https://www.thebowtie.com/bow-tie-history/. Telah diakses pada 31 Mac 2020.


Print   Email
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+