Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-529: HUKUM PIHAK MASJID MELABUR DUIT YANG DIAMBIL DARIPADA TABUNG SUMBANGAN ORANG RAMAI

masjid 32

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan penting untuk kebaikan ahli kariah di tempat saya. Baru-baru ini sewaktu berlangsung mesyuarat bersama pegawai dan AJK masjid, ada seorang ahli mesyuarat mencadangkan agar sebahagian daripada duit masjid dilaburkan ke tempat-tempat yang mendapat kelulusan Syariah seperti ASB, unit amanah dan lain-lain. Majoriti ahli mesyuarat menolaknya dengan mengatakan duit masjid tidak boleh dilaburkan, hendaklah digunakan sepenuhnya untuk aktiviti tahunan masjid.

Persoalan saya, betulkah tanggapan dan kefahaman sebegini? Sedangkan cadangan itu juga mempunyai matlamat yang sama kerana melalui pelaburan tersebut, dana masjid akan bertambah banyak dan memberi manfaat semula kepada ahli kariah. Mohon pencerahan.

Jawapan Ringkas

Berdasarkan situasi di atas, kami berpandangan harus melaburkan sebahagian duit masjid yang berada dalam kategori tabung umum khususnya apabila hasil kutipan dana masjid melebihi keperluan ahli kariah sedia ada. Syaratnya, pelaburan tersebut mestilah mematuhi piawaian syariah dan diuruskan oleh seorang pengurus dana yang pakar dan berpengalaman selain daripada meminta kelulusan dan saranan daripada pihak majlis agama islam kawasan masing-masing.

Dalam masa yang sama, seiring dengan potensi duit tabung yang akan bertambah, sewajarnya pihak masjid merancang dan mengimarahkan lagi masjid dengan program-program dan modul-modul yang meningkatkan sahsiah dan akhlak di samping meringankan beban umat Islam sekeliling yang memerlukan bantuan kewangan dan sebagainya mengikut prosedur yang ditetapkan.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT atas segala nikmat diberikan serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Masjid merupakan institusi yang penting dalam sesebuah komuniti Muslim. Masyarakat Muslim mempunyai kepercayaan dan harapan kepada institusi masjid untuk menjadi medium kebersatuan ummah lantas melestarikan kehidupan masyarakat setempat melalui pelbagai usaha, aktiviti dan inisiatif yang dirancang dan dilakukan oleh pihak pengurusan masjid.

Bagi menjayakan impian yang besar ini, pihak ahli jawatankuasa pengurusan masjid dan surau serta badan berautoriti agama yang mengelolakannya perlu bersama-sama menggembleng tenaga memastikan segala keputusan dan pendirian yang dibuat mendatangkan impak besar dan mencapai manfaat semaksima mungkin kerana segala keputusan berada di tangan mereka. Setiap duit yang disalurkan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Contohnya, masjid dan surau yang berada dalam lingkungan Wilayah Persekutuan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan yang memperuntukkan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993. Jika dirujuk, akta di atas jelas menunjukkan apa-apa perkara berkaitan penyenggaraan masjid mestilah merujuk majlis iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terlebih dahulu.

Seterusnya, antara komponen utama yang menjadi nadi sesebuah masjid selain daripada dana yang diberikan majlis agama islam ialah dana dan sumbangan yang diperoleh daripada orang ramai. Kesemua dana tersebut boleh digunakan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti seperti pengimarahan masjid melalui pengajian-pengajian ilmu, membaik pulih fasiliti dan struktur masjid, bantuan kepada ahli kariah yang memerlukan, bilik koperasi serta pelbagai lagi perancangan dapat dirancakkan dan dilaksanakan secara konsisten dan berterusan.

Berkenaan isu pelaburan duit masjid, terdapat dua persoalan yang perlu diteliti; hukum melabur dalam ASB secara umum dan hukum melaburkan sebahagian dana masjid dalam ASB.

Pertamanya, berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 bahawa hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus. Bertitik tolak daripada keputusan ini, melabur dalam skim amanah secara umumnya tidak mempunyai masalah sama ada pelabur datang daripada individu ataupun institusi termasuklah masjid.

Keduanya, dana masjid yang dikumpul melalui tabung-tabung yang tersedia dalam masjid tergolong di bawah kategori sedekah secara sukarela.

Dari segi istilahnya, sedekah ialah pemberian sesuatu harta kepada orang lain kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengharapkan ganjaran pahala di akhirat kelak semata-mata.

(Lihat: al-Mausuʿah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 26/323)

Lantaran itu, hasil pemberian sedekah menatijahkan hak pemilikan bertukar milik daripada hak milik penderma menjadi hak milik masjid serta-merta. Maka, menjadi amanah dan tanggungjawab pihak pengurusan masjid untuk menggunakan dan membelanjakannya pada perkara-perkara yang boleh mendatangkan manfaat kepada ahli kariah secara umum melainkan terdapat tabung yang dikhususkan untuk tujuan tertentu seperti tabung orang miskin, tabung anak yatim dan lain-lain.

Sehubungan dengan itu, hukum melaburkan sebahagian dana masjid melalui tabung-tabung umum adalah harus khususnya apabila hasil kutipan dana masjid melebihi keperluan ahli kariah sedia ada kerana tidak dapat dinafikan terdapat sebahagian masjid yang mempunyai hasil kutipan yang sangat banyak setiap bulan atas faktor demografi masyarakat sekitarnya yang berpendapatan tinggi sehingga dicatatkan ada tabung masjid yang mencecah sehingga RM500,000 setahun.

Rujuk kertas kerja DANA DAN HARTA MASJID DI MALYSIA: KE ARAH PENGURUSAN STRATEGIK

Antara elemen utama yang perlu diberi penekanan melihat kepada sensitiviti dana yang diperoleh daripada duit masyarakat ialah pihak pengurusan hendaklah memastikan aktiviti pelaburan yang dilakukan mendapat status patuh syariah. Selain itu walaupun adat pelaburan tidak boleh dijamin untung ruginya, mereka tetap perlu memastikan dana itu diuruskan oleh pihak yang mempunyai kepakaran dan berpengalaman dalam bidang pelaburan. Alasan utamanya, agar segala keputusan yang dibuat memberi potensi pulangan dan manfaat yang lebih baik berbanding mereka yang tiada pengalaman dan kepakaran. ASB merupakan salah satu contoh pelaburan yang patuh syariah serta menjamin pelaburnya tidak mengalami kerugian 100% kerana modalnya dijamin oleh pihak ketiga iaitu kerajaan.

Bagi menghilangkan kerunsingan masyarakat berkenaan potensi pelaburan yang terdedah kepada keuntungan dan kerugian, pihak pengurusan sangat digalakkan membuat hebahan dan penerangan awal kepada orang-orang yang bakal menderma melalui pamplet, notis dan lain-lain medium agar segala implikasi tindakan yang dibuat dapat difahami oleh penderma dengan hati terbuka. Paling utama, kita semua boleh bersetuju bahawa dana yang besar berpotensi menatijahkan pulangan yang berimpak tinggi kepada masyarakat setempat jika diuruskan dengan baik.

Sebagai nasihat dan saranan, hasrat dan keinginan pihak masjid untuk melabur sebahagian duit masjid perlu ditonjolkan dan dikongsikan manfaatnya bersama ahli kariah. Contohnya, pihak masjid sentiasa bersedia untuk memberi bantuan kepada orang miskin sekeliling, membantu perkembangan sahsiah dan akhlak anak-anak kariah melalui pelbagai aktiviti dan modul dan sebagainya. Perkara yang perlu dielakkan ialah bersifat kedekut dan bermegah-megah dengan bilangan tabungan yang terkumpul, namun manfaatnya tidak dirasai oleh umat Islam yang berada di sekitarnya.

Bagi mendapat gambaran lebih jelas, boleh rujuk artikel kami, BAYAN LINNAS SIRI KE- 218: PANDANGAN MENGENAI ISU PENGURUSAN WANG TABUNG MASJID.

Wallahua’lam.