Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-547 : HUKUM TERTAMBAH TAKBIR DALAM SOLAT SUNAT HARI RAYA

IF

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga sentiasa sihat dan dipelihara Allah. Saya ada persoalan berkenaan dengan solat sunat hari raya. Apakah hukum jika imam tertambah takbir. Sepatutnya rakaat pertama 7 kali tapi imam buat 8 kali. Kemudian dalam rakaat kedua pun sama. Imam tak sengaja tertambah dari 5 kali takbir menjadi 6 kali takbir. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

Jawapan ringkas :

Kesimpulannya, jika imam menambah bilangan takbir melebihi tujuh kali pada rakaat pertama atau lima kali pada rakaat kedua, maka makmum tidak perlu mengikutnya jika dia mengetahuinya. Jika makmum terikut imam atau tidak mengetahui bilangan takbir yang dilakukan oleh imam, maka ianya tidak membatalkan solatnya kerana takbir yang dilakukan di dalam solat sunat Hari Raya adalah antara sunat hai’at dan penambahannya dianggap sebagai penambahan zikir.

Huraian jawapan :

Solat sunat hari raya adalah solat sunat yang dilakukan pada pagi hari raya sebagai tanda syukur setelah berjaya mengharungi bulan Ramadhan. Ianya mula ditunaikan oleh Rasulullah SAW pada tahun kedua hijrah. Ini berdasarkan ucapan Ibnu ‘Abbas :

شَهِدْتُ صَلاَةَ الْفِطْرِ مَعَ نَبِىِّ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَكُلُّهُمْ يُصَلِّيهَا قَبْلَ الْخُطْبَةِ

Maksudnya : “Aku bersama menunaikan solat hari raya Aidilfitri bersama Nabi SAW, Abu Bakar, Umar dan Uthman. Kesemua mereka solat hari raya sebelum daripada khutbah.”

Riwayat Muslim (2081)

Pada asasnya, solat sunat hari raya dilakukan sebanyak dua rakaat. Pada rakaat pertama ,selepas takbiratul ihram, disunatkan untuk bertakbir sebanyak 7 kali. Pada rakaat kedua pula disunatkan untuk bertakbir sebanyak 5 kali. Ini berdasarkan kepada perbuatan yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW. Daripada ‘Amru Bin Syu’aib daripada ayahnya dari datuknya :

أَنَّ النَّبِيَّ صَلى الله عَليه وسَلم كَبَّرَ فِي عِيدٍ ثِنْتيْ عَشْرَةَ تَكْبِيرَةً سَبْعًا فِي الأُولَى وَخَمْسًا فِي الآخِرَةِ وَلَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا، وَلاَ بَعْدَهَا

Maksudnya : “Sesungguhnya Nabi SAW bertakbir dalam solat Sunat Hari Raya sebanuak 12 kali takbir. Tujuh kali pada rakaat yang pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua. Baginda tidak melakukan solat pada sebelum atau selepasnya.”

Riwayat Ahmad (6802)

Dalam riwayat yang lain menyebut :

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَبَّرَ فِي الْعِيدَيْنِ فِي الْأُولَى سَبْعًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ وَفِي الْآخِرَةِ خَمْسًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ

Maksudnya : “ Sesungguhnya Nabi SAW melafazkan takbir dalam dua solat  sunat Hari Raya. Pada rakaat pertama, Nabi bertakbir sebanyak tujuk kali sebelum membaca (Al-Fatihah) dan pada rakaat yang kedua, Nabi bertakbir sebanyak lima kali sebelum membaca (Al-Fatihah).”

Riwayat Al-Tirmizi (492)

Imam Al-Nawawi menyebut :

واما الا كمل فأن يقرأ بعد تكبيرة الاحرام دعاء الاستفتاح ثم يكبر في الركعة الاولى سبع تكبيرات سوى تكبيرة الاحرام وسوى تكبيرة الركوع وفى الثانية خمسا سوى تكبيرة القيام من السجود والهوى الي الركوع

Maksudnya : “Adapun yang paling sempurna, selepas takbiratul Ihram dibaca Doa Iftitah. Kemudian pada rakaat pertama, melafazkan takbir sebanyak tujuh kali kecuali Takbiratul Ihrm dan takbir ketika hendak rukuk. Pada rakaat kedua, melafazkan takbir sebanyak lima kali kecuali takbir ketika bangkit dari sujud dan takbir ketika rukuk.”[1]

Imam Syihabuddin Al-Ramli berkata :

( وَهِيَ رَكْعَتَانِ ) إجْمَاعًا وَحُكْمُهَا فِي الْأَرْكَانِ وَالشُّرُوطِ كَغَيْرِهَا مِنْ الصَّلَوَاتِ ( فَيُحْرِمُ بِهَا ) بِنِيَّةِ صَلَاةِ عِيدِ الْفِطْرِ أَوْ الْأَضْحَى كَمَا مَرَّ ( ثُمَّ ) بَعْدَ تَكْبِيرَةِ التَّحَرُّمِ ( يَأْتِي ) نَدْبًا ( بِدُعَاءِ الِافْتِتَاحِ ) كَغَيْرِهَا ( ثُمَّ بِسَبْعِ تَكْبِيرَاتٍ ) لِخَبَرٍ رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَحَسَّنَهُ أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { كَبَّرَ فِي الْعِيدَيْنِ فِي الْأُولَى سَبْعًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ وَفِي الثَّانِيَةِ خَمْسًا قَبْلَهَا } وَعُلِمَ مِنْ كَلَامِ الْمُصَنِّفِ أَنَّ تَكْبِيرَةَ الْإِحْرَامِ غَيْرُ مَحْسُوبَةٍ مِنْ السَّبْعَةِ ( يَقِفُ ) نَدْبًا ( بَيْنَ كُلِّ ثِنْتَيْنِ ) مِنْهَا ( كَآيَةٍ مُعْتَدِلَةٍ ) أَيْ لَا طَوِيلَةٍ وَلَا قَصِيرَةٍ ، وَضَبَطَهُ أَبُو عَلِيٍّ فِي شَرْحِ التَّلْخِيصِ : بِقَدْرِ سُورَةِ الْإِخْلَاصِ ؛ وَلِأَنَّ سَائِرَ التَّكْبِيرَاتِ الْمَشْرُوعَةِ فِي الصَّلَاةِ يَعْقُبُهَا ذِكْرٌ مَسْبُوقٌ فَكَذَلِكَ هَذِهِ التَّكْبِيرَاتُ ( يُهَلِّلُ ) أَيْ يَقُولُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ ( وَيُكَبِّرُ ) أَيْ يَقُولُ اللَّهُ أَكْبَرُ ( وَيُمَجِّدُ ) أَيْ يُعَظِّمُ اللَّهَ رَوَى ذَلِكَ الْبَيْهَقِيُّ عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ قَوْلًا وَفِعْلًا ( وَيَحْسُنُ ) فِي ذَلِكَ كَمَا قَالَهُ الْجُمْهُورُ أَنْ يَقُولَ ( سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ ) ؛ لِأَنَّهُ لَائِقٌ بِالْحَالِ وَهِيَ الْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ فِي قَوْلِ ابْنِ مَسْعُودٍ وَجَمَاعَةٍ ، وَلَوْ زَادَ عَلَى ذَلِكَ جَازَ كَمَا ذَكَرَهُ فِي الْبُوَيْطِيِّ ، وَلَوْ قَالَ مَا اعْتَادَهُ النَّاسُ وَهُوَ : اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا وَصَلَّى اللَّهُ وَسَلَّمَ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ تَسْلِيمًا كَثِيرًا لَكَانَ حَسَنًا ، قَالَهُ ابْنُ الصَّبَّاغِ ( ثُمَّ ) بَعْدَ التَّكْبِيرَةِ الْأَخِيرَةِ ( يَتَعَوَّذُ ) ؛ لِأَنَّهُ لِافْتِتَاحِ الْقِرَاءَةِ ( وَيَقْرَأُ ) الْفَاتِحَةَ كَغَيْرِهَا ، وَسَيَأْتِي مَا يَقْرَؤُهُ بَعْدَهَا ( وَيُكَبِّرُ فِي ) الرَّكْعَةِ ( الثَّانِيَةِ ) بَعْدَ تَكْبِيرَةِ الْقِيَامِ (خَمْسًا ) بِالصِّفَةِ السَّابِقَةِ ( قَبْلَ ) التَّعَوُّذِ ، وَ ( الْقِرَاءَةِ ) لِلْخَبَرِ الْمَارِّ

Maksudnya : “Solat sunat hari raya ditunaikan sebanyak dua rakaat secara ijmaknya. Rukun dan syaratnya adalah sepertimana solat-solat yang lain. Maka, ianya dimulakan dengan Takbiratul Ihram disertai dengan niat solat Hari raya kemudian selepas Takbiratul Ihram, membaca doa Iftitah. Kemudian bertakbir sebanyak tujuh kali takbir berdasarkan khabar yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi dan beliau menilainya sebagai hadith yang hasan bahawa Nabi SAW melakukan takbir dalam solat sunat Hari Raya sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama sebelum memulakan bacaan (Al-Fatihah) dan pada rakaat kedua sebanyak lima kali takbir sebelum membaca Al-Fatihah.Dapat difahami dari ucapan pengarang bahawa Takbiratul Ihram tidak termasuk dalam jumlah tujuh kali tersebut. Pada setiap antara takbir dia berhenti sekadar ayat yang muktadil iaitu tidak panjang dan tidak terlalu pendek. Abu ‘Ali dalam Syarh Al-Talkhis telah menetapkan kadarnya adalah kadar bacaan Surah Al-Ikhlas. Ini kerana kesemua takbir yang disyariatkan dalam solat diselangi dengan zikir. Begitu juga dengan takbir ini. Dia bertahlil dengan menyebut La Ilaha Illah. Di bertakbir AllahuAkbar. Memuji iaitu mengagungkan Allah. Ianya juga diriwayatkan oleh Al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud secara ucapan atau perbuatan. Yang paling baik adalah sepertimana yang disebutkan oleh Jumhur iaitu Subhanallah Walhamdulillah Wa La Ilaha IllaAllah. Jika dia menambah lafaz tersebut maka ianya harus sepertimana yang disebutkan oleh Al-Buwaitu. Jika dia menyebut apa yang biasa disebutkan oleh orang ramai iaitu Allahu Akbar Kabira Walhamdulillahi Kathira Wa Subhanallah Bukratan Wa Asila Wa Sallallahu Wasallam ‘Ala Saidina Muhammad Tasliman Kathira itu lebih baik. Inilah yang disebutkan oleh Ibn Al-Sabbagh. Kemudian selepas takbir yang terakhir dia membaca isti’azah kerana ia adalah pembukaan bagi bacaan Al-Fatihah dan kemudiannya dia membaca Al-Fatihah dan ayat yang lain.Pada rakaat kedua pula, selepas takbiratul Qiyam (bangun dari sujud), dia bertakbir sebanyak lima kali dengan sifat yang telah  disebutkan. Ianya dilakukan sebelum membaca Isti’azah dan Al-Fatihah.”[2]

Berdasarkan apa yang telah disebutkan , kaifiat asal solat sunat Hari Raya adalah sebanyak dua rakaat yang mana pada rakaat pertama disunatkan untuk bertakbir sebanyak tujuh kali sebelum membaca Al-Fatihah dan pada rakaat kedua pula disunatkan bertakbir sebanyak lima kali sebelum membaca Al-Fatihah.

Takbir-takbir tersebut merupakan antara perbuatan yang termasuk di dalam sunat Hai’at.  Ini bermakna jika kurang bilangan takbir tersebut maka tidak perlu untuk sujud sahwi. Al-Khatib Al-Syarbini berkata :

وهذه التكبيرات من الهيئات كالتعوذ ودعاء الافتتاح فليس فرضا ولا بعضا فلا يسجد لتركهن وإن كان الترك لكلهن أو بعضهن مكروها

Maksudnya : “Takbir-takbir ini termasuk dalam Al-Hai’at seperti membaca isti’azah (A’uzubillahi min Al-Syaitan Al-Rajim) dan doa Iftittah. Ia bukan rukun mahupun sunat Ba’diyah. Maka dia tidak perlu sujud jika meninggalkannya. Jika tinggal keseluruhan atau sebahagian takbir tersebut, maka ia adalah perbuatan makruh.”[3]

Begitu juga jika imam menambah bilangan takbir tersebut, maka ia tidak memberi kesan kepada solatnya.  Jika imam menambah bilangan takbir, maka makmum tidak perlu mengikutnya. Jika makmum mengikut takbir tambahan yang dilakukan oleh imam, maka ia tidak membatalkan solat kerana ia dianggap sebagai zikir. Sheikh Sulaiman Bin ‘Umar Bin Mansur Al-‘Ijli Al-Syafi’i berkata :

وَبَقِيَ مَا لَوْ زَادَ إمَامُهُ عَلَى السَّبْعِ أَوْ الْخَمْسِ هَلْ يُتَابِعُهُ أَمْ لَا فِيهِ نَظَرٌ وَيَنْبَغِي عَدَمُ مُتَابَعَتِهِ لَهُ لِأَنَّ الزِّيَادَةَ عَلَى السَّبْعِ أَوْ الْخَمْسِ غَيْرُ مَطْلُوبَةٍ وَمَعَ ذَلِكَ لَوْ تَابَعَهُ فِيهَا بِلَا رَفْعٍ لَمْ يَضُرَّ لِأَنَّهُ مُجَرَّدُ ذِكْرٍ

Maksudnya : “Tinggal lagi jika imam menambah takbir melebihi tujuh atau lima kali. Adakah makmum perlu mengikutnya ataupun tidak.Ada beberapa pandangan berkenaan dengannya. Maka dia tidak perlu mengikut imam dalam perbuatan takbir tambahan tersebut kerana menambah takbir melebih tujuh atau lima kali adalah tidak dituntut. Di samping itu, jika dia mengikut imam tanpa mengangkat tangan maka ia tidak memberikan kesan kepada solatnya kerana ia hanya dianggap sebagai zikir.”[4]

Kesimpulannya, jika imam menambah bilangan takbir melebihi tujuh kali pada rakaat pertama atau lima kali pada rakaat kedua, maka makmum tidak perlu mengikutnya jika dia mengetahuinya. Jika makmum terikut imam atau tidak mengetahui bilangan takbir yang dilakukan oleh imam, maka ianya tidak membatalkan solatnya kerana takbir yang dilakukan di dalam solat sunat Hari Raya adalah antara sunat hai’at.

 

[1] Al-Nawawi Muhyiddin, Yahya Bin Syarf, Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (5/17)

[2] Al-Ramli, Muhammad Bin Abu Al-‘Abbas Ahmad Bin Hamzah, Nihayah Al-Muhtaj Ila Syarh Al-Minhaj (7/354)

[3] Al-Khatib Al-Syarbini, Muhammad Bin Ahmad, Al-‘Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’ (1/172)

[4] Al-Jamal, Sulaiman Bin ‘Umar, Hasyiah Al-Jamal ‘Ala Syarh Al-Minhaj (3/51)