Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA SIRI KE-568: HUKUM ISTERI MEMBERIKAN ZAKAT KEPADA SUAMI YANG BERHUTANG DENGANNYA

epf 4

Soalan

Assalamualaikum, saya ada satu soalan. Suami saya ada berhutang dengan saya. Tidak lama lagi saya akan dapat duit EPF dalam jumlah yang agak besar. Persoalannya, adakah saya sebagai isteri dibolehkan untuk membayar zakat kepada suami saya atas dasar asnaf “orang-orang yang berhutang”?

Hutang tersebut agak besar jumlahnya ditambah dengan saya mempunyai komitmen yang agak banyak kerana suami sudah tidak bekerja dan banyak berhutang dengan orang lain juga. Mohon pencerahan.

 

Ringkasan Jawapan

Berdasarkan perbincangan para ulama dalam hal ini, pandangan muktamad dalam mazhab Syafie menyebut bahawa isteri boleh membayar zakat kepada suami yang berhutang dengan dirinya dengan beberapa syarat dan panduan:

Pertama: Duit zakat tersebut hendaklah diberikan kepada suami dan dimilikinya terlebih dahulu.

Kedua: Tidak boleh diletakkan syarat agar duit zakat tersebut mesti dipulangkan semula kepada isteri sebagai bayaran hutang yang sedia ada.

Ketiga: Sekiranya dikhuatiri duit tersebut suami akan menggunakannya untuk perkara yang tidak bermanfaat dan sia-sia, maka dibolehkan untuk melunaskan hutang tersebut melalui duit zakat secara terus tanpa perlu diberikan kepada suami terlebih dahulu berdasarkan pandangan kedua dalam mazhab Syafie, bahkan cadangan ini lebih membantu mengurangkan tanggungjawab suami tersebut.

 

Huraian Jawapan

Allah SWT telah menetapkan hanya beberapa golongan sahaja yang layak menerima harta zakat. Perkara ini untuk memastikan pengagihan yang dilakukan dapat dilaksanakan dengan tuntas dan ideal. Salah satu golongan yang layak mendapat zakat adalah asnaf “orang-orang yang berhutang”. Kelayakan golongan ini adalah berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran,

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Surah al-Taubah (60)

Ibn Abbas RA menafsirkan ayat ini sebagai penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat:

 وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا -: ‌الْمُرَادُ ‌بِهِ ‌بَيَانُ ‌الْمَصَارِفِ فَإِلَى أَيُّهَا صُرِفَتْ أَجْزَأَك كَمَا أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى أَمَرَنَا بِاسْتِقْبَالِ الْكَعْبَةِ فَإِذَا اسْتَقْبَلْت جُزْءًا مِنْهَا كُنْت مُمْتَثِلًا لِلْأَمْرِ

Maksudnya: “Ibn Abbas berkata: yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah untuk menerangkan tentang golongan yang berhak menerima zakat. Maka kepada mana-mana golongan yang kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah s.w.t memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu ka’abah maka sekiranya menghadap sebahagian daripada ka’abah maka sudah dikira menghadap kiblat”.

(Rujuk: al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)

Khusus berkenaan asnaf “al-gharimin”, Imam al-Qurtubi menyebutkan dalam tafsirnya bahawa zakat diberikan kepada dua golongan. Pertama, golongan yang berharta dalam masa yang sama mempunyai hutang keliling pinggang, maka diberikan zakat untuk melangsaikan hutangnya. Keduanya, golongan yang tidak berharta dan mempunyai hutang, maka diberikan zakat kepadanya melalui dua tabung asnaf iaitu “al-gharimin” dan “fakir miskin”.

(Rujuk: Tafsir al-Qurtubi, 8/184)

Berdasarkan tafsiran di atas, secara umumnya seseorang boleh mengeluarkan zakat kepada orang yang mempunyai hutang bagi melangsaikan hutangnya dan ini termasuklah isteri membayar zakat kepada suami yang mempunyai hutang. Huraian lanjut boleh rujuk artikel kami di laman web, https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4262-irsyad-al-fatwa-siri-ke-437-hukum-isteri-membayar-zakat-kepada-suaminya.

Walau bagaimanapun, para ulama berbeza pendapat kepada dua pandangan utama di antara sah dan tidak sah berkenaan isu seseorang yang memberi hutang kepada orang lain kemudian dia tolong melangsaikannya melalui duit zakat dirinya sendiri.

Imam al-Nawawi menukilkan kedua-dua pandangan tersebut di dalam kitabnya:

Pertama:  Pandangan yang paling tepat dalam masalah ini adalah tidak sah kerana kewajipan mengeluarkan zakat hanya akan terlepas apabila duit itu masuk dalam pemilikan asnaf sedangkan pelunasan cara hutang sebegini tidak memungkinkan asnaf untuk menerima dan memiliki duit zakat tersebut. 

Kedua: Sebahagian ulama mengatakan sah dengan alasan duit ia sama sahaja sepertimana dia memberikan kepada asnaf duit tersebut lalu dia mengambilnya semula disebabkan asnaf tersebut membayar hutangnya. Perkara ini diqiyaskan sepertimana seseorang yang menjaga dan menyimpan duit muzaki (pembayar zakat), kemudian muzakki memberikan duit yang berada dalam simpanan penjaga tersebut sebagai zakat, maka ia tetap sah sama ada asnaf tersebut memiliki dan mengambilnya terlebih dahulu mahupun tidak.

Seterusnya Imam al-Nawawi juga menyebut bahawa perbezaan pandangan di atas sekiranya tidak diletakkan syarat. Adapun sekiranya pemberian zakat tersebut diletakkan syarat untuk memulangkan semula sebagai bayaran kepada hutang yang tertunggak, maka ulama sepakat mengatakan bahawa pemberian tersebut tidak sah dan kewajipan zakat masih belum terlepas. Sekiranya sekadar niat dalam hati dan tidak disyaratkan, maka ia dikira sah.

Sepertimana kata beliau:

(أَمَّا) إذَا دَفَعَ الزَّكَاةَ إلَيْهِ بِشَرْطِ أَنْ يَرُدَّهَا إلَيْهِ عَنْ دَيْنِهِ فَلَا يَصِحُّ الدَّفْعُ وَلَا تَسْقُطُ الزَّكَاةُ بِالِاتِّفَاقِ وَلَا يَصِحُّ قَضَاءُ الدَّيْنِ بِذَلِكَ بِالِاتِّفَاقِ...وَلَوْ نَوَيَا ذَلِكَ وَلَمْ يَشْرِطَاهُ جَازَ بِالِاتِّفَاقِ وَأَجْزَأَهُ عَنْ الزكاة

Maksudnya: “Sekiranya pemberian zakat tersebut diletakkan syarat untuk memulangkan semula sebagai bayaran kepada hutang, mak para ulama sepakat mengatakan tidak sah pemberian tersebut lantas kewajipan zakat masih belum terlepas. Selain itu, pelunasan hutang dengan cara begitu juga tidak sah...Adapun mereka sekadar berniat tetapi tidak diletakkan syarat, maka ulama sepakat mengatakan zakatnya sah”.

(Rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/210-211)

Tambahan pula, isteri yang membantu suami bagi melangsaikan hutangnya dianggap sebagai suatu perbuatan yang digalakkan oleh Baginda Nabi SAW. Dalam sebuah hadis Ibn Ma’ud tatkala isterinya meminta izin kepada Nabi Muhammad SAW untuk memberikan emas perhiasan kepada suaminya sebagai sedekah lantas berkata:

يا نَبِيَّ اللَّهِ، إنَّكَ أمَرْتَ اليومَ بالصَّدَقَةِ، وكانَ عِندِي حُلِيٌّ لِي، فأرَدْتُ أنْ أتَصَدَّقَ به، فَزَعَمَ ابنُ مَسْعُودٍ: أنَّه ووَلَدَهُ أحَقُّ مَن تَصَدَّقْتُ به عليهم، فَقالَ النبيُّ ﷺ: صَدَقَ ابنُ مَسْعُودٍ، زَوْجُكِ ووَلَدُكِ أحَقُّ مَن تَصَدَّقْتِ به عليهم.

Maksudnya: “Wahai Nabi Allah. Sesunggahnya pada hari ini kau memerintahkan untuk bersedekah. Memandangkan aku mempunyai emas perhiasan untuk disedekahkan, Ibn Mas’ud mengatakan bahawa dia dan anaknya adalah golongan yang lebih berhak untuk aku berikan sedekah. Lalu Nabi membalas: Benar (apa yang dikatakan) Ibn Mas’ud. Suami dan anakmu merupakan orang yang lebih berhak untuk kamu beri sedekah”.

Riwayat al-Bukhari (1462)

Berdasarkan perbincangan di atas, pandangan muktamad dalam mazhab Syafie menyebut bahawa dibolehkan kepada isteri untuk membayar zakat kepada suami yang berhutang dengan dirinya dengan beberapa syarat dan panduan:

Pertama: Duit zakat tersebut hendaklah diberikan kepada suami dan dimilikinya terlebih dahulu.

Kedua: Tidak boleh diletakkan syarat agar duit zakat tersebut mesti dipulangkan semula kepada isteri sebagai bayaran hutang yang sedia ada.

Ketiga: Sekiranya dikhuatiri duit tersebut suami akan menggunakannya untuk perkara yang tidak bermanfaat dan sia-sia, maka dibolehkan untuk melunaskan hutang tersebut melalui duit zakat secara terus tanpa pemberian kepada suami terlebih dahulu berdasarkan pandangan kedua dalam mazhab Syafie, bahkan cadangan ini lebih membantu mengurangkan tanggungjawab suami tersebut.

Wallahu a’lam.