Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-585 : HUKUM GIGI PALSU YANG DITANAM BERSAMA JENAZAH

IF585

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan jenazah emak saya yang dikebumikan dengan gigi palsu yang dipakai di dalam mulutnya tanpa ditanggalkan. Apakah yang perlu untuk kami sekeluarga lakukan kerana semasa jenazah dimandi sehinggalah siap dikebumikan tiada siapa yang ingat pasal perkara tersebut?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Persoalan ini berkaitan keperluan sama ada perlu untuk menggali semula kubur bagi mengeluarkan gigi palsu tersebut daripada jenazah ataupun tidak. Pada asalnya perbuatan menggali semula kubur adalah tidak dibenarkan kecuali atas keperluan yang mendesak dan sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak, antaranya seperti jenazah tertelan benda berharga dan seumpamanya. Oleh yang demikian, gigi palsu yang biasa tidak dikira sebagai benda berharga yang diharuskan untuk menggali semula kubur tersebut. Justeru, tidak mengapa untuk tidak mengambilnya semula daripada jenazah bagi menjaga kehormatan dan menghindarinya daripada sebarang fitnah.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, persoalan ini berkait dengan soal keperluan untuk menggali semula kubur bagi mengeluarkan gigi palsu tersebut, sama ada ia perlu ataupun dibiarkan sahaja tanpa digali semula.

Pada asalnya, hukum menggali semula kubur adalah tidak dibenarkan oleh syarak kerana perbuatan tersebut dikhuatiri akan menyakiti mayat yang berada di dalamnya, berdasarkan kepada hadis daripada Saidatina Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: Mematahkan tulang jenazah adalah sama seperti mematahkan tulangnya ketika dia hidup.

Riwayat Abu Daud (1616)

Hal ini juga kerana tujuan pengebumian mayat ialah supaya kehormatan mayat tidak dicemari dan tidak dijadikan fitnah terhadap jasadnya. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Muhammad Rajab:

(أقل القبر حُفرةٌ تمنع الرائحة) من الظهور (والسَبُعُ) من نبش الميت وأكله لأن غاية الدفن عدم انتهاك حرمة الميت بظهور جيفته وعدم امتهان جسده بعد موته.

Maksudnya: Ukuran minima bagi lubang kubur ialah pada kadar yang dapat menghalang bau daripada terkeluar dan (menyelamatkan) mayat daripada digali dan dimakan binatang liar serta daripada dimakan olehnya. Ini kerana tujuan pengebumian ialah supaya tidak dicemari kehormatan mayat dengan ternampak pereputan dan tidak menyebabkan fitnah terhadap jasadnya selepas kematiannya.[1] (Rujuk Dalil al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 1:242)

Justeru, tidak boleh untuk sewenang-wenangnya menggali semula kubur yang telah ditanam jenazah di dalamnya. Walau bagaimanapun, para ulama’ mengharuskannya jika terdapat keperluan dan kepentingan yang besar. Ini sepertimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu Syarh al-Muhazzab bahawa:

وَيَجُوزُ نَبْشُ الْمَيِّتِ إذَا دُفِنَ لِغَيْرِ الْقِبْلَةِ أَوْ بِلَا غُسْلٍ عَلَى الصَّحِيحِ فِيهِمَا أَوْ بِلَا كَفَنٍ أَوْ فِي كَفَنٍ مَغْصُوبٍ أَوْ حَرِيرٍ أَوْ أَرْضٍ مَغْصُوبَةٍ أَوْ ابْتَلَعَ جَوْهَرَةً أَوْ وَقَعَ فِي الْقَبْرِ مَالٌ عَلَى مَا سَبَقَ فِي كُلِّ ذَلِكَ مِنْ التَّفْصِيلِ

Maksudnya: Diharuskan untuk menggali semula mayat jika sekiranya dia dikebumikan dalam keadaan tidak menghadap kiblat, tidak dimandikan -mengikut pendapat yang sahih terhadap kedua-duanya,  tidak dikafankan atau dikafankan dengan kain yang dicuri atau dengan kain sutera, dikebumikan di tanah yang dirampas daripada orang lain, jenazah tersebut tertelan berlian yang berharga atau ada harta benda yang berharga terjatuh di dalam kubur sepertimana yang telah disebutkan secara terperinci sebelum ini.[2] (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5:303)

Selain itu, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 telah memutuskan bahawa:

  • Harus menggali semula tanah perkuburan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak atau darurat dengan sebab-sebab tertentu yang diharuskan oleh syarak.
  • Harus menggali semula tanah perkuburan untuk digunakan bagi mengebumikan mayat yang baru setelah dikenal pasti oleh pihak berkuasa bahawa mayat tersebut telah pun reput.[3]

Berdasarkan pernyataan di atas, terdapat beberapa keadaan yang diharuskan untuk digali semula kubur tersebut. Ia diharuskan apabila terdapat keperluan yang mendesak dan darurat serta beberapa sebab lain yang dibenarkan syarak seperti jenazah tertelan benda berharga dan seumpamanya.

Oleh yang demikian, gigi palsu yang biasa tidak dikira sebagai benda berharga yang diharuskan untuk digali semula kubur bagi mengambilnya. Di samping itu, tiada keperluan yang mendesak dan darurat lain yang menyebabkan kubur tersebut perlu digali semula. Oleh itu, tidak mengapa jika sekiranya tidak diambil semula gigi palsu yang ditanam bersama jenazah bagi menjaga kehormatan jenazah dan menghindarinya daripada sebarang fitnah.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Rajab Nauri Musyawwih, t.t, Dalil al-Muhtaj, Maktabah Syamilah, jld. 1, hlmn. 242.

[2] Al-Nawawi, Yahya Bin Syaraf, t.t, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 5, hlmn. 303

[3] Rujuk laman sesawang: http://www.epusara.jawi.gov.my/epusara/webV5/content/123