Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-589: HUKUM MENELAN DARAH YANG BERADA DI DALAM MULUT KETIKA SOLAT

gigi 2

 

Soalan

Assalamualaikum. Baru-baru ini saya ada pergi ke klinik gigi untuk mencabut gigi bongsu. Kesan daripada pembedahan kecil tersebut, banyak darah yang keluar daripada celahan gigi dan proses untuk kawasan itu kering mengambil masa beberapa hari.

Permasalahan yang timbul, semasa ingin solat, darah keluar agak banyak dan saya tak selesa dengan keadaan tersebut. Saya syak punca jadi begitu sebab saya tak letak kapas di kawasan tersebut. Tujuannya supaya lebih selesa membaca bacaan dalam solat tapi lain pula jadinya.

Apakah yang perlu saya lakukan? Adakah dibolehkan untuk menelan darah tersebut? Mohon pencerahan.

 

Ringkasan Jawapan

Tidak dibenarkan menelan darah kerana ia merupakan najis kotoran yang haram ditelan dan diminum. Bahkan dalam mazhab Syafie menyebut perbuatan makan dan minum termasuklah menelan darah boleh membatalkan solat sekiranya dibuat secara sengaja dan kuantitinya banyak walaupun pelakunya tidak mengetahui perihal keharamannya.

Sebagai jalan keluar, hendaklah menyediakan kain seperti sapu tangan, tisu dan sebagainya sebelum memulakan solat. Kemudian, darah yang penuh diludah ke arah kain yang dibawa bersama. Seterusnya, lipat dan tutup kain tersebut supaya darah tersebut tidak terkeluar. Sebaiknya diasingkan kain tersebut daripada anggota badan sebagai langkah paling berjaga-jaga (ahwat). Namun, sekiranya dikhuatiri mengotori kawasan masjid, maka dibolehkan untuk menyimpan kain tersebut dalam kocek seluar, kocek baju dan sebagainya dan solatnya tetap sah.

Dalam masa yang sama, sekiranya pendarahan berlaku sebelum solat didirikan, sebaiknya menunggu darah tersebut berhenti terlebih dahulu lebih-lebih lagi dalam keadaan waktu solat masih panjang. Sekiranya waktu sudah terhad, boleh lakukan sepertimana yang dicadangkan di atas.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Berdasarkan soalan di atas, kami mulakan perbahasan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: “Aku tidak mendapati dalam perkara yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang hendak memakannya melainkan benda itu berupa bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor...”

Surah al-An’am (145)

Ayat di atas menerangkan bahawa darah yang mengalir tidak kira datang daripada haiwan mahupun manusia merupakan perkara yang dianggap kotor dan najis apatah lagi dalam kuantiti yang banyak.

(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/44)

Berkenaan isu menelan darah ketika solat, kami melihat ia tidak dibenarkan atas sebab darah merupakan najis kotoran yang haram ditelan dan dimakan melainkan dalam keadaan darurat dan tiada alternatif lain.

Bahkan dalam mazhab Syafie menyebut perbuatan makan dan minum boleh membatalkan solat sekiranya dibuat secara sengaja dan kuantitinya banyak walaupun pelakunya tidak mengetahui perihal keharamannya.

(Rujuk: al-Mu’tamad, 1/230)

Terdapat hadis yang menawarkan jalan keluar terhadap permasalahan yang berlaku. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

 إنَّ أحَدَكُمْ إذا قامَ في صَلاتِهِ، فإنَّما يُناجِي رَبَّهُ أوْ رَبُّهُ بيْنَهُ وبيْنَ قِبْلَتِهِ، فلا يَبْزُقَنَّ في قِبْلَتِهِ، ولَكِنْ عن يَسارِهِ أوْ تَحْتَ قَدَمِهِ، ثُمَّ أخَذَ طَرَفَ رِدائِهِ، فَبَزَقَ فيه ورَدَّ بَعْضَهُ على بَعْضٍ، قالَ: أوْ يَفْعَلُ هَكَذا

Maksudnya: “Apabila salah seorang di antara kalian berdiri menunaikan solat, sesungguhnya dia sedang berhadapan dengan Tuhannya, atau sesungguhnya Tuhannya antara dia dan kiblat, maka janganlah dia meludah ke arah kiblat, tetapi lakukanlah ke arah kirinya atau ke bawah telapak kakinya (kirinya)." Kemudian Nabi SAW memegang bahagian hujung kainnya dan meludah di dalamnya, setelah itu baginda melipat kain tersebut lantas berkata: “Atau beliau melakukan sebegini”.

Riwayat al-Bukhari (405)

Hadis di atas mengajarkan kepada mereka yang merasa tidak selesa menanggung darah yang penuh di mulut. Caranya, meludah darah tersebut ke arah kain seperti sapu tangan, tisu, baju atau seumpama dengannya.

Kain tersebut sebaiknya diasingkan daripada badan dan diri bagi mengelakkan daripada menanggung najis. Namun begitu, sekiranya sukar dilakukan dan ditakuti mengotorkan kawasan masjid maka dibenarkan untuk menyimpannya di kawasan seperti poket baju dan sebagainya melihat kepada status darah tersebut merupakan sebahagian daripada najis yang dimaafkan.

Di samping itu, meletakkan gauze (kain kasa) bagi menyerap darah-darah yang keluar daripada celahan gigi sebelum memulakan solat supaya tidak terkumpul menjadi lebih banyak lantas menyebabkan keadaan kurang selesa.

Syeikh Zainuddin al-Ma’bari membahaskan isu ini dalam kitabnya:

وتصح صلاة من ‌أدمى ‌لثته قبل غسل الفم إذا لم يبتلع ريقه فيها لان دم اللثة معفو عنه بالنسبة إلى الريق. ولو رعف قبل الصلاة ودام فإن رجا انقطاعه والوقت متسع انتظره وإلا تحفظ كالسلس

Maksudnya: Sah solat bagi mereka yang gusinya berdarah walaupun belum membasuh mulut selagi mana tidak tertelan air liur yang bercampur darah tersebut. Hal ini kerana darah yang keluar daripada gusi merupakan kategori darah yang dimaafkan. Namun, sekiranya darah tersebut keluar sebelum solat dimulakan dan berterusan selepasnya, maka hukumnya mengikut situasi. Pertamanya, sekiranya pendarahan tersebut dijangka dapat terhenti dan waktu solat masih panjang maka perlu tunggu. Jika sebaliknya, maka teruskan sahaja solat sepertimana kes al-Salis (kencing tak lawas).

(Rujuk: Fath al-Mu’in Bi Syarh Qurrah al-‘Ain, m/s 82)

Berkenaan risiko pembacaan dalam solat yang kurang tepat khususnya berkaitan rukun-rukun Qauli seperti takbiratul ihram, al-Fatihah, bacaan tahiyat, selawat dan salam, hukumnya tetap sah melihat kepada keadaan dan situasi darurat yang menimpa dengan syarat tidak berubah makna, huruf serta baris ayat secara sengaja.

(Rujuk: al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, 146-147)

Imam al-Hatthab Rhm. turut mengulas perkara ini menyebut:

‌إذَا ‌وَقَعَ ‌اللَّحْنُ ‌مِنْ ‌الْمُصَلِّي ‌فِي ‌الصَّلَاةِ، فَلَا يَخْلُو: إمَّا أَنْ يَكُونَ سَهْوًا أَوْ غَيْرَ سَهْوٍ فَإِنْ كَانَ سَهْوًا، فَلَا شَكَّ أَنَّ ذَلِكَ لَا يُبْطِلُ الصَّلَاةَ سَوَاءٌ وَقَعَ فِي الْفَاتِحَةِ أَوْ فِي غَيْرِهَا، وَسَوَاءٌ غَيَّرَ الْمَعْنَى أَمْ لَمْ يُغَيِّرْهُ؛ لِأَنَّ غَايَتَهُ أَنْ يَكُونَ ذَلِكَ بِمَنْزِلَةِ مَنْ تَكَلَّمَ فِي الصَّلَاةِ سَهْوًا، وَذَلِكَ لَا يُبْطِلُهَا،

Maksudnya: “Seseorang yang melakukan kesalahan (bacaan) dalam solat tidak terlepas daripada dua keadaan; iaitu lalai ataupun tidak. Sekiranya sedang lalai, tiada keraguan lagi bahawa keadaan tersebut tidak membatalkan solat sama ada berlaku ketika membaca al-Fatihah mahupun lain-lain surah. Begitu juga, tidak kira sama ada maknanya berubah mahupun tidak. Hal ini kerana kedudukannya sama seperti seseorang yang bercakap ketika solat dalam keadaan lalai sedangkan perkara tersebut tidak membatalkan solat”.

(Rujuk: Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, 2/102)

Pendekatan sebegini disokong dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِذا أَمَرْتُكُمْ بشيءٍ فَأْتُوا منه ما اسْتَطَعْتُمْ، وإذا نَهَيْتُكُمْ عن شيءٍ فَدَعُوهُ

Maksudnya: “Maka apabila aku memerintahkan kamu dengan suatu urusan, lakukanlah sekadar yang termampu dan apabila aku melarang kamu daripada sesuatu urusan, jauhilah ia.”

Riwayat Muslim (1337)

Akhirnya, apabila Syariah menetapkan sesuatu perkara, ia juga memberikan kemudahan dan jalan keluar kepada hambanya khususnya mereka yang berada dalam kesulitan. Semoga Allah mudahkan urusan kita semua. 

Wallahu a’lam.

Rujuk juga:

1) https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1040-al-kafi-489-adakah-batal-solat-jika-membaca-al-fatihah-tanpa-tajwid