IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-595: DAGING KULTUR (CULTURED MEAT) MENURUT PERSPEKTIF SYARAK

if_595.JPG

DAGING KULTUR (CULTURED MEAT) MENURUT PERSPEKTIF SYARAK

Soalan

Apakah pandangan hukum menurut syarak berkenaan dengan daging kultur (Cultured Meat) yang diproses melalui pengambilan sel daripada haiwan yang masih hidup.

Ringkasan Jawapan

Status halal daging kultur (Cultured Meat) hendaklah dipastikan berdasar sumber tisu yang diambil. Secara asasnya, proses pengkulturan daging tersebut hendaklah diteliti dari beberapa aspek:

  • Sumber penghasilan daging kultur hendaklah diambil dari haiwan yang halal dimakan dengan berpandukan kaedah-kaedah yang telah ditepkan syarak. Begitu juga pengambilan tisu tersebut hendaklah bukan daripada bahagian yang najis dari haiwan seperti darah dan tinja.
  • Hendaklah dipastikan dari sudut keselamatan penggunaannya dan sekiranya boleh mendatangkan kemudaratan maka hukum memakan daging kultur tersebut adalah diharamkan.

Huraian Jawapan

Perkembangan teknologi di zaman era globalisasi ini merupakan nikmat dan kelebihan akal yang diberikan Allah SWT kepada manusia. Namun ia hendaklah digunakan selari serta mengikut lunas-lunas syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Secara ringkasnya, penghasilan daging kultur (Cultured Meat) iaitu daging yang dicipta di dalam makmal dengan menggunakan tisu yang diambil daripada sel haiwan. Melalui kaedah bioteknologi dengan menerusi teknik pembiakan tisu, yang ditumbuh daripada cebisan sel daging haiwan di atas media khas dalam bekas khusus.[1]

Penggunaan daging kultur ini telah diluluskan oleh Singapura, dan ia merupakan negara pertama yang telah meluluskannya serta dipasarkan secara kormesial oleh syarikat Eat Just. Daging kultur ini juga telah dihidangkan kepada tetamu ketika menghadiri acara pelancaran produk tersebut.[2]

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, Islam telah menetapkan beberapa garis panduan bagi menentukan halal dan haram dalam makanan. Secara asasnya, setiap makanan adalah halal melainkan apa yang telah di haramkan syarak seperti binatang yang tidak disembelih mengikut syarak, darah, babi dan selainnya. Ini berdasarkan Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala;

(Surah al-Ma’idah, 3)

Oleh itu, dalam menentukan status halal daging kultur tersebut, hendaklah dipastikan proses pengambilan tisu tersebut menepati garis panduan yang telah ditetapkan syarak. Justeru itu, ia perlu diteliti dari segi beberapa aspek iaitu:

  • Sekiranya tisu tersebut diambil daripada anggota badan haiwan, maka hendaklah haiwan itu diklasifikasikan sebagai haiwan yang halal dimakan seperti lembu, kambing dan seumpanya serta disembelih dengan mengikut lunas Islam. Firman Allah SWT:

لْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ۖ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ

Maksudnya: Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).

(Surah al-Ma’idah,5)

Pengambilan tisu ini boleh dihukum sebagai mengambil bahagian haiwan yang terputus atau terpisah daripadanya. Sekiranya tisu tersebut diambil ketika haiwan masih hidup atau mati tanpa disembelih, maka ia dihukum sebagai bangkai dan haram dimakan. Sebaliknya, jika ia diambil dari haiwan yang sudah mati disembelih mengikut syarak, maka halal untuk dimakan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Waqid bin al-Laith, Nabi SAW bersabda:

مَا قُطِعَ مِنَ الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ فَهُوَ مَيْتَةٌ.

Maksudnya: Sesuatu yang terputus daripada haiwan ternakan ketika ia hidup, maka ia (anggota yang terputus) adalah bangkai

Riwayat al-Tirmizi (1480)

Begitu juga yang disebut oleh Imam Khatib al-Syirbini di dalam karyanya:

أَمَّا الْمُنْفَصِلُ مِنْهُ بَعْدَ مَوْتِهِ فَحُكْمُهُ حُكْمُ مَيْتَتِهِ بِلَا شَكٍّ

Maksudnya: Adapun sesuatu yang terpisah daripadanya (haiwan) selepas kematiannya (tanpa disembelih) maka hukumnya seperti hukum bangkai tanpa syak.[3]

Selain itu, tisu yang diambil daripada susu, hendaklah daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya dan jika sebaliknya maka diharamkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهِ مِن بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِّلشَّارِبِينَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.

(Surah al-Nahl, 66)

  • Sementara itu, pengambilan tisu daripada darah haiwan sama ada daripada haiwan yang halal atau haram, disembelih atau tidak ia tetap dihukum haram. Ini kerana darah merupakan najis dan haram dimakan. Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya),

(Surah al-Ma’idah, 3)

  • Pengambilan tisu daripada haiwan laut adalah halal dimakan. Ini kerana haiwan laut dikategorikan sebagai haiwan yang halal dimakan bangkainya dan tidak perlu disembelih seperti haiwan darat. Oleh itu, penggunaan sel daripadanya untuk dijadikan daging kultur adalah halal kerana sumber asalnya adalah halal. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; 

(Surah al-Maidah, 96)

Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-26 yang bersidang pada 7-8 Mac 1990 telah membincangkan Penggunaan Agen Aktif Dalam Makanan. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan agen aktif permukaan di dalam makanan adalah harus dengan syarat sumber-sumber agen aktif permukaan tersebut diperolehi daripada tanaman dan sekiranya daripada binatang hendaklah binatang halal yang disembelih menurut secara Islam.[4]

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, secara asasnya status halal daging kultur (cuture meat) hendaklah diteliti dan dipastikan dari sudut prosesnya pengambilan tisunya, iaitu hendaklah diambil daripada sumber yang halal.

Selain itu, kajian secara lebih terperinci hendaklah dijalankan oleh pihak yang berautoriti memandangkan daging kultur ini merupakan satu isu yang baharu. Begitu juga, hendaklah dikenalpasti dari sudut kesihatan dan keselamatan serta tidak mendatangkan kemudaratan. Hal ini juga merupakan perkara yang telah ditetapkan oleh syarak bertujuan untuk menjaga nyawa seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Samit RA, bahawa Nabi SAW memerintahkan bahawa:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh mendatangkan kemudharatan dan memberi kemudharatan

Riwayat Ibnu Majah (2340)

Wallahu’alam

 

[1] Rujuk, https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2018/10/492232/mencari-solusi-status-halal-daging-kultur

[2] Rujuk, https://www.sinarharian.com.my/article/115806/GLOBAL/Inovasi-daging-kultur

[3] Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Syamsuddin al-Khatib al-Syirbini, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H

[4] Rujuk, Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2015M, hlm. 170


Print   Email