Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-603: HUKUM MEMBAYAR CUKAI TANAH MELALUI HARTA FARAID YANG BELUM DIBAHAGIKAN

cukai 2

 

Soalan

Assalamualaikum Pejabat Mufti. Saya ingin mengemukakan satu soalan berkait dengan harta faraid. Sudi kiranya jika pihak pejabat Mufti menjawab persoalan saya. Ayah saya telah meninggal dunia awal Disember 2020 yang lalu dan meninggalkan seorang balu, ibu saya dan tiga orang anak termasuk saya (2 lelaki, 1 perempuan).

Ayah saya meninggalkan beberapa harta berupa tanah dan juga 2 buah rumah. Harta-harta ini sedang melalui proses pusaka kecil di Pejabat Tanah. Tanah dan sebuah rumah sedang disewakan dan sejak selepas kematian Arwah bayaran sewa disimpan oleh saya dan ibu saya. Soalan saya:

1. Adakah hasil sewa tanah dan rumah termasuk dalam harta faraid?

2. Sekiranya ia harta faraid, bolehkah hasil sewa tersebut digunakan untuk membayar cukai tanah bagi  tanah serta rumah yg tersebut serta lain2 kos asas seperti utiliti (arwah ayah menggunakan hasil sewa ini bagi membiayai kos2 tersebut).

Saya berharap pihak pejabat Mufti dapat menjawab kemusykilan saya ini. Lebih2 lagi sebagai seorang muslim, saya risau takut-takut termakan hak orang lain. Sekian, terima kasih.

 

Jawapan Ringkas

Pertama: Hasil sewa tanah dan rumah termasuk dalam harta faraid kerana ia merupakan harta yang bernilai yang dimiliki oleh arwah semasa hayatnya dan berterusan sehingga kematiannya.

Kedua: Hasil sewa tersebut boleh digunakan untuk membayar kos pengurusan seperti cukai tanah dan lain-lain yang bersangkutan sekiranya harta tersebut masih belum dibahagikan. Sekiranya sudah dibahagikan dan hanya sebahagian waris yang memiliki tanah atau rumah tersebut, maka cukai tanah tersebut hanya ditanggung oleh pemiliknya sahaja.

 

Huraian Jawapan

Pertamanya, apabila seseorang meninggal dunia, segala hartanya akan diklasifikasikan sebagai harta pusaka. Berdasarkan penetapan daripada pihak Baitulmal MAIWP[1], harta pusaka atau harta peninggalan ialah semua harta yang mempunyai nilai dan dimiliki semasa hayatnya serta berterusan sehingga kematiannya. Harta-harta itu termasuklah:

  • Semua harta yang diperolehi secara halal melalui jual beli, hibah, wasiat, pembahagian pusaka, hadiah, sedekah dan sebagainya.
  • Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati.
  • Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya.
  • Dividen/faedah yang terbit daripada harta si mati.
  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Barang yang terbit selepas kematiannya dari usaha semasa hayatnya, misalnya ikan yang masuk ke dalam bubu yang ditahan oleh si mati.

Berdasarkan pembahagian kategori harta di atas, rumah dan tanah yang disewakan arwah ketika hayatnya merupakan harta yang dikategorikan sebagai harta pusaka yang wajib dibahagikan kepada ahli waris yang ditetapkan Syarak seperti isteri (balu) dan anak-anaknya berdasarkan situasi di atas.

Berhubung soalan kedua pula, apabila seseorang telah meninggal dunia terdapat beberapa hak dan kewajipan yang terkait dengan harta peninggalan arwah yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum dibahagikan kepada ahli waris.

Antara kewajipannya adalah seperti berikut:

  • Hendaklah mendahulukan belanja kematian dan pengebumian daripada harta peninggalan si mati.
  • Melangsaikan hutang si mati sama ada hutang dengan Allah dan hutang dengan manusia. (Jika berkait pada harta peninggalan itu hak seperti zakat, gadaian dan sebagainya hendaklah didahulukan daripada belanja kematian dan pengebumian)
  • Melaksanakan segala wasiat daripada 1/3 baki si mati berdasarkan ketetapan syarak.
  • Pembahagian pusaka dikalangan ahli waris jika harta masih berbaki.

(Lihat: Matla’ al-Badrain susunan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2/238)

Melihat kepada senarai di atas, cukai tanah beserta kos asas seperti utiliti tidak termasuk dalam perkara yang wajib ditanggung daripada harta faraid secara umum sebaliknya ia berbalik kepada tuan punya harta selepas berlaku pembahagian.

Hal ini kerana apabila setiap ahli waris mendapat bahagian masing-masing, maka mereka mempunyai hak penuh bagi menentukan bagaimana sesuatu harta itu digunakan dan diuruskan. Pihak lain tidak berhak untuk memaksa dan mewajibkan ahli waris tersebut membelanjakan harta mengikut kemahuan mereka.

Adapun perkara yang biasa dilakukan arwah ketika hidupnya, ia tidaklah menjadi kewajipan kepada ahli waris untuk mengikutinya melainkan dijadikan sekadar panduan dan pedoman sahaja. Hal ini jelas melihat kepada konsep harta faraid iaitu waris yang ada berhak untuk memiliki dan mewarisi harta yang ditinggalkan oleh arwah.

(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/339)

Walau bagaimanapun, sekiranya pembahagian rumah masih tidak berlaku atas faktor masih disewakan kepada orang lain dalam masa yang sama pemilikan hanya diketahui secara peratusan atau pecahan, maka segala kos pengurusan seperti kos cukai tanah dan utiliti tersebut perlu ditanggung oleh ahli waris bersama-sama. Lihat artikel kami, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3875-al-kafi-1472-hukum-menggunakan-wang-pusaka-bagi-membiayai-kos-pengurusan-harta-pusaka.

Sekiranya sudah dibahagikan dan hanya sebahagian waris yang memiliki tanah atau rumah tersebut, maka cukai tanah tersebut hanya ditanggung oleh pemiliknya sahaja.

Sebagai contoh, dua buah kereta dimiliki oleh dua orang anak lelaki manakala rumah dimiliki emak dan anak perempuan secara bersama. Maka kos pembayaran cukai rumah dan lain-lain yang berkaitan hanya dibayar oleh pemilkinya sahaja.

Kadar kewajipan bergantung kepada peratusan pemilikan terhadap sesuatu harta melainkan terdapat ahli waris yang secara sukarela ingin menanggung keseluruhan kos tersebut. Hal ini dibincangkan secara terperinci dalam bab Takharuj (melepaskan hak). al-Takharuj bermaksud,

التَّخَارُجُ هُوَ أَخْذُ بَعْضِ الْوَرَثَةِ مَالًا مَعْلُومًا مِنْ الْوَرَثَةِ الْآخَرِينَ مُقَابِلَ حِصَصِهِمْ الْإِرْثِيَّةِ

Maksudnya: “al-Takharuj ialah sebahagian ahli waris mengambil sebahagian hak yang dimiliki ahli waris yang lain sebagai pertukaran bahagian-bahagian faraid mereka.

(Rujuk: Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, 4/48)

Oleh itu, setiap harta peninggalan yang dibahagikan secara sulh (perdamaian) atau persetujuan antara ahli waris dengan kaedah reda atau sesama suka, maka ia dibenarkan kerana bahagian faraid itu terserah kepada para waris untuk melepaskan haknya sama ada secara percuma atau diganti dengan harta yang lain.

(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/513)

Sebagai kesimpulan, sewajarnya setiap ahli waris perlu memahami hukum-hakam berkaitan konsep harta faraid beserta kaedah pembahagiannya supaya tidak terjerumus dalam dosa mengambil harta orang lain tanpa hak sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja. Oleh itu, harta perlu difaraidkan tanpa perlu menangguhkan pembahagian kerana urusan ini melibatkan hak orang lain. Jika tidak dibahagikan mengikut ketetapan faraid, maka boleh dibahagikan mengikut bahagian yang diredai oleh ahli-ahli waris yang layak.

Wallahu a’lam.

 

[1] Lamanweb: https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/2015-11-20-07-49-26/faraid-pusaka