IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-607: ADAKAH BAPA WAJIB MEMBAYAR ZAKAT FITRAH UNTUK ANAK YANG MASIH BERSEKOLAH TETAPI MEMPUNYAI SUMBER PENDAPATAN SENDIRI?

IF 607

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ada persoalan. Saya mempunyai seorang anak yang masih bersekolah, tetapi dia sudah pandai mencari pendapatan sendiri menggunakan kemudahan teknologi sekarang dan kadangkala pendapatan yang diperolehi tersebut melebihi pendapatan saya. Soalan saya adalah, adakah saya wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya atas dasar dia di bawah tanggungan saya atau dia perlu keluarkan sendiri zakat tersebut?

 

Jawapan Ringkas

Tidak wajib bagi seorang bapa untuk membayar zakat fitrah bagi anaknya yang telah mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri sekalipun masih bersekolah kerana keadaan tersebut menyebabkan terputusnya kewajipan bagi seorang bapa untuk menafkahinya. Oleh itu, bapa tersebut perlu menerangkan kepada anaknya tentang kewajipan dirinya itu yang perlu ditunaikan. Namun begitu, seorang bapa boleh membayarkan zakat fitrah bagi pihak anaknya atas dasar belas ihsan dengan syarat telah mendapat keizinan daripada anaknya.

 

Huraian Jawapan

Zakat fitrah adalah zakat yang dikenakan pada individu. Seseorang yang telah cukup syarat wajib bayar zakat perlu segera menunaikannya. Kewajipan untuk membayar zakat fitrah tidak meletakkan syarat seseorang itu mestilah seorang dewasa. Syarat wajib zakat fitrah adalah sebagaimana berikut:

1. Islam

2. Waktu (Malam hari raya dan siangnya)

3. Mempunyai kemampuan

(Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 97-98)

 

Ini bermakna, seorang kanak-kanak yang mencukupi syarat-syarat wajib tersebut diwajibkan untuk menunaikan kewajipan membayar zakat tersebut. Lazimnya, bagi individu yang berkeluarga, orang yang bertanggungjawab untuk membayar zakat fitrah bagi orang yang berada di bawah tanggungannya adalah bapa/suami.

 

Bagi konteks seorang bapa dan anak, seorang bapa perlu membayar zakat fitrah bagi anaknya sekiranya masih lagi di bawah tanggungannya. Sekiranya anak tersebut telah mempunyai kemampuan untuk bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri maka bapa tidak boleh membayar zakat fitrah untuknya melainkan mendapat keizinan daripada anaknya. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie h.99)

 

Keadaan ini dapat dilihat melalui apa yang dinyatakan oleh Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Asna al-Matalib:

أَمَّا مَنْ ‌لَا ‌تَجِبُ عَلَيْهِ نَفَقَتُهُ فَلَا تَجِبُ عَلَيْهِ فِطْرَتُهُ

Maksudnya: Bagi sesiapa yang tidak diwajibkan nafkah ke atasnya maka tidak wajib zakat fitrah untuk anaknya itu. (Rujuk Asna al-Matalib 388/1)

 

Oleh kerana itu, seorang kanak-kanak yang mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri termasuk juga dalam perbincangan yang dinyatakan. Seorang bapa tidak wajib membayar zakat fitrah untuk anaknya itu kerana telah terputus tanggungjawab memberi nafkah kepada anak tersebut disebabkan dia sudah mampu untuk menjana sumber pendapatan sendiri. Perbahasan ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Syeikh Zakaria al-Ansari berikut:

لَا تَجِبُ عَلَى الْأَبِ فِطْرَةُ وَلَدٍ لَهُ مَلَكَ قُوتَ يَوْمِ الْعِيدِ وَلَيْلَتِهِ فَقَطْ أَوْ قَدَرَ عَلَى كَسْبِهِ وَلَوْ صَغِيرًا لِسُقُوطِ نَفَقَتِهِ عَنْهُ

Maksudnya: Tidak wajib bagi seorang bapa untuk membayar zakat fitrah untuk anaknya yang mempunyai makanan asasi yang mencukupi untuk siang hari raya dan malamnya sahaja atau dia mampu untuk mencari sumber pendapatan sendiri walaupun masih kecil kerana situasi itu menyebabkan terputusnya tanggungjawab nafkah bapa terhadap anaknya itu. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 314/3; Asna al-Matalib 388/1)

 

Bahkan dalam keadaan ini, tidak sah zakat fitrah yang dibayar oleh seorang bapa untuk anaknya yang sudah mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 314/3; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie h.99)

 

Kesimpulan

Tidak wajib bagi seorang bapa untuk membayar zakat fitrah bagi anaknya yang telah mempunyai kemampuan untuk menjana sumber pendapatan sendiri sekalipun masih bersekolah kerana keadaan tersebut menyebabkan terputusnya kewajipan bagi seorang bapa untuk menafkahinya. Oleh itu, bapa tersebut perlu menerangkan kepada anaknya tentang kewajipan dirinya itu yang perlu ditunaikan. Namun begitu, seorang bapa boleh membayarkan zakat fitrah bagi pihak anaknya atas dasar belas ihsan dengan syarat telah mendapat keizinan daripadanya anaknya tersebut.

 

Wallahualam.


Print   Email