Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-612: HUKUM MENGGUNAKAN DUIT REFUND DARIPADA GRAB FOOD

612

 

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanya tentang hukum menggunakan duit grab food yang dikembalikan semula. Saya telah membeli dengan menggunakan perkhidmatan Grab Food dan membayar menggunakan E-Wallet (GrabPayWallet). Makanan tersebut tidak sampai ke rumah dan saya menghubungi syarikat GrabFood untuk bertanya tentang status makanan yg saya order.  Katanya makanan telah completed order dan dihantar tapi tidak sampai ke rumah saya kerana nombor saya tidak dapat dihubungi.  Pihak GrabFood kata mereka akan refund duit dalam masa 24@48 jam. Adakah duit tersebut boleh saya gunakan kerana memang kesalahan itu daripada pihak saya kerana masalah telefon menyebabkan pemandu tersebut tidak dapat menghubungi saya. Jadi sepertinya pihak Grab Food perlu menanggung kerugian tersebut disebabkan kesalahan saya sendiri.

 

Ringkasan Jawapan

Sekiranya pelanggan atau pembeli tersebut tidak menerima barang yang dipesannya, maka dia boleh menggunakan pulangan wang (refund) yang diterima daripada Grab kerana wang tersebut memang miliknya. Namun begitu, sekiranya dia menerima barang tersebut maka dia perlu memberikan wang tersebut kepada pihak yang berhak iaitu pemilik kedai yang dibuat pesanan tersebut. Oleh kerana itu, pelanggan perlu berhubung dengan khidmat pelanggan Grab atau secara langsung dengan pemilik kedai untuk menyerahkan wang tersebut.

 

Huraian Jawapan

Syarikat Grab menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan yang dinamakan sebagai Grab Food di mana pelanggan akan membuat pesanan makanan yang disediakan oleh pemilik-pemilik restoran berdaftar dalam Grab Food dan Grab melalui ridernya akan menghantar makanan tersebut kepada pelanggan. Antara syarat yang ditetapkan bagi pelanggan yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut adalah pelanggan perlu membayar terlebih dahulu (menggunakan kad debit/kredit atau e-wallet grab) sebelum penghantaran makanan dilakukan.

 

Selepas pesanan dibuat, Grab akan memegang terlebih dahulu duit pelanggan tersebut sebelum diberikan kepada pemilik kedai berkenaan. Sekiranya berlaku kejadian seperti barang tidak sampai ataupun pesanan yang dibuat tidak cukup, pihak Grab akan memulangkan wang tersebut atau sejumlah yang tertentu kepada pelanggan.

 

Bagi persoalan yang diajukan, terdapat beberapa aspek yang perlu diperhatikan:

1. Adakah pelanggan tersebut menerima barang yang dipesan?

2. Adakah pelanggan tersebut hanya menerima pulangan wang (refund) sahaja?

 

Bagi keadaan kedua, kami tidak melihat sebarang masalah untuk pelanggan tersebut menggunakan wang tersebut kerana wang itu pada asalnya adalah miliknya. Oleh kerana serah terima barang tidak berlaku, maka dia berhak untuk mendapatkan kembali wangnya.

 

Namun begitu, sekiranya pelanggan tersebut menerima barang yang dipesan dan dalam masa yang sama menerima pulangan wang (refund), maka dia perlu menyerahkan wang tersebut kepada pemilik kedai tersebut atau kepada pihak Grab. Ini adalah kerana kemungkinan berlaku masalah teknikal pada transaksi tersebut. Bagi keadaan ini, menggunakan wang refund tersebut adalah salah kerana sepatutnya ia menjadi milik pemilik kedai tersebut.

 

Islam amat melarang umatnya untuk memakan harta orang lain dengan cara yang salah seperti merampas, judi serta dengan cara-cara yang zalim. Justeru, harta yang sepatutnya menjadi milik orang lain perlu diserahkan kepada pemilik yang berhak. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.

Surah al-Baqarah (188)

 

Imam al-Tha’labi mentafsirkan ayat ini menyatakan jalan yang bathil dimaksudkan dengan jalan-jalan yang dilarang oleh Allah SWT.

من غير الوجه الذي أباحه الله تعالى

Maksudnya: Daripada jalan yang tidak dibenarkan oleh Allah (Rujuk Tafsir al-Tsa’labi 9/5)

 

Manakala al-Mawardi pula memperincikan berkenaan jalan yang bathil tersebut boleh berlaku dalam bentuk merampas harta orang lain atau dengan cara-cara yang boleh menzaliminya ataupun dengan cara berjudi dan hiburan.

فيه تأويلان: أحدهما: بالغصب والظلم. والثاني: بالقمار والملاهي.

Maksudnya: Padanya dua maksud; Pertama dengan cara merampas atau kezaliman. Kedua dengan cara judi dan hiburan. (Rujuk Tafsir al-Mawardi 248/1)

 

Al-Baghawi juga menyatakan perkara yang sama, jalan yang bathil tersebut boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu intipatinya memang haram seperti mencuri dan merampas ataupun melalui perkara yang melalaikan seperti berjudi dan sebagainya.

قَدْ يَكُونُ بِطَرِيقِ الْغَصْبِ وَالنَّهْبِ وَقَدْ يَكُونُ بِطَرِيقِ اللَّهْوِ كَالْقِمَارِ وَأُجْرَةِ الْمُغَنِّي وَنَحْوِهِمَا

Maksudnya: Sesungguhnya ia (makan harta dengan cara yang bathil) boleh berlaku dengan cara rampasan dan mencuri, dan boleh juga berlaku dengan cara yang melalaikan seperti judi dan upah penyanyi dan sebagainya. (Rujuk Tafsir al-Baghawi 210/1)

 

Oleh kerana itu, dapat difahami bahawa jalan yang bathil yang dinyatakan dalam ayat tersebut adalah bersifat umum dan setiap cara atau bentuk memakan harta orang lain dengan cara yang salah termasuk dalam larangan yang dinyatakan.

 

Kesimpulan

Sekiranya pelanggan atau pembeli tersebut tidak menerima barang yang dipesannya, maka dia boleh menggunakan pulangan wang (refund) yang diterima daripada Grab kerana wang tersebut memang miliknya. Namun begitu, sekiranya dia menerima barang tersebut maka dia perlu memberikan wang tersebut kepada pihak yang berhak iaitu pemilik kedai yang dibuat pesanan tersebut. Oleh kerana itu, pelanggan perlu berhubung dengan khidmat pelanggan Grab atau secara langsung dengan pemilik kedai untuk menyerahkan wang tersebut.

 

Wallahualam.