Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE - 616: HUKUM TANAM KANTA LEKAP (IMPLANTABLE CONTACT LENS)

 

KANTA

 

SOALAN

Assalammualaikum, Saya ada masalah rabun yang teruk dan tidak selesa untuk memakai cermin mata. Namun, kaedah pembedahan lasik mata tidak sesuai  bagi mereka yang rabun  berkuasa tinggi. Justeru, kaedah untuk  menyelesaikan  rabun yang sangat tinggi  adalah  menanam kanta lekap  pada mata saya. Persoalannya, bolehkah menanam kanta lekap pada mata yang bersifat kekal? Tambahan pula, sekarang dah ada pilihan kanta lekap yang  ditanam dimata yang tiada unsur khinzir.   Mohon pencerahan S.S Mufti

Ringkasan Jawapan:

Rawatan alternatif menanam kanta mata (implantable contact lens) ICL adalah dibolehkan bagi tujuan merawat  rabun yang tinggi  dengan memenuhi syarat-syarat berikut :

  • Warna contact lens yang dipilih mestilah sama dengan warna asal kanta mata.
  • Tidak mendatangkan sebarang kesan mudarat.
  • Memastikan memilih sumber bahan yang suci namun haram memilih ICL yang terdapat unsur najis khinzir kerana bukan kategori darurat.

Huraian Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Implantable Contact Lens / Implantable Colamer Lens

Kanta lekap yang diimplan ke dalam mata  adalah lensa buatan yang ditanamkan di antara iris dengan lensa semula jadi mata dan berfungsi memberikan penglihatan berkualiti tinggi. Kaedah ini sangat sesuai pada pesakit tertentu yang tidak sesuai untuk operasi pembiasan laser seperti  lasik .[1] Satu kelebihan penting ialah ICL boleh membaiki penglihatan secara kekal dan  boleh dikeluarkan dan  atau diganti apabila perlu.[2]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Adakah boleh merawat rabun mata yang berkuasa tinggi dengan cara   menanam kanta lekap yang bersifat kekal?

Pada asasnya Allah SWT melarang mengubah ciptaan-Nya yang bersifat kekal hanya semata-mata untuk kecantikan  tanpa hajat yang mendesak dan keperluan perubatan. Ini berdasarkan riwayat  Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: Allah SWT melaknat wanita-wanita yang melukis tatu dan wanita-wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita -wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan (renggang) gigi untuk kecantikan yang mana ia merubah ciptaan Allah SWT.

Riwayat Muslim (2125)

Imam al-Nawawi menyatakan makna perkataan “ li husni”   sebagai sebagai isyarat kepada hukum haram bagi tujuan menzahirkan kecantikan (Rujuk  al-Minhaj fi Syarh  Sahih Muslim,14/107).  Adapun jika ianya dilakukan kerana keperluan  perubatan maka diharuskan (Rujuk Fath al-Bari, 10/372-373)

Usaha mendapatkan rawatan amat dituntut oleh agama.  Sabda Nabi Muhammad  bersabda :

عن ابي هريرة رضى الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Allah tidak akan menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia akan menurunkan ubatnya”.

 Riwayat al-Bukhari (5678)

Imam Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis ini dengan menyatakan bahawa harus mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit,  selain menunujukkan isyarat semua kesembuhan dengan izin  Allah SWT. (Rujuk: A’lam al-Hadis Syarh Sahih al-Bukhari, 2104).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Muzakarah berpandangan bahawa Islam amat menekankan penjagaan kesihatan tubuh badan sebagai salah satu prinsip dalam  maqasid Syariah. Walaubagaimanapun, penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit adalah dilarang. Namun begitu, dalam keadaan-keadaan darurat atau terpaksa, terdapat kelonggaran yang diberikan dalam pengharaman ini demi untuk menghilangkan kesakitan dari tubuh badan. Dalam isu rawatan ICL ini, memandangkan penggunaannya bukan dalam keadaan dharurah dan umat Islam mempunyai banyak alternatif lain yang tidak meragukan dari aspek Syarak, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan kanta ICL (Implantable Collamer Lens) untuk rawatan mata yang diperbuat dari bahan kolagen khinzir adalah tidak diharuskan.[3]

Justeru itu, sekiranya  terdapat pilihan  kanta lekap ICL (Implantable  Contact Lens)  daripada bahan-bahan yang halal, maka diharuskan menanam kanta ICL  atas tujuan rawatan alternatif merawat rabun yang teruk.

Sementara itu, berkaitan memakai kanta lekap  warna   adalah tidak digalakkan  kerana unsur  penipuan, merubah ciptaan Allah, menunjuk-nunjuk serta bermegah-megah  mahupun  unsur tasyabbuh (menyerupai) dengan kanta  warna mata binatang. Perbahasan lanjut berkaitan kanta warna, rujuk perbahasan pada pautan  artikel berikut :

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 144 : HUKUM MEMAKAI KANTA LEKAP BEWARNA (https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1857-irsyad-al-fatwa-ke-143-hukum-memakai-kanta-lekap-contact-lens-berwarna)

Penutup

Rawatan alternatif menanam kanta lekap (implantable contact lens) untuk  memudahkan  penglihatan  yang lebih jelas  bagi  mereka yang rabun berkuasa tinggi tanpa perlu  memakai cermin mata. Justeru,  hukum  rawatan alternatif menanam kanta lekap (implantable contact lens) bersifat  kekal di mata  bagi keperluan merawat  adalah dibolehkan  untuk  mengatasi rabun yang tinggi  dengan  syarat-syarat  memilih warna contact lens yang sama dengan warna asal  kanta mata,  memastikan pemilihan kanta lekap yang  tiada unsur najis  seperti khinzir dan tidak memberi kesan mudarat pada mata.

 

[1] https://www.drishtieyecare.info/implantable-contact-lens

[2] https://www.vista.com.my/pages/implan-kanta-dalam-mata-icl/?lang=ms

[3] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10198