IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 622 : HUKUM BERBISIK-BISIK

 b

 

 

SOALAN

Assalammualaikum. Saya selalu dengar orang berkata “tak baik berbisik-bisik depan orang”. Benarkah terdapat larangan berbisik-bisik sesuatu didepan orang walaupun perkara rahsia? Mohon pencerahan. Terima kasih

Ringkasan Jawapan:

Hukum berbisik-bisik sesuatu rahsia yang terdapat orang ketiga disisinya adalah haram. Hal ini demikian kerana perkara tersebut boleh menimbulkan syak wasangka sesama manusia serta timbul rasa sedih  mahupun mencetuskan rasa sakit hati  pihak ketiga  yang berada bersamanya. Berbisik kategori makruh apabila dua orang bercakap dengan bahasa atau dialek yang tidak difahami oleh orang ketiga yang berada bersama mereka.    

Namun, pengecualian bagi mereka yang berbisik-bisik tanpa ada orang ketiga disisinya kerana membincangkan hal-hal kebaikan seperti menyuruh bersedekah  atau perancangan  mendamaikan manusia  yang bertujuan semata - mata mencari keredaan Allah SWT adalah dibenarkan. Seterusnya, tiada masalah berbual berdua-duan secara berbisik-bisik  sekiranya disekitarnya ada  kehadiran  orang melebihi 3 atau 4 orang disitu kerana telah  menghilangkan rasa curiga dan syak wasangka pihak ke-3.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Berbisik iaitu bercakap dengan suara yang perlahan oleh seseorang atau sesuatu kumpulan supaya tidak didengar orang lain disekitarnya [1]

Allah SWT maha mendengar segala  bisikan rahsia  manusia antara mereka yang terkandung perancangan jahat mahupun perancangan baik  berdasarkan firmanNYA:

  ‎(٨٠)أَمْ يَحْسَبُونَ أَنَّا لَا نَسْمَعُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَاهُم ۚ بَلَىٰ وَرُسُلُنَا لَدَيْهِمْ يَكْتُبُونَ 

Maksudnya “ Patutkah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar apa yang mereka sembunyikan (di dalam hati) dan apa yang mereka perkatakan (dengan berbisik) sesama sendiri? (Bukan sebagaimana yang mereka sangka) bahkan utusan-utusan Kami (malaikat) yang menjaga mereka, ada menulis segala yang mereka lakukan.”

Surah az-Zukhruf (80)

Berbisik-bisik untuk membuat perancangan perbuatan jahat adalah dilarang kecuali mereka berbisik tanpa orang ketiga berkaitan rancangan untuk berbuat kebajikan dan kebaikan seperti menyuruh bersedekah mahupun perancangan untuk mendamaikan manusia. Firman Allah SWT:

لَّا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا (١١٤)

Maksudnya “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.

 Surah al-Nisa’ (114)

Firman-Nya lagi:

  ( ٩ ) ‏يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَنَاجَيْتُمْ فَلَا تَتَنَاجَوْا بِالْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَمَعْصِيَتِ الرَّسُولِ وَتَنَاجَوْا بِالْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ 

 (١٠)  إِنَّمَا النَّجْوَىٰ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ الَّذِينَ آمَنُوا وَلَيْسَ بِضَارِّهِمْ شَيْئًا إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ 

Maksudnya “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah; dan (sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertaqwa. Dan hendaklah kamu tetap bertaqwa kepada Allah yang kepadaNya kamu semua akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan menerima balasan). (9) Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.”(10) 

Surah al-Mujaadalah (9-10)

Sehubungan itu, larangan berbisik-bisik berkaitan perkara maksiat dan mungkar melainkan berbisik-bisik untuk tujuan kebajikan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Seterusnya, berbisik-bisik berdua-duan tanpa melibatkan orang ketiga yang berada disekitarnya adalah dilarang kerana boleh menimbulkan syak wasangka dan kesedihan bagi pihak ketiga. Daripada Ibnu Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda :

إِذَا كُنْتُمْ ثَلَاثَةً، فَلَا يَتَنَاجَى اثْنَانِ دُونَ الْآخَرِ، حَتَّى تَخْتَلِطُوا بِالنَّاسِ , مِنْ أَجْلِ أَنَّ ذَلِكَ يُحْزِنُهٍ

MaksudnyaApabila  kalian berada seramai tiga orang, maka janganlah berbisik-bisik berdua-duaan tanpa mengajak sekali orang ketiga, sehingga kamu bercampur gaul dengan manusia (bertambah jumlah). Hal ini kerana berbisik boleh  membuat orang yang ketiga  bersedih.”  

Riwayat Muslim (2184)[2]

Berdasarkan zahir hadis ini, larangan itu membawa kepada hukum haram. Perkara ini dijelaskan oleh ulama Abdurrahman al-Bassam dalam kitabnya:

ظاهر الحديث: أن التناجي المذكور محرَّم؛ لأن النهي يقتضي التحريم، فإن لم يصل إلى درجة التحريم، فأقل الأحوال الكراهة الشديدة

 Zahir hadis ini menyatakan  bahawa berbisik-bisik yang disebutkan adalah haram, kerana  larangan membawa hukum  haram. Sekiranya tidak sampai keperingkat haram, maka dalam situasi yang sedikit ia sangat dibenci (makruh).  (Rujuk Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 7/294)

Rasulullah melarang dua orang berbisik-bisik secara rahsia yang terdapat disisinya  kehadiran orang  ketiga kerana wujudnya sebab (illah)  orang ketiga akan berasa sedih.

Kefahaman daripada hadis ini juga menunjukkan bahawa  larangan akan tergugur sekiranya berbisik-bisik berdua-duaan, kemudianya  sekitarnya melibatkan  kehadiran  ramai melebihi 3 atau 4 orang,  maka tiada masalah  kerana  telah menghilangkan rasa curiga pihak ketiga [3]. Oleh itu, dapat difahami bahawa dilarang berbisik-bisik berdua-duan yang terdapat individu ketiga   melainkan telah hadir  individu ke-4 atau lebih orang disekitarnya agar  tidak menguriskan hati dan menyedihkan seseorang.

Pengajaran daripada hadis ini menunjukkan bahawa kepentingan menjaga hati antara satu sama lain dalam menjaga ukhwah. Perbualan secara berbisik-bisik menyebabkan pihak ketiga akan berasa hati kerana tidak diperlukan dalam perbincangan antara mereka selain rasa tidak layak dan rasa keseorangan. Etika dalam  perhimpunan majlis adalah menunjukkan sikap keramahan, perbualan yang memberi manfaat dan   menyenangkan. Sementara itu, berbisik kategori makruh apabila dua orang bercakap dengan bahasa atau dialek yang tidak difahami oleh orang ketiga yang berada bersama mereka.    (Rujuk Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 7/293).[4]

Justeru, semua perkara yang boleh menyinggung perasaan dan menyakiti hati sesama muslim dan perkara yang menyebabkan  syak wasangka perlu dielakkan.

Penutup

Kesimpulannya, perbualan berdua-duan secara berbisik yang sekitarnya terdapat orang ketiga menimbulkan kecurigaan dan sangkaan buruk seolah sedang berbicara hal-hal yang buruk tentang orang ketiga.  Perkara ini juga mengguriskan hati dan menyedihkan pihak ketiga. Sehubungan itu, terdapat  beberapa pengajaran terhadap larangan berbisik-bisik ketika terdapat kehadiran  orang ketiga disisinya :

  • Islam menjaga hubungan persaudaraan serta kasih sayang sesama manusia.
  • Islam menutup wasilah yang boleh membawa perkara yang menyakiti hati manusia lain sehingga menjejaskan hubungan persaudaraan.
  • Islam mencegah perbualan yang tidak memberi manfaat dan sia-sia.
  • Islam memelihara adab ketika berinteraksi sesama manusia

 

[1] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=berbisik

التناجي هو التحدث سرا] صحيح مسلم (4/ 1717)

[2]صحيح مسلم (4/ 1717)

 - بَابُ تَحْرِيمِ مُنَاجَاةِ الِاثْنَيْنِ دُونَ الثَّالِثِ بِغَيْرِ رِضَاهُ

[3] توضيح الأحكام من بلوغ المرام (7/ 294)

[4] Abu Abd Rahman al-Bassam. 2003. Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram. Mekah Mukaramah : Maktabah al-aSaddi . 7/293

 

 


Print   Email